×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

33 Jam Hackathon Data Terbuka Sektor Awam 2015

Apa itu 33 Jam Hackathon Data Terbuka Sektor Awam?

Program Hackathon Terbuka Sektor Awam 2015 merupakan satu pertandingan pembangunan produk menggunakan set data yang disediakan di Portal Data Terbuka Sektor Awam sebagai data asas di samping menggunakan sumber-sumber data lain. Penganjuran Program Hackathon ini bertujuan untuk menyediakan ruang perkongsian ilmu, mempromosi produk atau inisiatif digital perkhidmatan awam dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam membangunkan produk inovasi menggunakan Data Terbuka Sektor Awam. Justeru, penyertaan program ini adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan.

Pemilihan tema Program Hackathon pada tahun ini "TERBUKA, INOVATIF, MENCIPTA" adalah sangat bertepatan dengan objektif penganjurannya iaitu TERBUKA kepada semua rakyat Malaysia dan peserta bebas dalam penggunaan set data dari portal Data Terbuka Sektor Awam dan set data dari sumber lain untuk MENCIPTA produk yang INOVATIF dan ANALITIK. Perasmian Program Hackathon ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Seri Zainal Rahim bin Seman, Ketua Pengarah MAMPU.

Objektif

1. Menyediakan ruang perkongsian ilmu ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan digital. 
2. Mempromosikan produk/inisiatif digital perkhidmatan awam. 
3. Menggalakkan penglibatan penjawat awam, industri, akademia universiti awam, pelajar sekolah menengah dan rakyat dalam membangunkan produk inovasi menggunakan Data Terbuka Sektor Awam.


Penyertaan peserta

Pertandingan pembangunan produk selama 33 jam dalam Program Hackathon ini bermula pada 9 September 2015 jam 11.00 pagi dan berakhir pada 10 September 2015 jam 8.00 malam.  Program Hackathon  ini telah disertai oleh 37 kumpulan yang terdiri daripada 131 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat iaitu penjawat awam, pelajar institusi pengajian tinggi dan komuniti. Program ini memberi peluang kepada peserta untuk menguji bakat dan kreativiti berdasarkan kemampuan masing-masing sehingga terciptanya satu produk inovatif yang dapat diperluaskan untuk kegunaan rakyat.

    

                Gambar 1 : 33 JAM HACKATHON 2015

     

            Gambar 2 : Perasmian 33 JAM HACKATHON 2015

 

Apakah Hadiah 33 Jam Hackathon 2015?

Program 33 Jam Hackathon 2015 telah menawarkan hadiah yang lumayan kepada para pemenang. Pemenang pertama akan menerima hadiah bernilai RM10,000, RM5,000 untuk pemenang tempat kedua, RM3,000 untuk pemenang tempat ketiga, RM2,000 untuk pemenang tempat keempat dan 10 hadiah bernilai RM1,000 disediakan untuk pemenang saguhati. Pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah kepada pemenang Hackathon akan dilaksanakan semasa program Forum dan Wadah Perkhidmatan Digital Kerajaan yang diadakan pada 8 Oktober 2015 di Dewan Serbaguna, Menara Seri Wilayah, Presint 2, Putrajaya.

Outcome/Impak

• Membangunkan hasil berkualiti tinggi yang akan digunakan oleh semua sektor sama ada daripada sektor swasta atau awam untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

• Melahirkan idea-idea baharu yang kreatif dan inovatif dalam usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan dengan memanfaatkan data yang telus, mampan dan lengkap.

• Mencipta aplikasi yang mudah, menarik dan inovatif bagi kegunaan rakyat.

Pautan

1.http://www.data.gov.my/

2.http://www.mampu.gov.my/ms/video-2015/mediaitem/406-sesi-penilaian-akhir-33-jam-hackathon-data-terbuka-sektor-awam2016-06-24-03-47-51

3.http://www.mampu.gov.my/ms/ucapan-ketua-pengarah-mampu/335-teks-ucapan-kp-mampu-sempena-majlis-perasmian-hackathon