×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Garis Panduan Kemasukan 40% Murid Warganegara Malaysia ke Sekolah-Sekolah Antarabangsa

  1. Jabatan Pelajaran Swasta, Kementerian Pelajaran Malaysia dipertanggungjawabkan untuk memproses permohonan dan membuat keputusan sama ada meluluskan atau menolak permohonan kemasukan ke sekolah antarabangsa.
  1. Pengiraan had siling 40% kemasukan murid-murid warganegara Malaysia ke sekolah antarabangsa adalah berpandukan kepada kapasiti maksimum kemasukan murid di sekolah, iaitu mengikut bilangan bilik darjah dan bilangan murid setiap bilik darjah seperti yang telah diluluskan oleh Ketua Pendaftar semasa di didaftarkan di bawah subseksyen 79(1) Akta Pendidikan 1996 dan kelulusan perubahan premis menurut peraturan 14 di bawah Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendaftaran Institusi Pendidikan) 1997 [P.U. (A) 534/97]. Perkiraan yang dibuat adalah seperti berikut:

 

Kapasiti maksimum kemasukan murid

 

X

 

40

 

=

 

Jumlah dibenar (40%)

100

 

 

 

   

  1. ”Jumlah dibenar (40%)” seperti pada perenggan 2 adalah juga termasuk murid-murid warganegara Malaysia yang sudah diberi kelulusan belajar di sekolah antarabangsa sebelum dasar baru, iaitu salah seorang ibu bapa murid bukan warganegara Malaysia dan murid menyambung pengajian di Malaysia selepas tiga tahun belajar di luar negara.
  1. Permohonan kemasukan murid-murid warganegara Malaysia ke sekolah antarabangsa hendaklah dikemukakan oleh ibu bapa atau penjaga yang sah dengan alasan dan bukti kepada Jabatan Pelajaran Swasta, Kementerian Pelajaran Malaysia selepas mendapat persetujuan dari sekolah antarabangsa yang menjadi pilihan dengan menggunakan borang permohonan seperti pada Lampiran 1A.
  1. Penerimaan kemasukan ke sekolah-sekolah berkenaan adalah berdasarkan first come first serve basis. Akan tetapi, keutamaan akan diberi kepada golongan ibu bapa yang mengemukakan permohonan atas faktor-faktor berikut:
    • ibu bapa murid pernah bertugas di luar negara sekurang-kurangnya dua tahun sama ada di sektor swasta atau kerajaan;
    • ibu bapa merupakan ahli perniagaan yang mempunyai kepentingan di luar negara dan mampu untuk menarik FDI serta menyumbang kepada ekonomi negara;
    • ibu bapa dikategorikan sebagai ahli profesional Malaysia yang bekerja di luar negara dan ingin kembali ke Malaysia di bawah insentif kerajaan;
    • ibu bapa mempunyai anak yang diakui oleh pakar perubatan kerajaan bahawa anak tersebut mengalami ADD, ADHD, dyslexia atau permasalahan lain yang memerlukan pengawasan lebih rapi, pemakanan atau diet dan tidak semestinya boleh dinaikkan kelas secara automatik;
    • ibu bapa mempunyai beberapa orang anak yang sedang belajar di sekolah antarabangsa;
    • ibu bapa mempunyai anak yang lahir di luar negara dan mempunyai kerakyatan negara tempat lahir; dan
    • ibu bapa yang mempunyai bukti kukuh akan diarahkan bertugas di luar negara dalam masa terdekat sama ada dari sektor swasta atau kerajaan.
  1. Pengurusan sekolah antarabangsa perlu menyediakan kuota tertentu untuk kemasukan anak-anak pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara seperti pegawai-pegawai Wisma Putra yang boleh kembali ke tanah air pada bila-bila masa. Kemasukan anak-anak pegawai kerajaan tersebut adalah termasuk dalam bilangan had siling 40% kemasukan murid-murid warganegara Malaysia ke sekolah antarabangsa.
  1. Sekolah antarabangsa yang menjadi pilihan ibu bapa atau penjaga murid hendaklah memastikan yang institusinya masih belum melepasi had siling 40% kemasukan murid-murid warganegara Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  1. Sekolah antarabangsa yang telahpun memenuhi had siling 40% kemasukan murid-murid warganegara Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dilarang untuk menerima kemasukan murid warganegara Malaysia yang baru.
  1. Sekiranya sekolah antarabangsa belum lagi memenuhi had siling 40% kemasukan murid-murid warganegara Malaysia, tetapi bilangan murid di sekolah berkenaan telahpun mencapai kapasiti maksima kemasukan murid, maka sekolah berkenaan adalah juga dilarang untuk menerima kemasukan murid warganegara Malaysia yang baru.
  1. Pemohon boleh mengemukakan permohonan baru bagi kemasukan ke sekolah antarabangsa yang lain selepas didapati sekolah yang menjadi pilihan tersebut telahpun mencapai had siling yang ditetapkan.
  1. Setiap kelulusan terhadap kemasukan murid warganegara Malaysia ke sekolah antarabangsa hanya sah untuk tempoh tiga bulan dari tarikh kelulusan dibuat. Sekiranya murid yang diluluskan untuk kemasukan tidak didaftarkan dalam tempoh berkenaan, maka kelulusan yang diberi akan terbatal dengan sendiri.
  1. Pemohon yang ditolak permohonannya boleh mengemukakan rayuan kepada Y.B. Menteri Pelajaran Malaysia menerusi Jabatan Pelajaran Swasta dalam tempoh 7 hari dari tarikh keputusan.
  1. Keputusan yang dibuat oleh Y.B. Menteri Pelajaran Malaysia berhubung dengan rayuan berkenaan adalah muktamad.
  1. Murid-murid warganegara Malaysia yang diluluskan kemasukannya ke sekolah antarabangsa diwajibkan mengambil mata pelajaran tambahan seperti berikut:
    • Peringkat rendah - Bahasa Melayu, Pendidikan Islam/Moral dan Kajian Tempatan; dan
    • Peringkat menengah - Bahasa Melayu, Pendidikan Islam/Moral dan Sejarah.
  1. Bagi memenuhi keperluan pelaksanaan mata pelajaran tambahan tersebut, maka pengurusan sekolah antarabangsa hendaklah melaksanakan tindakan berikut:
    • Mata pelajaran tembahan hendaklah menggunakan sukatan pelajaran di bawah KBSR bagi peringkat rendah dan sukatan pelajaran di bawah KBSM bagi peringkat menengah mengikut Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 [P.U.(A) 531/97].
    • Semua mata pelajaran tambahan hendaklah diajar dalam bahasa Kebangsaan.
    • Mata pelajaran tambahan hendaklah dimasukkan ke dalam jadual waktu rasmi sekolah.
    • Bagi kemudahan murid-murid beragama Islam, maka jadual waktu rasmi pada hari Jumaat (jika hari Jumaat merupakan hari persekolahan), perlulah disesuaikan untuk membolehkan muridmurid yang beragama Islam untuk menunaikan sembahyang Jumaat.
    • Mengurus dan mengendali peperiksaan bagi semua mata pelajaran tambahan dan merekodkan keputusan peperiksaan murid berkenaan untuk tujuan rekod pencapaian murid.
    • Guru-guru yang mengajar mata pelajaran tambahan hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja dan didaftarkan mengikut seksyen 105 Akta Pendidikan 1996.
    • Guru-guru yang dilantik untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam hendaklah merupakan guru yang dibenarkan oleh pihak berkuasa di negeri sekolah antarabangsa berkenaan didaftarkan. Pengurusan sekolah antarabangsa hendaklah memaklumkan kepada Pendaftar Sekolah dan Guru di negeri masing-masing untuk mendapatkan kebenaran tersebut.
    • Infrastruktur yang berkaitan dengan pengajaran semua mata pelajaran tambahan hendaklah disediakan dengan lengkap dan mencukupi untuk keperluan pengajaran dan keperluan murid-murid, termasuk kemudahan surau untuk murid-murid beragama Islam.
  1. Setiap sekolah antarabangsa yang diluluskan menerima kemasukan murid-murid warganegara Malaysia hendaklah mengemukakan laporan enrolmen murid antarabangsa dan murid warganegara Malaysia dengan menggunakan borang seperti Lampiran 1B dan dihantar kepada Jabatan Pelajaran Swasta seperti butir-butir berikut:

