×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Jawatankuasa Teknikal ICT Sektor Awam (JTISA)

JTISA?

Jawatankuasa Teknikal ICT Sektor Awam (JTISA) sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal ICT (JTICT) melalui Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2009 dan tertakluk kepada Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2006 iaitu Pengukuhan Tadbir Urus Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK) yang telah dikeluarkan pada 13 November 2006. Nama JTICT dipinda kepada JTISA apabila Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2015 (SPA Bil. 3/2015): Garis Panduan Permohonan Kelulusan Teknikal dan Pemantauan Projek Teknologi Maklumat (ICT) Sektor Awam berkuat kuasa mulai 11 November 2015.

 

Kenapa JTISA?

Projek ICT perlu dipantau bagi memastikan projek ICT yang dilaksanakan mempunyai nilai tambah serta dapat memberi pulangan nilai untuk wang (value for money), impak dan keberkesanan yang tinggi kepada rakyat sekaligus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Untuk tujuan tersebut, JTISA ditubuhkan bagi menimbang, menilai dan meluluskan permohonan teknikal perolehan projek ICT daripada agensi sektor awam berdasarkan pelan strategik organisasi dan pelan strategik ICT agensi mengikut had nilai yang telah ditetapkan. Di samping itu, JTISA memantau kemajuan pembangunan dan pelaksanaan projek ICT bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan program ICT agensi-agensi sektor awam dijalankan selaras dengan dasar ICT Kerajaan.
 

Siapa di Sebalik JTISA?

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) adalah urus setia bagi JTISA. Pengerusi JTISA adalah Ketua Pegawai Maklumat Kerajaan (GCIO) dan ahli-ahli adalah terdiri daripada wakil dari pelbagai agensi Kerajaan dan panel pakar dalam bidang ICT dan kepakaran khusus atau subject matter expert (SME).
 

Bidang Utama JTISA

JTISA menilai permohonan projek ICT agensi Sektor Awam dari aspek business case yang kukuh, daya maju teknikal (technical viability) dan pengoptimuman sumber (manusia, kos dan masa) bagi menyokong keperluan perkhidmatan teras sesebuah agensi. Penilaian ini bertujuan memastikan projek ICT yang dilaksanakan mempunyai nilai tambah serta dapat memberi pulangan nilai untuk wang (value for money), impak dan keberkesanan yang tinggi kepada rakyat sekaligus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Selain itu, JTISA memantau kemajuan pembangunan dan pelaksanaan, keberkesanan dan impak pelaksanaan serta menyelaras dan memudah cara penyelesaian masalah dan isu semasa dalam pembangunan dan pelaksanaan projek ICT. JTISA akan menyediakan laporan kemajuan pelaksanaan projek ICT kepada Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK).

 

Bagaimana Projek dipantau?

Sistem Aplikasi Profil Projek ICT (PROFIT) telah dikuat kuasakan kepada semua agensi Sektor Awam melalui Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU iaitu Pelaksanaan Permohonan Kelulusan Teknikal dan Pemantauan Projek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Menggunakan Sistem Aplikasi Projek ICT Sektor Awam (PROFIT) Agensi Sektor Awam pada 19 Februari 2016. Sistem aplikasi PROFIT mendaftar dan merekod permohonan perolehan projek ICT, mengemas kini dan memantau semua projek ICT yang dibangunkan dan dilaksanakan oleh agensi Sektor Awam. Selain itu, sistem aplikasi PROFIT bertujuan untuk menyediakan satu repositori sumber maklumat profil projek ICT. Sistem PROFIT boleh dicapai melalui URLhttps://profitv2.mampu.gov.my.

 

Jumlah projek yang telah dinilai dari tahun 2015 sehingga Januari 2017 adalah seperti graf di bawah:

Rujukan