×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

1BestariNet

Apakah itu 1BestariNet?

1BestariNet adalah projek inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications. Dalam projek ini, 10,000 sekolah di seluruh Malaysia akan dilengkapi akses Internet berkelajuan tinggi dan platform pembelajaran maya yang mengaplikasikan jaringan Internet berkelajuan tinggi serta akses kepada penyelesaian pendidikan bersepadu bertaraf dunia. Visi 1BestariNet adalah mengubah platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan jurang digital di antara murid kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan pendidikan berteras Internet yang berkualiti kepada semua rakyat Malaysia.

Latar belakang

Penyelesaian Bersepadu

Di bawah 1BestariNet, sekolah-sekolah akan dilengkapi dengan penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pengurusan pentadbiran dijalankan di Internet menerusi Virtual Learning Environment (Frog VLE), yang boleh diakses di sekolah atau dimana-mana sahaja yang mempunyai capaian Internet.

Bagaimana komponen penyelesaian pendidikan ini dijalankan secara bersepadu?

Di Kawasan Sekolah: Akses dan Keselamatan

Sekolah-sekolah akan dilengkapi capaian Internet, membolehkan akses ke VLE yang bertaraf dunia. Ini merupakan sumbangan progresif ke arah pendidikan berteras teknologi Internet untuk pengajaran dan pembelajaran berkesan serta memudahkan pengurusan pentadbiran sekolah. Kandungan Internet juga ditapis secara terus di sekolah bagi menggalakkan persekitaran pembelajaran selamat, di mana akses murid ke laman web berunsur negatif akan disekat. Hanya laman web ilmiah yang disahkan oleh KPM akan disenarai putih dan dibenarkan melepasi tapisan kandungan.

Di Luar Kawasan Sekolah: Fleksibiliti dan Mobiliti

Frog VLE adalah platform berteras cloud yang fleksibel dan boleh diakses dimana-mana jua dari luar kawasan sekolah. Fail dan data yang disimpan di cloud boleh diakses dimana-mana sahaja dan bila-bila masa dengan capaian Internet. Malah, pengguna diberi akses percuma ke VLE setiap kali log masuk dari rangkaian Yes dengan ID log masuk VLE. Samada menggunakan rangkaian Yes atau Yes Hotspot dan tiada caj yang dikenakan bagi penggunaan VLE.

Apakah Objektif Pewujudan 1BestariNet?

Objektif pewujudan 1BestariNet adalah seperti berikut:

  1. Merapatkan jurang digital di antara masyarakat bandar dan luar bandar;
  2. Meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia;
  3. Menyokong inisiatif mempromosikan inovasi berteras teknologi;
  4. Membentuk pemimpin masa depan berkualiti dengan sokongan pendidikan dan pembelajaran yang mantap; dan
  5. Meningkatkan cara penyampaian pendidikan menerusi penyelesaian pembelajaran Internet bersepadu.

Apakah Impak 1BestariNet kepada Rakyat?

Inisiatif 1BestariNet berupaya untuk:

  1. Mengurangkan jurang digital sekolah bandar dan luar bandar;
  2. Pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja; dan
  3. Menghubungkan para pendidik di seluruh negara bagi membolehkan mereka berkolaborasi serta berkongsi sumber dan idea.

Rantaian Kehadapan

Inisiatif kerajaan ini bakal menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang dilengkapi akses Internet mudah alih 4G dan VLE sedia ada di semua sekolah seluruh Malaysia.

Maklumat lanjut boleh layari laman web : http://1bestarinet.net/