Data Sehingga Hantar Sebelum

Data Sehingga Hantar Sebelum

31 Januari

28 Februari

31 Mei

30 Jun

30 September

30 Oktober

 

  1. Bagi murid-murid warganegara Malaysia yang sedang belajar di sekolah antarabangsa yang hendak dipindahkan oleh ibu bapa mereka ke sekolah antarabangsa yang lain, hendaklah mematuhi perkara-perkara berikut:
    1. Permohonan hendaklah menggunakan borang seperti pada Lampiran 1C.
    2. Permohonan hendaklah dikemukakan menerusi Jabatan Pelajaran Swasta, Kementerian Pelajaran Malaysia selepas mendapat persetujuan sekolah masing-masing, dalam tempoh tidak kurang daripada tiga (3) bulan pada tarikh pertukaran yang dicadangkan.
    3. Kementerian Pelajaran Malaysia hanya akan meluluskan permohonan pertukaran berkenaan sekiranya sekolah antarabangsa yang menjadi pilihan tersebut masih mempunyai tempat mengikut had siling 40% yang diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
    4. Setiap kelulusan terhadap pertukaran murid warganegara Malaysia ke sekolah antarabangsa yang lain hanya sah untuk tempoh tiga bulan dari tarikh kelulusan dibuat. Sekiranya murid berkenaan tidak didaftarkan atau gagal mendaftar di sekolah antarabangsa yang telah diluluskan dalam tempoh tersebut, kelulusan yang diberi akan terbatal dengan sendiri.
    5. Sekiranya permohonan pertukaran ditolak, pemohon boleh mengemukakan rayuan kepada Y.B. Menteri Pelajaran menerusi Jabatan Pelajaran Swasta.
    6. Keputusan yang dibuat oleh Y.B. Menteri Pelajaran berhubung dengan rayuan berkenaan adalah muktamad.
  1. Pengambilan murid-murid warganegara Malaysia hendaklah menggambarkan komposisi kaum di negara ini.

Sumber Surat Pekeliling Ketua Pendaftar Sekolah dan Guru Bilangan 3 Tahun 2006