×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Premis dan Lokasi

1. Memilih Lokasi anda

Salah satu konsep asas yang diajar dalam hampir setiap kursus pemasaran adalah konsep 4 faktor iaitu Harga, Produk, Promosi dan Tempat. "Tempat" secara amnya merujuk kepada pengedaran, iaitu, di mana pelanggan anda dapat menilai dan akhirnya menerima produk atau perkhidmatan anda. Walaupun ini mungkin tidak penting untuk orang yang bekerja secara “virtual”, atau yang menjalankan perniagaan yang mengambil serta-merta dari pihak ketiga, “tempat” adalah kritikal bagi restoran, peruncit, dan banyak perniagaan perkhidmatan lain. Ironinya, walaupun "tempat" selalunya yang paling kekal dalam pemasaran, ia juga selalunya paling diabaikan.

Lokasi adalah lebih daripada sekadar memilih bangunan. Terdapat banyak perkara untuk dipertimbangkan dalam proses memilih lokasi kerana ia adalah mahal. Lokasi bergantung kepada beberapa faktor yang berbeza terutamanya jenis produk dan perkhidmatan yang anda ingin menjual. Oleh itu, anda perlu mempertimbangkan perkara-perkara berikut:

a. Mengetahui perniagaan anda.

Memahami keperluan perniagaan anda adalah langkah pertama dalam mencari lokasi. Adakah pelanggan melawat lokasi anda? Adakah perniagaan anda mengharapkan pelanggan yang masuk dalam premis anda, atau pelanggan akan membuat temu janji untuk mendapatkan produk/perkhidmatan? Adakah perniagaan anda menggunakan sumber asli? Bagaimanakah barang-barang anda dihantar? Adakah perniagaan anda melibatkan bahan kimia atau bunyi yang berlebihan yang mungkin mesti ditempatkan di dalam zon sekatan? Buat satu senarai keperluan khusus untuk perniagaan anda.

b. Mencari pelanggan anda.

Anda hendaklah mengenal pasti siapa pelanggan anda dan bagaimana anda boleh memenuhi keperluan mereka. Jika anda memindahkan operasi perniagaan ke bandar baru atau kawasan luar bandar, kegetahui sebanyak mungkin tentang trend penduduk di sana. Apabila anda telah mengumpulkan maklumat sebanyak yang mungkin, mula mewujudkan profil demografi anda sendiri. Sebaik sahaja anda tahu siapa pelanggan anda, anda boleh menentukan lokasi yang terbaik untuk mendapatkan pelanggan. Sebagai contoh, jika anda membuka pusat jagaan kanak-kanak atau tadika, anda akan membukanya di kawasan yang bukan sahaja mempunyai banyak keluarga, tetapi juga mempunyai isi rumah berpendapatan tinggi dan kedua-dua ibubapa masih bekerja. Penyelidikan yang baik akan membantu anda mencari lokasi

c. Memahami Komuniti anda.

Sebelum memutuskan untuk menubuhkan tempat kedai, siasat masyarakat sekelilingnya. Baca beberapa akhbar tempatan. Lawati perpustakaan dan lakukan beberapa kajian mengenai sejarah tempat itu. Bercakap dengan pemilik perniagaan kecil yang lain di kawasan itu. Bertanya kepada mereka jika perniagaan mereka berjaya dan jika mereka berfikir perniagaan anda akan mendapat sambutan di sana. Cuba untuk mengetahui bagaimana komuniti perniagaan di situ akan menerima perniagaan baru yang akan ditubuhkan di kawasan mereka.

d. Membuat kajian mengenai persaingan perniagaan.

Bagi sesetengah perniagaan, perkara ini mungkin tidak penting. Lima perniagaan Internet boleh berada di bangunan yang sama dan tiada siapa pun akan tahu. Walau bagaimanapun, jika anda membuka perniagaan runcit, restoran, atau operasi berorientasikan perkhidmatan, anda akan mahu tahu berapa banyak perniagaan yang serupa yang terletak berdekatan. Anda mungkin tidak mahu mana-mana pesaing di kawasan terdekat, di bandar dan wilayah lain. Yang penting adalah untuk menentukan sama ada anda boleh mendapatkan bahagian pasaran yang mencukupi. Menganalisa dan mengkaji mengenai saingan dan skop perniagaan pesaing, lihat jika anda boleh mendapat kelebihan daya saing dengan menawarkan sesuatu produk/perkhidmatan yang tidak ditawarkan oleh pesaing anda. Jika anda berpindah ke kawasan yang mempunyai persaingan sengit, pastikan anda mempunyai sumber yang mencukupi untuk bertahan di sana semasa anda mengekalkan pernyiagaan.

