×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

GOS GATEWAY(Government Online Services Gateway)

Apakah GOS Gateway?
Government Online Services Gateway atau GOS Gateway adalah satu gerbang perkhidmatan Kerajaan yang mengintegrasikan perkhidmatan dalam talian agensi kerajaan bagi memudahkan capaian dilakukan oleh rakyat melalui satu gerbang tunggal. GOS Gateway menyediakan perkhidmatan digital yang berpaksikan rakyat dan berkonsepkan life-event serta disediakan dalam talian secara menyeluruh (end-to-end services). Sebelum pelaksanaan GOS Gateway, perkhidmatan Kerajaan disampaikan secara silo.

Sejarah Perjalanan GOS Gateway
MyGovernment Online Services Portal (MOSP1.0) iaitu www.malaysia.gov.my, atau lebih dikenali sebagai MyGov Portal, telah bermula dengan pelaksanaan Fasa 1 Portal Perkhidmatan Awam (PPA) pada November 2003 dalam bentuk statik.  Ini diikuti dengan Fasa 2 dan Fasa 3 di mana perkhidmatan dalam talian kerajaan ditambahbaik melalui peluasan  perkhidmatan.  
Pada Ogos 2011, MOSP1.0 berkonsepkan single window government no wrong door, dilaksanakan di mana MyGov Portal membolehkan rakyat Malaysia untuk mengakses laman web agensi kerajaan lain, membuat bayaran perkhidmatan kerajaan dalam talian, memuat turun borang-borang kerajaan, dan menghantar borang dalam talian. Di bawah MOSP1.0, sebanyak 1296 perkhidmatan kerajaan dalam talian telah dimuat naik ke portal ini.
 

Mengapa GOS Gateway dibangunkan?

Sememangnya menjadi impian bagi setiap rakyat Malaysia untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan secara dalam talian serta membuat capaian menerusi satu laman web sahaja. Perkhidmatan ini ada seperti memohon bantuan kerajaan, menduduki peperiksaan akademik, mendaftar anak untuk persekolahan, membayar cukai, memohon dan menyemak permohonan lesen perniagaan, mendapatkan maklumat berkaitan klinik dan hospital terdekat dan lain-lain.



Ini semua akan menjadi realiti dengan penambahbaikan MyGovernment Online Services Portal (MOSP) sedia ada kepada GOS Gateway. Gerbang baharu ini akan mengintegrasikan perkhidmatan dalam talian agensi kerajaan yang akan memudahkan pencapaian dilakukan oleh rakyat melalui satu gerbang tunggal. GOS Gateway adalah satu usaha untuk mentransformasikan MOSP1.0 ke arah perkhidmatan digital berpaksikan rakyat dan berkonsepkan life event yang sebelum ini disampaikan secara silo malah dapat menyediakan perkhidmatan dalam talian secara menyeluruh (end-to-end services).

Konsep life event yang diperkenalkan adalah merujuk kepada sesuatu perkara atau peristiwa penting yang memberi nilai terhadap kehidupan rakyat, dan disokong oleh Kerajaan untuk perkhidmatan mesra rakyat. Selain itu, usaha ini juga dijangka dapat menambah baik kedudukan perkhidmatan dalam talian Malaysia yang disediakan untuk penilaian United Nations E-Government Index, iaitu mensasarkan kedudukan ke 15 menjelang tahun 2020 bagi Online Service Index (OSI).

GOS Gateway bukan sahaja akan memudahkan rakyat yang selama ini perlu mengenal pasti portal agensi kerajaan yang hendak dicapai terlebih dahulu, tetapi ia juga membolehkan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh agensi kerajaan disepadukan supaya mudah dicapai.

GOS Gateway disediakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap penggunaan dan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan dalam talian sedia ada. Oleh itu, GOS Gateway akan menjadi laluan utama untuk rakyat berurusan dengan kerajaan.
    

Apakah Manfaat Yang Diperolehi Daripada GOS Gateway?
GOS Gateway membantu memudahkan rakyat berurusan dengan Kerajaan. Rakyat tidak perlu untuk mendapatkan perkhidmatan di pelbagai agensi, di samping dapat mengurangkan kepada rakyat. GOS Gateway juga dapat meningkatkan kepuasan pelanggan terhadap penyampaian perkhidmatan Kerajaan, meningkatkan transaksi secara dalam talian berbanding transaksi secara manual terdapat penjimatan kepada agensi Kerajaan. Dan yang akhirnya, ianya dapat meningkatkan imej Kerajaan dan kedudukan negara dalam penilaian peringkat global.