×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Sumber Dana

1. Berapa banyak wang yang anda perlukan

Ia bergantung kepada jenis perniagaan anda dan bagaiman cepat anda merancang untuk memperluaskanya. Anda perlu menulis berapa banyak perbelanjaan yang dijangka anda akan perlukan untuk sekurang-kurangnya 24 bulan akan datang dan berapa banyak projek akan anda bawa masuk sebagai pendapatan sebulan. Terdapat beberapa syarikat yang boleh membantu anda memulakan pembiayaan perniagaan anda

Anda boleh merujuk kepada pelan perniagaan anda atau bertanya diri anda sendiri apakah jenis wang perbelanjaan yang anda perlukan? Secara amnya, memulakan perniagaan akan melibatkan beberapa jenis kos:

  • Kos jualan: inventori Produk, bahan mentah, peralatan pembuatan, perkapalan, pembungkusan, insurans perkapalan, pergudangan
  • Yuran profesional: menubuhkan struktur undang-undang untuk perniagaan anda, tanda dagangan, hak cipta, paten, merangka perkongsian dan perjanjian bukan pendedahan, yuran guaman untuk perundingan yang berterusan, mengekalkan akauntan – semua perkara ini memerlukan yuran professional.
  • KosTeknologi: Perkakasan komputer, perisian komputer, pencetak, telefon bimbit, PDA, pembangunan laman web dan penyelenggaraan, akses internet berkelajuan tinggi, pelayan, langkah-langkah keselamatan, perundingan ICT.
  • Kos pentadbiran: Pelbagai jenis insurans perniagaan, bekalan pejabat, lesen dan permit, penghantaran ekspres dan pos, pembungkusan produk, tempat letak kereta, sewa, utiliti, telefon, mesin penyalin, mesin faks, meja, kerusi, kabinet pemfailan iaitu apa sahaja yang anda perlukan setiap hari untuk mengendalikan perniagaan.
  • Kos jualan dan pemasaran: Pencetakan alat tulis, bahan pemasaran, pengiklanan, perhubungan awam, kehadiran atau tajaan dalam acara perdagangan, yuran keahlian persatuan perdagangan atau dewan perniagaan, perjalanan dan hiburan untuk mesyuarat pelanggan, senarai mel.
  • Gaji dan faedah: gaji Pekerja, cukai gaji, faedah pekerja, pampasan pekerja.

Tidak kira apa jenis perniagaan anda, ambil kira segala perbelanjaan, dari saat proses pemulaan, hingga masa anda bersedia untuk menjual produk atau perkhidmatan anda.

2. Di mana untuk mendapatkan wang?

Semua perniagaan memerlukan beberapa bentuk pembiayaan. Peraturan yang paling asas dalam pembiayaan perniagaan adalah untuk menyatakan kesanggupan diri anda dan wang simpanan anda atau sumber-sumber lain digunakan untuk perniagaan anda. Ini akan memastikan komitmen seluruh hati kepada kejayaan perniagaan anda. Ini adalah juga satu tanda yang kuat mengenai niat baik dan komitmen anda kepada para peminjam / pelabur . Jika anda sendiri tidak sanggup menggadaikan wang anda sendiri untuk perniagaan anda mengapakah orang lain perlu memberi harta mereka.

Di samping itu, bagi perniagaan permulaan, tidak banyak sumber dana boleh di dapati kerana perniagaan masih belum teruji. Oleh itu, anda perlu menyediakan modal dari simpanan peribadi atau menjual lebihan aset anda jika ada.

a. Simpanan Peribadi

Tidak ada keadaan yang lebih menyenangkan daripada menggunakan wang sendiri yang disimpan, untuk memulakan perniagaan anda. Anda puas hati kerana duit itu duit anda sendiri dan anda tidak berhutang dengan sesiapa. Apabila menggunakan wang anda sendiri untuk membiayai perniagaan, anda akan merasa lebih komited di dalam projek itu, kerana pada dasarnya wang anda yang dipertaruhkan. Menggunakan wang anda sendiri memberi lebih fleksibiliti. Sebagai contoh, jika perniagaan anda mula dengan perlahan, anda tidak perlu bimbang mengenai membayar balik pinjaman bank kerana anda menggunakan wang anda sendiri.