Sebaik sahaja anda telah mengkaji perkara yang disenaraikan di atas, anda juga mungkin mahu melihat faktor lain yang penting yang akan memberi impak yang besar kepada lokasi yang anda cari. Cuba tanya diri anda mengenai perkara berikut:

e. Negeri & Bandar

Sewa dan lain-lain kos, ketersediaan buruh, cukai, peraturan-peraturan dan insentif ekonomi kerajaan jauh berbeza di antara bandar, walaupun dalam keadaan yang sama. Mungkin sebuah pekan kecil adalah tempat yang sesuai untuk perniagaan anda. Adakah negeri / kota tempat anda tinggal mesra dengan usahawan? Mesra kepada jenis perniagaan yang ingin anda jalankan? Ini adalah perkara yang akan mempengaruhi harga produk & perkhidmatan anda.

f. Lokasi dari segi akses jalan, tempat letak kereta, dan perniagaan lain

Adakah pelanggan mesti nampak perniagaan anda / atau ianya mudah diakses oleh pejalan kaki dan kereta? Bolehkah perniagaan lain yang menarik pelanggan yang sama membantu perniagaan anda? Sebagai contoh, sebuah kedai barangan sukan atau kedai makanan kesihatan mungkin lebih baik jika ia berada di sebelah gimnasium.

g. Kos

Paling jelas, adakah anda mampu menjalankan perniagaan ini? Juga anda perlu mempertimbangkan sama ada pelanggan dan pekerja anda mampu menyokong perniagaan anda. Sebagai contoh, adakah tempat letak kereta percuma, atau ia mahal? Adakah sewa yang tinggi menyebabkan anda mengenakan harga yang tinggi kepada pelanggan anda? Itu tidak semestinya sesuatu yang buruk, tetapi faktor ini perlu dipertimbangkan.

h. Kemudahan

Adakah ia mudah untuk dicari? Adakah tempat letak kereta dekat dengan perniagaan? Fikir tentang pelanggan anda. Jika anda berurusan dengan ibu-ibu mengandung dan warga tua, konsep "mudah"mereka mungkin berbeza daripada pelanggan biasa.

i. Keselamatan

Ini adalah satu isu yang menjadi semakin penting bagi pelanggan dan pekerja. Adakah tempat letak kereta berdekatan dengan premis perniagaandan mempunyai cahaya dan lampu yang mencukupi? Adakah premis itu selamat?

j. Prestij

Adakah alamat pusat bandar menambah kredibiliti? Adakah pelanggan kaya memihak kepada perniagaan di kawasan mereka sendiri? Ada beberapa tempat yang menyediakan pejabat maya dengan alamat berprestij, seperti Beverly Hills, Silicon Valley, atau Manhattan.

k. Trafik

Peruncit dan restoran sukakannya tetapi pekerja pejabat tidak.

l. Keperluan kemudahan

Adakah anda memerlukan apa-apa keperluan khas, seperti penggunaan kuasa elektrik yang tinggi atau pendawaian khas? Adakah anda memerlukan ruang mesyuarat, tetapi hanya sekali-sekala? Jikalau begitu anda mungkin memerlukan ruang pejabat yang dikongsi bersama (sering dipanggil suite eksekutif).

m. Pengezonan

Banyak kota mempunyai peraturan zon yang sangat ketat. Pastikan perniagaan anda dibenarkan berada di situ sebelum anda menandatangani pajakan.

Proses ini mungkin tidak semudah yang anda fikir. Semua faktor sebenarnya berkait rapat dengan lokasi yang anda ingin pileh. Jika anda hanya merancang untuk menjadi pemilek tunggal di rumah anda sendiri, semua faktor dalam proses ini tidak perlu diambil kira. Tetapi, jika anda ingin menubuhkan sebuah kedai runcit, maka lokasi adalah satu perkara yang amat penting untuk difikirkan.

