×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

48 Jam Hackathon Data Terbuka Sektor Awam 2016

Apa itu 48 Jam Hackathon Data Terbuka?.
Program 48 Jam Hackathon Data Terbuka Sektor Awam 2016 telah diadakan selama 48 jam tanpa henti bermula pada 25 Oktober 2016 dan berakhir pada 27 Oktober 2016 di Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia, Cyberjaya Selangor. Hackathon ini merupakan sebahagian daripada rancangan pelaksanaan Data Terbuka Sektor Awam. Penganjuran Hackathon ini adalah hasil kerjasama MAMPU bersama-sama rakan strategiknya iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), GITN Sdn. Berhad (GSB), dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC).


Hackathon merupakan satu pertandingan pembangunan produk menggunakan set data yang disediakan di Portal Data Terbuka Sektor Awam sebagai data asas di samping menggunakan sumber-sumber data lain. Pertandingan ini bertujuan untuk menyediakan ruang perkongsian ilmu, mempromosi produk atau inisiatif digital perkhidmatan awam dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam membangunkan produk inovasi menggunakan Data Terbuka Sektor Awam. Justeru, penyertaan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan. Program ini telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Joseph Entulu Belaun dengan bertemakan "MENYEMARAKKAN KUASA DATA TERBUKA UNTUK INOVASI".


Objektif
1.  Menyediakan ruang perkongsian ilmu ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan digital.
2.  Mempromosikan produk/inisiatif digital perkhidmatan awam.
3.  Menggalakkan penglibatan penjawat awam, industri, akademia universiti awam, pelajar sekolah menengah dan rakyat dalam membangunkan produk inovasi menggunakan Data Terbuka Sektor Awam.


Penyertaan peserta
Hackathon ini telah disertai oleh 47 kumpulan yang terdiri daripada 153 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat iaitu penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi dan komuniti. Terdapat tiga (3) kategori telah dipertandingkan iaitu Sektor Awam & industri, Universiti Awam serta Sekolah Menengah.


 
Gambar 1 : Poster 48 Jam Hackathon 2016

 

 


 
Gambar 2: Majlis Perasmian oleh YB Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri


Siapakah yang memenangi Hadiah 48 Jam Hackathon 2016?
Tempat pertama bagi kategori Sektor Awam & Industri telah dimenangi oleh Kumpulan Deep Mind dan kategori Universiti Awam pula dimenangi oleh Kumpulan Oozma Kappa dengan masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM10,000.  Manakala Kumpulan Cybrig dari Melayu College Kuala Kangsar telah menjuarai kategori Pelajar Sekolah Menengah dan menerima wang tunai sebanyak RM3,000.  Hadiah kepada pemenang-pemenang telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara sempena Persidangan Public Sector Chief Information Officer (CIO CONVEX 2016) pada 22 November 2016 di Hotel Sama-Sama, KLIA Sepang, Selangor.


Outcome / Impak
• Membangunkan hasil berkualiti tinggi yang akan digunakan oleh semua sektor sama ada daripada sektor swasta atau awam untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

• Melahirkan idea-idea baharu yang kreatif dan inovatif dalam usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan dengan memanfaatkan data yang telus, mampan dan lengkap.

• Mencipta aplikasi yang mudah, menarik dan inovatif bagi kegunaan rakyat


Pautan
1.    http://www.data.gov.my/
2.    http://www.mampu.gov.my/ms/
4.    http://www.bharian.com.my/node/205788
5.    http://www.data.gov.my/page/apps