Tetapi risiko yang akan hadapi ialah anda telah menggunakan wang simpanan anda untuk perniagaan dan jika anda tidak berjaya, wang itu lesap, dan peluang untuk menggunakannya untuk perkara lain pun hilang. Anda mungkin menimbulkan masaalah kewangan. Kebanyakan orang mempunyai akaun simpanan bagi tujuan umum. Dalam erti kata lain, wang tidak disimpan untuk sebarang tujuan tertentu dan digunakan bila-bila masa ia diperlukan untuk keadaan yang tidak diketahui. Oleh itu, menggunakan wang dari akaun itu boleh menjejaskan kedudukan kewangan anda jika anda perlu mengeluarkan wang dari simpanan itu untuk kecemasan. Tetapi,jika simpanan peribadi itu sememangnya untuk membiayai perniagaan, anda tidak harus mempunyai sebarang masalah menggunakan wang dari akaun tersebut. Jika akaun simpanan anda telah ditubuhkan bagi tujuan membuka perniagaan dan akaun simpanan itu khas bagi maksud itu sahaja, anda tidak akan merasa kesannya dalam keadaan kecemasan kerana anda akan mempunyai dana lain yang disediakan untuk kecemasan.

b. Pembiayaan Hutang

Pembiayaan hutang perniagaan kadangkala melibatkan mendapatkan pinjaman dalam bentuk hutang tidak bercagar atau bercagar. Hutang tidak bercagar merujuk kepada pinjaman yang diambil tanpa meletakkan apa-apa cagaran. Selalunya ini melibatkan pinjaman dari keluarga atau rakan-rakan, kad kredit, dan lain-lain jenis kredit.

Hutang bercagar, sebaliknya, merujuk kepada pinjaman yang memerlukan anda meletakkan beberapa bentuk cagaran untuk mendapat pinjaman, sebagai contoh, gadai janji rumah atau pembiayaan semula kereta anda, antara lain. Bagi hutang bercagar, anda perlu memberi jaminan kepada pemberi pinjaman keupayaan anda untuk membuat pembayaran sama ada melalui perniagaan anda atau cara-cara lain. Untuk mendapatkan pinjaman anda akan perlu mengemukakan pelan perniagaan yang kukuh, bukti pengalaman anda dan keupayaan anda untuk membayar balik.

c. Keluarga dan Rakan

Mendapatkan kewangan daripada keluarga dan rakan boleh menguntungkan kedua-dua pihak: anda mendapat wang untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan anda, manakala keluarga dan rakan anda merasa puas hati kerana dapat membantu anda dan pada masa yang sama mendapat pulangan dari wang mereka.

Keluarga dan rakan boleh menerima terma dan syarat pinjaman yang lebih fleksibel dan sesuai untuk perniagaan anda daripada yang ditawarkan oleh bank perdagangan

Sering kali perkiraan dengan keluarga dan rakan tidak rasmi dan berdasarkan semata-mata atas amanah dan jaminan lisan. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk mengadakan satu perjanjian bertulis yang formal untuk mengurangkan pertikaian di masa depan. Memelihara hubungan anda dengan rakan dan keluarga sama pentingnya dengan mengejar peluang perniagaan anda.

d. Pinjaman Peribadi

Membiayai perniagaan dengan pinjaman peribadi bermakna anda meminjam wang sendiri untuk melabur dalam perniagaan anda. Ini biasanya digunakan pada peringkat permulaan di mana perniagaan belum mempunyai sejarah atau prestasi yang cukup untuk mendapatkan pinjaman atas merit sendiri.

e. Pinjaman Gadai Janji

Satu lagi sumber untuk membiayai perniagaan ialah pinjaman gadai janji rumah. Sesetengah bank membenarkan anda untuk menggadaikan atau membiayai semula rumah anda. Ini mungkin satu langkah yang berisiko. Jika anda tidak dapat membuat pembayaran yang dijadualkan, anda menghadapi risiko kehilangan rumah anda. Oleh itu, adalah penting anda yakin atas keupayaan berterusan anda untuk membuat semua pembayaran yang dijadualkan.

f. Pinjaman Insuran

Satu lagi sumber pinjaman adalah daripada polisi insurans anda. Jika anda telah membayar polisi insurans hayat yang mengumpul nilai tunai, anda layak untuk mengambil pinjaman atas jumlah nilai tunai itu. Banyak syarikat insurans memberi pinjaman berdasarkan nilai tunai sebagai cagaran. Ini adalah satu kaedah yang agak mahal untuk membiayai perniagaan dan ia mengurangkan pulangan jika anda tidak dapat menjelaskan pinjaman dan faedah terakru.

g. Kad Kredit

Kad kredit juga boleh menjadi sumber untuk membiayai perniagaan pada permulaan. Walau bagaimanapun, ini adalah satu lagi kaedah yang mahal kerana kadar yang dikenakan syarikat kad kredit adalah tinggi. Ia boleh menjejaskan penarafan kredit anda, yang diperlukan untuk sumber-sumber pembiayaan lain.