 

2. Jenis Premis Dan Lokasi

Membuat pilihan yang tepat untuk meletakkan perniagaan anda adalah satu keputusan yang paling penting dalam memulakan perniagaan. Lokasi yang anda pilih akan bergantung kepada jenis perniagaan anda, contohnya: runcit, pembuatan atau perkhidmatan profesional. Ia juga akan bergantung kepada beberapa keadaan di mana anda perlu mempertimbankan beberapa aspek sebelum membuat perjanjian untuk pajakan atau membeli premis.

Secara umumnya, terdapat enam (6) jenis premis dan lokasi untuk diambil kira:

Pejabat di rumah atau Ofis Kecil Di rumah (SOHO)

  • Ofis maya (VO)
  • Inkubator Perniagaan
  • Runcit
  • Kawasan Komersil
  • Kawasan Industri

 

3. Ofis Kecil Di Rumah (SOHO)

SOHO adalah perniagaan kecil atau ofis di rumah. Pemilik perniagaan ini terdiri daripada pekerja bebas, perunding yang bekerja sendiri, jurujual, pekerja telekomunikasi, dan perniagaan kecil yang mempunyai empat atau kurang dari empat pekerja. Usahawan perniagaan kecil umumnya mahu peralatan terkini yang terbesar dan terpantas, dan pasaran perniagaan ini sentiasa mendapat manfaat daripada teknologi tinggi, membenarkannya untuk bersaing dengan syarikat yang lebih besar.

Sebahagian daripada sebab utama mengapa mereka memilih SOHO adalah kerana 4 faktor - Kebebasan, Fleksibel, Mengembirakan dan Ganjaran Kewangan. Walaubagaimanapun, daripada kajian yang dijalankan dengan pemilik perniagaan SOHO, mereka menyatakan tiga (3) aspek yang membimbangkan mereka:

  • Tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk meneruskan perniagaan
  • Pekerja utama atau diri sendiri menghidap penyakit berpanjangan
  • Pelanggan berpindah kepada syarikat yang lebih besar

 

4. Pejabat Maya (VO)

Pejabat Maya atau Virtual Office ialah satu perkhidmatan menjawab telefon atau e mel yang boleh menerima dan menghantarkan semula pesanan bagi pihak sesebuah perniagaan kecil dan mampu memberi jawapan tersedia kepada sesuatu pertanyaan. Perniagaan yang menggunakan perkhidmatan tersebut biasanya tiada mempunyai premis tetap atau menggajikan staf bagi melayan pelanggan. Jadi Pejabat Maya membantu dengan cara menerima dan menyambungkan panggilan dan pesanan apabila peniaga tidak dapat dihubungi untuk menjawab sesuatu perkara,.Objektif utama Pejabat Maya ialah memastikan panggilan atau SMS dapat diterima dan boleh diambil tindakan oleh pihak berkenaan kemudian.

Antara sebab-sebab kenapa sesetengah ahli peniagaan memilih Pejabat Maya adalah seperti berikut:

  • Kos Operasi
  • Bebas untuk bekerja di mana-mana sahaja – Tiada kesesakan trafik, tiada kerja jam ‘9.00 – 5.00’ sahaja
  • Modal permulaan yang rendah
  • Imej Koporat yang baik sebab operasi serupa macam perjalanan sebuah syarikat yang dikendali secara betul

a. Enam Langkah bagaimana Menubuhkan Sebuah Pejabat Maya

Anda perlu merancang secara teratur apabila menubuhkan sebuah pejabat maya. Berikut ialah langkah-langkah yang dapat membantu anda dalam penubuhan Pejabat Maya:

Langkah1:

Kenalpasti negara atau bandararaya yang anda pilih untuk menjalankan perniagaan. Anda seharusnya mempunyai rancangan dan keputusan yang tepat tentang lokasi di mana anda bercadang untuk emulakan perniagaan setelah selesai menjalankan kajian tentang potensi beberapa lokasi perniagaan. Anda boleh menubuhkan pejabat di beberapa lokasi di dunia dalam masa yang sama bagi memenuhi keperluan global dengan menggunakan konsep Pejabat Maya ini.

