×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Penggulungan Sebuah Syarikat

Ada dua cara untuk menggulung syarikat iaitu:

(i)  Penggulungan oleh satu perintah Mahkamah; dan
(ii) Penggulungan sukarela oleh pemegang saham.

Apabila Borang 65 (A) dikemukakan kepada Pendaftar, seorang pelikuidasi sementara hendaklah dilantik terlebih dahulu. Selepas itu Pendaftar hendaklah mendapat maklumbalas mengenai berapa lama 'resolusi penggulungan' perlu diluluskan.

Apakah tugas peliquidasi?

Tugas utama pelikuidasi ialah untuk menggulung syarikat dengan mengagihkan aset kepada pemiutang (dan pihak lain yang terlibat), dan sebaik sahaja proses ini selesai, baki aset yang diperolehi akan diagihkan kepada pemegang saham syarikat.

Satelah seorang pelikuidasi dilantik, dia akan masuk ke dalam syarikat dan mengambil alih semua aset dan liabiliti syarikat. Mulai saat itu pengarah dan pemegang saham tidak mempunyai apa-apa kuasa atau hak untuk memberi pandangan mengenai perjalanan syarikat.

Satu perintah mahkamah juga boleh digunakan untuk membubarkan syarikat yang menghadapi keadaan seperti berikut:

1. Insolvensi - keadaan di mana syarikat tidak dapat membayar hutang yang terhutang kepada institusi kewangan, pembekal, pemiutang atau mana-mana entiti lain yang berkaitan;
2. Satu atau lebih dari satu pengarah syarikat telah bertindak mengutamakan kepentingan peribadi mereka atau berlaku tidak adil terhadap pengarah lain atau bertindak bertentangan dengan kepentingan syarikat dan mereka telah dikenakan perintah mahkamah;
3. Mahkamah yakin bahawa pembubaran syarikat ini ialah tindakan yang adil;
4. Bilangan pengarah atau pemegang saham telah berkurangan menjadi satu (sebuah syarikat sendirian berhad di Malaysia memerlukan bilangan pemegang saham dua atau lebih);
5. Tiada operasi perniagaan dimulakan sejak syarikat itu didaftarkan (tempoh satu tahun) atau syarikat telah memberhentikan operasi perniagaan untuk sekurang-kurangnya satu tahun;
6. Jika Memorandum dan Artikel Persatuan syarikat itu menetapkan tarikh tamat perniagaan; dan/atau
7. Syarikat telah menjalankan perniagaan yang menyalahi atau bertentangan dengan undang-undang Malaysia dan mengancam keselamatan negara.

 

Sumber: smecorp.gov.my