h. Kerajaan

i) Pinjaman Perniagaan Kecil Kerajaan

Terdapat beberapa jenis pinjaman perniagaan kecil kerajaan dan program yang boleh digunakan dalam pembiayaan perniagaan, termasuk yang khusus untuk bumiputera dan usahawan mikro. Kebanyakan pinjaman ini ditadbir oleh Institusi Kewangan seperti Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dan bank perdagangan dan ada yang ditadbir oleh jabatan / agensi yang terlibat. Pembiayaan dari sumber ini lebih mudah untuk diperolehi dan jabatan / agensi kerajaan menjamin pinjaman anda, jika diluluskan.

ii) Geran

Terdapat beberapa program geran kerajaan untuk perniagaan permulaan. Untuk maklumat lanjut, cari dari di laman web kerajaan, Jangan membayar wang kepada laman web yang memberitahu anda mereka akan memberi anda satu senarai yang besar di mana anda boleh mendapatkan wang geran. Hanya percaya kepada syarikat yang bereputasi,. Walaupun geran selalunya tidak perlu dibayar balik, risiko pembiayaan dengan wang geran ialah, tanggungjawab anda untuk menunjukkan kemajuan perniagaan adalah lebih tinggi dan anda mungkin dikehendaki untuk bekerja dalam tempoh yang sukar. Jika anda tidak mencapai kemajuan yang ditunjukkan dalam cadangan anda, mungkin terdapat beberapa jenis penalti.

Bank memberi pinjaman wang kepada perniagaan yang sedia ada tetapi untuk perniagaan permulaan, ia mungkin sangat sukar untuk mendapatkan pinjaman bank kerana mereka tidak mempunyai rekod. Bank memerlukan pelan perniagaan yang kukuh dan mereka mesti yakin dengan daya maju perniagaan anda sebelum mereka bersetuju untuk meminjamkan wang kepada anda. Bank juga biasanya memerlukan cagaran sebagai jaminan

Jika anda mempunyai pelan perniagaan yang kukuh dan bank bersetuju, ini biasanya sumber pinjaman yang termurah (dari segi kadar faedah) yang disediakan. Kebiasaannya memang sukar untuk perniagaan permulaan untuk melayakkan diri, tetapi jika anda berjaya mendapatkan pinjaman ia boleh menjadi seperti bom waktu berdetik jika perniagaan anda tidak berjalan dengan baik.

i. Pinjaman Bank

Biasanya bank sanggup memberikan pinjaman kepada perniagaan sedia ada yang mempunyai rekod prestasi yang baik. Perniagaan yang baru dimulakan akan mengalami kesulitan mendapatkan pinjaman kerana kekurangan rekod prestasi tersebut. Pihak bank memerlukan pelan perniagaan yang baik dan mereka perlu diyakinkan tentang daya maju sesuatu projek tersebut sebelum mereka bersetuju membiayainya. Biasanya bank juga perlukan cagaran bagi sesuatu pinjaman itu.

Jika anda sanggup menyediakan sebuah pelan perniagaan yang mantap dan pihak bank bersetuju membiayainya, ini boleh merupakan satu sumber pinjaman yang paling murah dari segi faedahnya. Akan tetapi cara ini ada mempunyai risiko. Jika syarikat yang baru memulakan perniagaan dan ia berjaya mendapat pinjaman bank, anda tidak harus berasa selesa; risikonya amat tinggi jika syarikat anda mengalami kerugian dan pihak bank akan mengambil tindakan undang-undang.

j. Pembiayaan Ekuiti

Pembiayaan ekuiti ialah jenis pinjaman di mana pelabur / pembiaya menjadi pemilik sebahagian perniagaan melalui modal teroka atau pengeluaran saham.

k. Modal Teroka

Kapitalis teroka tidak mahu kekal dalam perniagaan anda selama-lamanya. Secara umumnya, mereka mahu melihat strategi keluar yang membolehkan mereka keluar dalam kira-kira 5 tahun, dengan mendapat pulangan yang tinggi sebagai ganjaran atas pelaburan mereka.

Bidang kecenderongan kapitalis teroka adalah dalam bidang teknologi tinggi dan pelbagai industri lain. Biasanya mereka melabur dalam perniagaan yang telah dilancarkan dan mungkin telah meraih keuntungan.

Pelabur “angel” pula adalah sejenis kapitalis teroka khas. Biasanya mereka ini adalah individu yang mempunyai dana yang besar, dan 'angel' menyediakan modal permulaan syarikat dan memiliki secara peribadi sebahagian perniagaan. Bergantung kepada individu, permintaan “angel” akan berbeza berdasarkan bentuk kawalan atau pulangan yang cepat atas pelaburan. Walau bagaimanapun, seperti pemodal teroka biasa, “angel” memerlukan pulangan pelaburan yang tinggi untuk risiko yang mereka ambil.

 

Sumber: smecorp.gov.my