Langkah 2:

Setelah anda selesai memilih lokasi yang paling tepat bolehlah anda mula mencari pembekal perkhidmatan Pejabat Maya tempatan atau luar negara. Anda boleh mendapat maklumat lebih terperinci melalui carian dalam talian, perbualan, iklan, risalah dan lain-lain. Anda perlu ‘menyewa’ alamat perniagaan mereka sebagai alamat anda sendiri.

Anda harus merujuk kepada pegawai khidmat pelanggan atau perunding mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang pembekal perkhidmatan yang ada. Sila buat perbandingan daripada beberapa aspek seperti lokasi, kadar sewa, kemudahan, kefleksibilan dan reputasi. Adalah amat penting bagi anda memilih pembekal perkhidmatan yang boleh dipercayai demi kepentingan operasi perniagaan anda.

Langkah 3:
Pilih pakej yang mampu memberi anda kemudahan dan khidmat profesional sesuai bagi perniagaan anda. Ada banyak jenis perkhidmatan yang anda boleh pilih seperti penggendalian panggilan, faks, e mel, arkib dokumen, pengimbasan dokumen, dan lain-lain. Antara kelengkapan yang boleh didapati termasuk meja panas, bilik mesyurat, bilik tetamu, jalur lebar, projektor LCD dan lain-lain.Kebanyakan Pejabat Maya menawarkan berbagai pakej yang mengandungi kadar dan ciri yang berbeza. Pastikan pakej yang anda pilih itu adalah yang paling berkesan kos sambil mampu melahirkan imej profesional bagi perniagaan anda

Langkah 4
Bila anda sudah membuat pilihan tentang pembekal perkhidmatan anda bolehlah menandatangani perjanjian dengannya untuk tempoh masa yang ditentukan. Anda dinasihatkan supaya membaca terma dan syaratnya bagi memastikan perlindungan hak anda terjamin. Biasanya tempoh sewa adalah selama 6 bulan. Tempoh yang lebih pendek iaitu 3 bulan boleh juga dipersetujui, mengikut kesesuaian perniagaan anda.

Langkah 5
Setelah anda selesai menandatangani perjanjian sewa tersebut anda bolehlah menggunakan alamat Pejabat Maya tersebut sebagai alamat perniagaan anda di kad perniagaan, kepala surat, sampul surat, cap getah, surat menyurat, kad ucapan dan jemputan dan sebagainya. Dalam lain perkataan anda boleh memulakan perniagaan anda sebaik sahaja anda selesai menandatangani perjanjian tersebut. Anda boleh mengguna alamat ini untuk dokumen rasmi, membuka akaun bank dan memohon geran kerajaan. Jika anda ada memasukkan kemudahan pengendalian panggilan dan penghantaran faks dalam perjanjian sewa, anda boleh gunakan nombor telefon dan faks berkenaan untuk kemudahan pelanggan dan pembekal anda supaya mereka dapat menghubungi anda di mana sahaja anda berada.

Langkah 6
Anda bolehlah mula menggunakan kemudahan dan perkhidmatan profesional yang disediakan oleh Pejabat Maya. Gunakanlah kemudahan yang disediakan dengan sepenuhnya bagi menikmati faedah optimum dalam perniagaan anda.

Pendek kata, penggunaan Pejabat Maya adalah mudah dan ia boleh menjimatkan masa untuk mendapatkan ruang pejabat.

 

5. Inkubator Perniagaan

Ramai usahawan tidak mempunyai ruang atau keinginan untuk memulakan perniagaan di rumah mereka, tetapi menyewa ruang tetapi mencari ruang pejabat untuk disewa dan menubuhkan perkhidmatan sokongan penting adalah mahal dan memerah tenaga dan pada masa yang sama sumber kewangan dan tenaga amat diperlukan untuk pembangunan perniagaan itu sendiri. Inkubator perniagaan boleh menyelesaikan masalah usahawan ini.

Inkubator perniagaan ditubuhkan khusus untuk membantu firma permulaan. Mereka selalunya menyediakan:

  • ruang dan pajakan yang fleksibel selalunya pada kadar yang sangat rendah.
  • perkhidmatan sokongan berdasarkan yuran seperti menjawab telefon,perakaunan, kesetiausahaan, akses faks dan mesin salinan, perpustakaan dan bilik mesyuarat.
  • kadar kumpulan untuk pelan insurans kesihatan, kehidupan dan lain-lain.
  • bantuanperniagaan dan teknikal sama ada di tapak atau melalui satu sistem rujukan masyarakat.
  • bantuan untuk mendapatkan dana.
  • jalinan denganusahawanlain.

