×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Sekolah Menengah Teknik

Sekolah Menengah Teknik (menjurus kepada Sijil Pelajaran Malaysia) Aliran Teknikal yang di tawarkan di 9 buah Sekolah Menengah Teknik seluruh Malaysia memberi fokus kepada bidang/pengajian seperti berikut.

Bidang-bidang tersebut adalah :

  1. Pengajian Kejuruteraan Elektrikal Elektronik.
  2. Pengajian Kejuruteraan Awam
  3. Pengajian Kejuruteraan Mekanikal
  4. Perdagangan
  5. Sains Pertanian

Tempoh pengajian adalah selama dua (2) tahun iaitu di:

  1. Tingkatan 4
  2. Tingkatan 5

dan seterusnya dinilai melalui Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia

Kemasukan ke Tingkatan 4 berdasarkan PT3 dengan memilih antara 5 bidang yang ditawarkan seperti senarai berikut:-

Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik

 

Kursus ini adalah pendedahan kepada pelajar kepada asas Kejuruteraan Elektrik & Elektronik. Konsep-konsep asas yang dipelajari dapat memupuk dan memperkembangkan minat dan penguasaan prinsip kejuruteraan Elektrik & Elektronik seperti litar, elektromagnet, pengubal diod, transistor dwikutub, elektronik conduit, perhubungan, komputer motor dan robotik melalui aktiviti pembelajaran secara teori, amali dan binaan projek. Ia juga membantu pelajar untuk memahami komponen-komponen elektrik dan elektronik serta simbol-simbolnya.

Pengajian Kejuruteraan Mekanikal

 

Kursus ini melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal yang merangkumi sumber alam dan tenaga, penjanaan dan penggunaan haba, daya jentera serta rekabentuk, pengeluaran dan kegunaan mesin serta alat tangan. Pelajar juga akan didedahkan kepada pengetahuan seperti metrologi dan mekanik berkaitan dengan momentum dan geseran, sistem hidraulik, pneumatic dan robotik asas. Kejuruteraan Mekanikal memberi tumpuan kepada pemahaman konsep, prinsip asas, teori kejuruteraan mekanikal serta kemahiran berkaitan

Pengajian Kejuruteraan Awam

Kursus ini memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan pengetahuan asas dalam Kejuruteraan Awam dengan memberi penekanan kepada skop Proses Pembinaan, Bahan Binaan, Struktur Kejuruteraan Awam, Geoteknik, Ukur Kejuruteraan, Sistem Pengangkutan, Kejuruteraan Jalan dan Isyarat Lalu Lintas, Sumber dan Bekalan Air, Sistem Pembersihan dan Aturcara Kontrak dan Taksiran. Pelajar juga didedahkan dengan aktiviti pembelajaran secara teori, kerja amali serta lawatan industri. Ia juga bertujuan untuk membentuk kesedaran pelajar agar peka terhadap alam sekitar dan menyemai minat dalam kerja-kerja penyelidikan, merekabentuk, menganalisis dan bertindak berasaskan fakta.

Perdagangan

Kursus ini ditawarkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar berdasarkan amalan perdagangan dan perniagaan yang merangkumi bidang pengeluaran, perdagangan, perniagaan, bantuan perniagaan, pelaburan, pemilikan perniagaan, konsumerisme dan etika amalan perniagaan. Pembelajaran merangkumi pemahaman konsep serta perkembangan maklumat terkini dalam bidang perdagangan berdasarkan kepada konsep, peraturan, undang-undang yang diamalkan dalam dunia perniagaan sebenar. Ia akan membantu untuk membina asas yang kukuh untuk menceburkan diri dalam bidang perdagangan di aras lebih tinggi. Kursus ini juga memberi peluang untuk pelajar mempelajari amalan-amalan positif dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan.

Sains Pertanian

Kursus ini adalah satu bidang pengajian saintifik terhadap prinsip dan amalan dalam penanaman, penternakan, teknologi pertanian dan pengurusan ladang. Pelajar didedahkan kepada pengetahuan, kemahiran dan kefahaman mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi tanaman dan ternakan serta perladangan sebagai suatu perniagaan. Pelajar juga akan mempelajari tentang pelbagai faktor yang mempengaruhi hasil tumbuhan dan pengeluaran ternakan serta cara untuk meningkatkan hasil serta mutu pengeluaran. Aspek teknologi dalam pertanian juga diberi penekanan dalam pembelajaran secara teori, kerja amali dan kerja kursus.

 

Panduan Permohonan Kemasukan  

Maklumat Info Kursus