×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK)

JITIK?
Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN). Ahli-ahli JITIK terdiri daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Ketua Audit Negara, Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPM), Ketua Pegawai Eksekutif MDeC dan beberapa Ketua Setiausaha Kementerian. 
JITIK telah ditubuhkan pada 6 Februari 1998. Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) adalah urus setia bagi JITIK. JITIK bertanggungjawab terhadap arah tuju dan dasar-dasar bagi pembangunan ICT serta memantau semua program ICT Sektor Awam berdasarkan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2006 iaitu Pengukuhan Tadbir Urus Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK)
 
Kenapa JITIK?
Pembangunan dan penggunaan ICT dengan meluas di sektor awam melibatkan pelbagai agensi Kerajaan di semua peringkat, kejayaannya amat bergantung kepada kelicinan penyelarasan dan pemantauan yang rapi dan berterusan. Perkara-perkara yang diberikan perhatian adalah antaranya kejelasan dari segi arah tuju dan dasar pembangunan dan penggunaan ICT bagi sektor awam supaya sejajar dengan visi dan misi negara. Di samping itu, penyediaan dasar dan garis panduan yang lengkap seperti standard, keselamatan, pembangunan sumber manusia, perolehan dan sebagainya juga merupakan aspek yang penting.
 
Ianya juga bagi memastikan pembangunan aplikasi dan infrastruktur ICT dalam program-program memajukan perkhidmatan Kerajaan juga terselaras di agensi-agensi Kerajaan dan antara agensi di semua peringkat. Aspek lain adalah pemantauan yang berkesan ke atas semua program pembangunan aplikasi dan infrastruktur ICT supaya dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Pewujudan perkongsian pintar di bidang ICT di antara sektor awam dan swasta juga diambilkira dalam pembangunan tersebut. Akhirnya, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta pembudayaan ICT di kalangan anggota perkhidmatan awam juga dititikberatkan.  
 
Bidang Tugas?
Terma rujukan JITIK adalah menetap visi dan arah tuju, mempertimbang bidang strategik dan keutamaan, mencadang pelan tindakan dan menentukan dasar dan strategi pembangunan dan pelaksanaan ICT di sektor awam. Di samping itu, JITIK bertindak sebagai penasihat dasar-dasar ICT sektor awam kepada Kerajaan berdasarkan pembangunan semasa ICT dan negara. JITIK juga mengkordinasi dan memantau pelaksanaan pembangunan program ICT sektor awam.
 
Bagi memudahkan pelaksanaan tugas-tugas, JITIK boleh menubuhkan lain-lain jawatankuasa yang difikirkan perlu dari semasa ke semasa dan menurunkan kuasa-kuasa tertentu kepada jawatankuasa tersebut. JITIK juga boleh menjemput pakar-pakar dari sektor swasta untuk memberi nasihat sekiranya diperlukan.
 
Penubuhan JITIK ini dapat memantapkan lagi struktur tadbir urus pembangunan ICT Kerajaan ke arah Kerajaan Digital. Penyelarasan dan pemantauan yang jitu dapat mengelakkan pertindihan dan mengurangkan kos, malah dapat merealisasikan hasrat Kerajaan ke arah Kerajaan Digital yang berpaksikan rakyat.
 


STRUKTUR TADBIR URUS ICT SEKTOR AWAM