Selain itu, objektif inkubator perniagaan juga untuk mempercepatkan pembangunan syarikat usahawan yang berjaya melalui pelbagai sumber dan perkhidmatan sokongan perniagaan, dibangunkan dan dirancang oleh pengurusan inkubator dan ditawarkan dalam inkubator dan melalui rangkaian kenalan. Inkubator berbeza dalam cara mereka memberikan perkhidmatan mereka, dari segi struktur organisasi mereka, dan jenis pelanggan mereka. Matlamat utama inkubator perniagaan adalah untuk menghasilkan perniagaan yang berjaya yang dapat beroperasi dengan bebas dan berdaya maju dalam kewangan.

Di Malaysia, terdapat beberapa Inkubator Perniagaan yang ditubuhkan untuk PKS. Di samping itu, kerajaan juga menawarkan lain jenis infrastruktur melalui kewujudan Taman Halal dan TamanTeknologi

 

6. Runcit

Ruang perniagaan merupakan ruang yang dipajak untuk menjual barangan kepada pengguna. Secara umumnya, apabila memikirkan tentang perniagaan, peruncit mempunyai hanya satu matlamat keseluruhan - iaitu untuk menjual barangan. Itulah sebabnya mereka memberi tumpuan kepada ruang lantai jualan, tempat letak kereta yang mencukupi untuk pelanggan, dan imej keseluruhan yang menarik pelanggan. Kepentingan kedua adalah ruang pejabat dan keperluan penyimpanan, kerana kebanyakkan inventori ialah di kawasan jualan. Ruang operasi runcit biasanya dibahagikan kepada ruang paparan, pejabat, dan penyimpanan. Secara amnya, ruang pejabat dan penyimpanan mengambil sehingga 10 hingga 25 peratus daripada jumlah keluasan lantai.

Berikut adalah beberapa jenis lokasi runcit yang biasa

a. Ruang Mall

Dari gerai ke kedai utama yang besar, Mall mempunyai banyak peruncit yang bersaing antara satu sama lain di bawah satu bumbung. Secara umumnya, terdapat 3 hingga 5 kedai utama, atau kedai rangkaian yang besar, dan kemudian berpuluh-puluh kedai runcit. Biasanya sewa kedai di Mall adalah lebih tinggi berbanding lokasi runcit lain. Ini adalah kerana jumlah lalu lintas pelanggan yang tinggi yang di dapati di Mall. Sebelum memilih jenis lokasi kedai ini, pastikan demografi pembeli sepadan dengan ciri-ciri pelanggan anda. Peruncit yang beroperasi di Mall perlu membuat beberapa pengorbanan dari segi kebebasan dan mematuhi satu set peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Mall.

b. Pusat membeli belah

Mall berderet dan lain-lain lokasi runcit bersambung atau bersebelahan mempunyai garis panduan atau kaedah bagaimana mereka memilih penyewa untuk menjalankan perniagaan. Peraturan ini mungkin lebih longgar daripada peraturan di Mall, tetapi pastikan anda boleh bersepakat dengan mereka sebelum anda menandatangani perjanjian pajakan. Komuniti anda mungkin mempunyai banyak pusat-pusat membeli-belah dari pelbagai saiz. Sesetengah pusat membeli-belah mungkin mempunyai 3 unit atau sebanyak 20 kedai runcit, dan barang-barang atau perkhidmatan yang ditawarkan di pusat membeli-belah juga akan berbeza-beza. Satu faktor yang mesti disiasat sebelum memilih lokasi kedai ialah keadaan tempat letak kenderaan. Pusat membeli-belah yang kecil dan pusat membeli-belah berderet mungkin mempunyai tempat letak kereta yang terhad untuk pelanggan anda.

c. Kawasan Pusat Bandar

Seperti lokasi di dalam Mall, lokasi kedai di kawasn Pusat Bandar boleh menjadi satu lagi pilihan premium dan pemilik perniagaan boleh mendapat lebih banyak kebebasan kerana tidak terdapat banyak peraturan di kawasan ini. Banyak komuniti bekerja keras untuk memajukan semula kawasan pusat bandar dan usaha ini boleh memberi manfaat besar kepada peruncit di kawasan itu. Walau bagaimanapun, kekurangan tempat letak kereta secara umumnya adalah isu besar bagi peruncit di pusat bandar. Terdapat banyak kedai istimewa terkemuka yang telah lama ditubuhkan di kawasan bandar. Kedai jenis ini berkembang maju dalam persekitaran pusat bandar.

