×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Membubarkan Perkongsian

"Perkongsian" bermaksud perusahaan di mana lebih daripada satu orang yang terlibat dan mempunyai tujuan keuntungan yang sama. Akta Perkongsian 1961 membenarkan tidak lebih daripada 20 orang untuk menubuhkan perkongsian. Ini biasanya dipanggil "firma".

Seperti perniagaan lain, perkongsian hendaklah berdaftar dengan Pendaftar Perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Satu perjanjian yang menyatakan perkara mengenai pengawalselian, pengendalian dan hal-ehwal perkongsian hendaklah dirumuskan pada permulaan perkongsian.

Walau bagaimanapun, sebarang perubahan berkaitan sesebuah perkongsian mesti didaftarkan seperti perniagaan baru, perubahan alamat, penambahan rakan kongsi baru, rakan lama meninggalkan perkongsian, dan lain-lain.

Rakan kongsi berhak untuk menikmati keuntungan tetapi dikehendaki membayar dan melangsaikan hutang dan liabiliti perusahaan secara bersama atau berasingan. Pada asasnya, ini bermakna seseorang, beberapa atau semua rakan kongsi bertanggungjawab untuk membayar hutang dan liabiliti firma.

Pembubaran perkongsian boleh dilakukan melalui perjanjian, penguatkuasaan undang-undang atau sekiranya salah seorang rakan kongsi meninggal dunia, meletakkan jawatan atau menjadi muflis. Tidak seperti syarikat lain di mana sesebuah syarikat itu masih beroperasi walaupun semua pengarahnya meninggal dunia, perkongsian perlu ditamatkan kewujudannya jika rakan kongsi meninggal dunia.

Rakan kongsi bebas untuk menetapkan tempoh perkongsian. Jika tiada tempoh tetap dipersetujui bagi jangka masa perkongsian itu, mana-mana rakan kongsi boleh menamatkan perkongsian itu pada bila-bila masa dengan memberi notis mengenai niatnya untuk berbuat demikian kepada semua rakan lain - Seksyen 28(1) Akta Perkongsian 1961.

Perniagaan perkongsian boleh dibubarkan melalui enam cara:

(i) Tamat tempoh atau Notis (Seksyen34 Akta Perkongsian 1961)

Perkongsian boleh dibubarkan disebabkan oleh sebab-sebab yang berikut di bawah seksyen ini:

(a) jika tempoh perkongsian ditetapkan, dan tempoh itu tamat; atau
(b) iika perkongsian ditubuhkan untuk satu usaha niaga atau perjanjian dan usaha niaga atau perjanjian ini tamat; atau
(c) jika perkongsian ditubuhkan tetapi tempoh perniagaan tidak ditetapkan, mana-mana rakan perkongsian boleh memberi notis pembubaran dan menyatakannya kepada rakan kongsi yang lain mengenai niatnya untuk membubarkan perkongsian.

(ii) Kematian, Kebankrapan atau Pendakwaan (Seksyen35 Akta Perkongsian 1961)

Setiap perkongsian akan dibubarkan jika rakan kongsi meninggal dunia atau menjadi muflis. Juga, perkongsian boleh dibubarkan atas pilihan rakan yang lain, jika mana-mana rakan kongsi membiarkan bahagian harta perkongsiannya didakwa di bawah Akta ini bagi hutangnya yang lain.

(iii) Pembubaran disebabkan perkongsian tidak sah dari segi undang-undang. (Seksyen36 Akta Perkongsian 1961) Perkongsian boleh dibubarkan jika terdapat ada keadaan yang menyebabkan urusan firma akan menyalahi undang-undang jika terus dijalankan atau jika anggota firma meneruskan perkongsian.

(iv) Pembubaran oleh mahkamah. (Seksyen 37 Akta Perkongsian 1961) Atas permintaan rakan kongsi, mahkamah boleh memerintahkan perkongsian dibubarkan dalam mana-mana keadaan seperti berikut:-

(a) apabila seorang ahli perkongsian didapati gila atau tidak sempurna akal atau Mahkamah berpuas hati dengan keadaan yang dinyatakan;
(b) apabila salah seorang rakan kongsi tidak berupaya untuk melaksanakan bahagian kontrak perkongsian secara berkekalan;
(c) apabila salah seorang rakan kongsi menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang;
(d) apabila salah seorang rakan kongsi melanggar perjanjian perkongsian;
(e) apabila urusan perkongsian itu  mengalami kerugian; atau
(f) bila-bila masa dalam apa-apa hal, telah timbul keadaan yang, pada pendapat Mahkamah, menjadikannya adil dan saksama untuk membubarkan perkongsian.

Keseluruhan proses membubarkan perkongsian hanya akan siap apabila pengagihan aset dan akaun akhir telah diselesaikan.

 

Sumber: smecorp.gov.my