Dalam melaksanakan kewajipannya, seorang pengarah hendaklah pada setiap masa
mematuhi kod yang berikut:
A. Pentadbiran Korporat
i) Hendaklah mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat dan tujuan,
keupayaan dan kapasiti syarikat;
ii) Hendaklah menumpukan masa dan usaha untuk menghadiri mesyuarat dan
untuk mengetahui apa yang dikehendaki daripada lembaga dan setiap
pengarahnya, dan untuk menunaikan fungsi-fungsi itu;
iii) Hendaklah memastikan pada setiap masa bahawa syarikat diuruskan
dengan sepatutnya dan dikawal dengan berkesan;
iv) Hendaklah mengikut perkembangan hal ehwal syarikat dan dimaklumkan
tentang pematuhan syarikat akan perundangan yang relevan dan kehendak
kontrak;
v) Hendaklah bertegas supaya dimaklumkan tentang segala yang penting
kepada syarikat supaya pengurusan korporat menjadi berkesan;
vi) Hendaklah menghadkan dirinya menjadi pengarah syarikat kepada suatu
bilangan yang dia boleh menumpukan dengan sebaiknya, masanya dan
keberkesanannya; setiap pengarah menjadi hakimnya sendiri tentang
keupayaannya dan bagaimana sebaiknya menguruskan masanya secara berkesan
dalam syarikat yang dalamnya dia menjadi pengarah;
vii) Hendaklah mempunyai akses kepada nasihat dan perkhidmatan setiausaha
syarikat yang bertanggungjawab kepada lembaga untuk memastikan prosedur,
kaedah dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi;
viii) Hendaklah pada setiap masa melaksanakan kuasanya bagi maksud yang
ia diberikan demi faedah dan kejayaan syarikat;
ix) Hendaklah menzahirkan dengan serta merta segala kepentingan kontrak
sama ada secara langsung atau secara tidak langsung dengan syarikat;
x) Hendaklah tidak mengalihkan untuk manfaatnya sendiri apa-apa peluang
perniagaan yang sedang diusahakan oleh syarikat, atau boleh digunakan
olehnya maklumat sulit yang diperolehi oleh sebab jawatannya untuk
manfaatnya sendiri atau orang lain,
xi) Hendaklah pada setiap masa bertindak dengan suci hati sesungguhnya
kepada syarikat dalam apa-apa transaksi dan bertindak dengan jujur dan
bertanggungjawab pada melaksanakan kuasanya dalam menunaikan kewajipannya;
dan
xii) Hendaklah sedia memberi keputusan yang bebas dan jika perlu, secara
terang menentang jika kepentingan syarikat menghadapi risiko.
B. Hubungan dengan Pemegang Syer, Pekerja, Pemiutang dan Pelanggan
i) Hendaklah peka dengan kepentingan pemegang syer, pekerja, pemiutang
dan pelanggan syarikat;
ii) Hendaklah pada bila-bila masa menggalakkan profesionalisme dan
meningkatkan kecekapan pengurusan dan pekerja; dan
iii) Hendaklah memastikan langkah-langkah keselamatan yang mencukupi dan
menyediakan perlindungan sepatutnya kepada pekerja di tempat kerja.
C. Tanggungjawab Sosial dan Alam Sekitar
i) Hendaklah memastikan bahawa langkah-langkah yang perlu diambil
mengikut undang-undang untuk menggulung atau memotongkan daftar syarikat
jika syarikat itu tidak memulakan perniagaan atau telah terhenti daripada
menjalankan perniagaan dan tidak mungkin akan memulakan perniagaan di masa
akan datang atau menjalankan semula perniagaan mengikut mana-mana yang
berkenaan;
ii) Hendaklah mengamalkan sikap objektif dan positif dan memberi
kerjasama seerat-eratnya demi kebaikan bersama apabila berurusan dengan
pihak berkuasa kerajaan atau badan yang mengawal selia;
iii) Hendaklah memastikan penggunaan sumber alam secara berkesan, dan
memperbaiki kualiti hidup dengan menggalakkan tanggungjawab sosial korporat;
iv) Hendaklah lebih proaktif kepada keperluan masyarakat dan memberi
bantuan dalam program-program kemasyarakatan selaras dengan aspirasi konsep
'Masyarakat Penyayang' dalam Wawasan 2020; dan
v) Hendaklah memastikan agar aktiviti-aktiviti dan operasi syarikat tidak
memudaratkan masyarakat keseluruhan serta membantu untuk memerangi inflasi.