Dalam menjalankan tanggungjawabnya, seseorang setiausaha syarikat
hendaklah sentiasa mematuhi kod-kod berikut:
i. Berusaha bersungguh-sungguh ke arah profesionalisme yang kompeten dan
pada setiap masa mempamerkan kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan tugas
dan kewajipan jawatannya;
ii. Sesungguhnya, pada setiap masa melaksanakan kuasanya dengan suci hati,
bertindak dengan penuh tanggungjawab, jujur serta berhati-hati dan penuh
ketekunan di dalam menunaikan kewajipan jawatannya;
iii. Pada setiap masa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membantu
syarikatnya ke arah matlamat yang ditetapkan berdasarkan kepada kerukunan
moral, kecekapan dan pentadbiran yang berkesan;
iv. Mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat dan tujuan syarikat
serta kuasa dan sekatannya seperti yang diperuntukkan di dalam Memorandum
dan Perkara-Perkara Persatuan syarikatnya;
v. Mempunyai pengetahuan mengenai peraturan-peraturan dan kaedah¬kaedah
mesyuarat, khususnya kehendak-kehendak mengenai korum, pengundian dan
peruntukan-peruntukan berkaitan proksi dan bertanggungjawab untuk mentadbir
mesyuarat dengan teratur;
vi. Tidak mengalih untuk manfaatnya sendiri apa-apa peluang perniagaan
yang sedang diusahakan oleh syarikatnya dan juga tidak menggunakan atau
mendedahkan kepada pihak-pihak lain segala maklumat sulit yang diperolehi
melalui jawatannya untuk manfaat sendiri atau orang lain;
vii. Mengamalkan sikap yang objektif dan positif serta memberi kerjasama
sepenuhnya demi kebaikan bersama apabila berurusan dengan pihak berkuasa
kerajaan atau badan-badan yang mengawal selia;
viii. Memberitahu ahli lembaga pengarah atau pegawai awam yang sewajarnya
apa-apa maklumat diketahuinya, yang dia dengan jujur mempercayai bahawa
sesuatu penipuan sedang atau akan dilakukan oleh syarikatnya atau oleh
mana-mana pengarah atau kakitangan syarikatnya;
ix. Menghadkan dirinya menjadi setiausaha syarikat kepada suatu bilangan
yang mana dia mampu menumpukan masa dan keberkesanannya dengan sebaiknya;
x. Membantu dan menasihati pengarah-pengarah bagi memastikan bahawa pada
setiap masa syarikatnya menyenggara suatu sistem kawalan dalaman yang
berkesan bagi menyimpan daftar-daftar dan rekod-rekod perakaunan yang
sepatutnya;
xi. Sentiasa bersikap saksama dalam hubungannya dengan pemegang saham,
pengarah dan tanpa berat sebelah berusaha sedaya upaya untuk memastikan
pengarah dan syarikatnya mematuhi perundangan yang berkaitan,
tanggungjawab-tanggungjawab kontrak dan kehendak- kehendak lain yang
berkaitan;
xii. Menghadirkan diri atau semasa ketiadaannya memastikan ia diwakili di
pejabat berdaftar syarikatnya pada hari dan waktu yang pejabatnya berurusan
dengan orang ramai;
xiii. Menasihati lembaga pengarah syarikatnya supaya tidak menerima pakai
polisi yang bertentangan dengan kepentingan 'stakeholder' syarikat;
xiv. Menyedari akan laporan-laporan dan kehendak-kehendak lain statut
yang di bawahnya syarikat diperbadankan; dan
xv. Hadir atau diwakili dalam mesyuarat syarikat dan tidak membenarkan
dirinya atau wakilnya dikecualikan atau diketepikan dari mesyuarat berkenaan
yang mana boleh menjejaskan tanggungjawab profesionalnya sebagai setiausaha
kepada syarikat.