d. Lokasi Terpencil

Jenis Lokasi rucit ini ialah bangunan terpencil tersendiri di dalam kawasan perbandaran atau di tepi lebuhraya yang sibuk.Bergantungkepada tuan kedai, peruncit bebas menjalankan apa jenis perniagaan tanpa sekatan. Bangunan ini akan mempunyai banyak tempat letak kereta dan sewa kos per kaki persegi munasabah. Kelemahan lokasi ini ialah kekurangan trafik pelanggan. Tidak seperti lokasi yang berdekatan dengan kedai runcit lain di mana pelanggan boleh masuk ke dalam kedai anda kerana mereka membeli-belah di kedai berdekatan, peruncit lokasi terpencil perlu bekerja keras memasarkan perniagaan untuk menarik pelanggan melawat kedai.

e. Bangunan Pejabat

Taman perniagaan atau bangunan pejabat mungkin satu lagi pilihan untuk peruncitterutamasekali apabila ada perniagaan yang lain di bangunan ini. Penyewa-penyewa berkongsi kos senggaraan danimej bangunan biasanya berkelas dan profesional.

 

7. Kawasan Komersil

Hartanah komersil ialah hartanah untuk digunakan oleh perniagaan untuk mendapat keuntungan, seperti kompleks pejabat, pusat membeli-belah, stesen minyak dan restoran. Ia biasanya di kawasan bandar yang boleh mengambil kira-kira 5% daripada tanah bandar. Kawasan ini jatuh di antara kawasan rumah kediaman dan industri. Oleh kerana kebanyakan aktiviti perdagangan yang dilakukan di sini terdirin dari membeli dan menjual barangan dan perkhidmatan di dalam perniagaan runcit, pembelian dan penjualan secara borong, pertubuhan kewangan, dan pelbagai perkhidmatan yang secara umumnya diklasifikasikan sebagai "perniagaan", mereka adalah amat penting kepada ekonomi komuniti. Kawasan komersil menyediakan pekerjaan dan membawa wang ke dalam komuniti. Ini merupakan salah satu lokasi terbaik di mana anda boleh memastikan infrastruktur telah sedia untuk anda memulakan perniagaan.

 

8. Kawasan Industri

Kawasan industri boleh ditakrifkan sebagai sebuah kawasan perindustrian atau daerah berasas teknologi yang terancang. Biasanya kawasan ini dikhaskan untuk perusahaan ringan, industri sederhana atau industri berat, penyelidikan dan pergudangan. Kawasan industri biasanya terletak di luar kawasan kediaman dan dilengkapkan dengan kemudahan perhubungan yang baik seperti jalanraya dan rel. Kawasan tersebut juga biasanya terletak berhampiran dengan hab pengangkutan di mana terdapat lebuhraya, rel dan pelabuhan yang berhampiran antara satu dengan yang lain. Idea yang mengasingkan kawasan tersendiri mengikut zon adalah berasaskan kepada beberapa konsep:

 

  • Untuk memusatkan infrastruktur yang khusus dalam satu kawasan bebas bagi mengurangkan perbelanjaan seunit perniagaan bagi infrastruktur. Antara infrastruktur tersebut termasuk: jalan raya, landasan sisi keretapi, pelabuhan, bekalan letrik berkuasa tinggi, kabel komunikasi atasan, bekalan air kuantiti besar dan saluran gas kuantiti besar.
  • Untuk menarik perniagaan baru dengan menyediakan infrastruktur berintegrasi dalam lokasi yang sama.
  • Membolehkan syarikat perniagaan layak mendapat faedah Taman Industri.
  • Untuk mengeluarkan penggunaan industri daripada kawasan bandar dalam usaha bagi mengurangkan kesan alam sekitar dan sosial yang lahir daripada penggunaan tersebut.
  • Untuk membolehkan kawalan alam sekitar setempat dijalankan khusus bagi keperluan kawasan industri tersebut.

 

Sumber: smecorp.gov.my