×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Data Dictionary Sektor Awam (DDSA)

Pengenalan

Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) didefinisikan sebagai keterangan mengenai sesuatu data yang standard merangkumi nama elemen data, alias (nama lain elemen data), keterangan ringkas data, saiz elemen data, jenis medan dan rasional bagi elemen data. Ianya juga menetapkan standard kod data bagi elemen tertentu untuk diguna pakai oleh semua agensi Sektor Awam. Sistem DDSA boleh diakses melalui http://sddsa.mampu.gov.my. Data dictionary terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu:

1) Data Generik; dan
2) Data Aplikasi Spesifik
     a) Sumber Manusia;
     b) Pengurusan Projek;
     c) Tanah dan GIS;
     d) Perakaunan dan Kewangan;
     e) Perdagangan dan Industri;
     f) Perolehan dan Pengurusan Aset;
     g) Kesihatan;
     h) Pelajaran;
     i) Data Islamik; dan
     j) Statistik.

Latar belakang

Kemajuan pesat bidang teknologi maklumat dan telekomunikasi serta peningkatan pelaksanaan  program  pengkomputeran  di  agensi-agensi  sektor  awam  telah  mewujudkan keperluan untuk berkongsi maklumat dan mengintegrasi sistem-sistem di kalangan agensi kerajaan. Perkara ini sukar dilakukan disebabkan tiada satu definisi dan format data yang standard yang boleh diguna pakai oleh semua agensi kerajaan. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Data Dictionary Sektor Awam telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1999 yang dipengerusikan oleh MAMPU dan ahli kumpulan kerja daripada agensi sektor awam yang bertanggungjawab untuk merancang, memantau dan menyelaras pembangunan kamus data mengikut kumpulan kerja. 11 kumpulan kerja telah ditubuhkan dalam membangunkan kamus data generik dan data aplikasi spesifik.

Objektif

Mewujudkan standard atau piawaian bagi elemen yang merangkumi struktur dan kod yang perlu digunapakai oleh agensi-agensi Sektor Awam bagi memudahkan usaha-usaha perkongsian maklumat menerusi integrasi dan interoperabiliti sistem.

Aktiviti 2016

Mesyuarat Kumpulan Kerja 1 telah diadakan pada 20 Mei 2016 dan 21 Oktober 2016. Manakala Mesyuarat Jawatankuasa Data Dictionary Sektor Awam telah diadakan pada 30 Jun 2016 dan 19 Disember 2016. Satu (1) Bengkel Data Dictionary Sektor Awam yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Strategik dan Arkitektur ICT (BSA) telah diadakan pada 3 Ogos 2016 yang disertai oleh semua ahli kumpulan kerja DDSA. Hasil daripada bengkel tersebut akan digunakan untuk mengenalpasti pelan tindakan yang akan dibangunkan dan dilaksanakan. Pekeliling Am Bil 2 Tahun 2002 telah dilihat semula dalam Bengkel Rasionalisasi Pekeliling Am ICT Sektor Awam pada 16 November 2016 untuk penambahbaikan kandungan. Pekeliling DDSA baharu dicadangkan akan dikeluarkan pada tahun 2017. Pengurusan Sistem DDSA dilaksanakan secara berterusan untuk pengurusan pengguna dan data serta penambahbaikan sistem. Statistik pengguna DDSA bagi tahun 2016 adalah seperti rajah di bawah: 



Pendaftaran Pengguna Sistem DDSA Pada Tahun 2016

 

Faedah Penggunaan DDSA

Secara keseluruhannya pelaksanaan penggunaan DDSA ini akan memberi faedah-faedah seperti berikut:

a) Memudahkan pelaksanaan dan pengintegrasian  sistem-sistem aplikasi di dalam dan di antara agensi;
b) Memudahkan pertukaran data antara agensi-agensi kerajaan;
c) Membantu agensi-agensi kerajaan dalam pembangunan sistem aplikasi;
d) Membenarkan pengguna-pengguna untuk berkomunikasi antara satu dengan lain menggunakan definisi dan format data yang sama;
e) Menyediakan asas untuk melaksanakan dokumentasi yang standard di  agensi-agensi kerajaan; dan
f) Memudahkan perhubungan antara sektor awam dan sektor swasta melalui penggunaan definisi data yang standard.



Rantaian Kehadapan

Sektor  Awam  Malaysia  akan  mempunyai  satu standard yang boleh diguna pakai oleh semua agensi yang juga akan memudahkan usaha-usaha "system integration dan interoperability" antara agensi-agensi sektor awam.

Pautan Kepada Halaman Yang Spesifik

Sistem Data Dictionary Sektor Awam