×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi

Pengenalan
 
Strategi pelaksanaan inisiatif Jalur Lebar Negara atau dikenali sebagai Pelan Jalur Lebar Negara (National Broadband Initiative - NBI) adalah strategi yang dapat mengembangkan penggunaan jalur lebar di mana asas pelaksanaannya adalah untuk membawa jalur lebar ke serata pelusuk negara Malaysia. 
 
Latar belakang
 
Inisiatif Jalur Lebar Negara atau "National Broadband Initiative" (NBI) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Sri Najib Tun Razak pada 24 Mac 2010. Inisiatif yang didokongi oleh Kerajaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM - MCMC) ini merupakan suatu pelan "Strategi bagi Pengimplementasian Jalur Lebar Nasional". 
 
Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) mula direalisasikan dengan inisiatif berikut:
 
1) Pelaksanaan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) ke rumah di mana satu jalur lebar yang akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 615,000 orang di 246 lokasi;  
 
2) Penubuhan Pusat Internet Rakyat atau Pusat Mini Komuniti Jalur Lebar di 138 premis Jabatan Penerangan di seluruh negara yang memberi liputan jalur lebar kepada 400,000 pengguna;
 
3) E-kiosk yang akan disediakan di pusat kemasyarakatan dan pejabat mukim di 1,100 mukim di seluruh negara;
 
4) Peluasan liputan selular awam di mana 873 menara baru telekomunikasi akan dibina di seluruh negara termasuk 278 menara di Sabah dan 257 menara di Sarawak;
 
5) Mengagih-agihkan satu (1) juta Netbook kepada pelajar-pelajar kurang mampu dari keluarga miskin di seluruh negara; dan
 
6) Telekom Malaysia telah bersetuju untuk memperkenalkan pakej jalur lebar berserta netbook dengan bayaran dikurangkan daripada RM50 kepada RM38 dan RM20.
 
Pelaksanaan
 
Satu strategi telah dikenal pasti merangkumi kedua dua aspek penawaran dan permintaan jalur lebar.
 
Dari aspek penawaran, kemudahan dan perkhidmatan jalur lebar akan dilaksanakan ke seluruh negara. Penghantaran perkhidmatan adalah melalui penyambungan dengan wayar dan tanpa wayar. Namun begitu, kewujudan jalur lebar dan liputan khidmat telefon mudah-alih akan diperluaskan di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
 
Untuk kawasan impak ekonomi tinggi, perkhidmatan jalur lebar semasa akan dipertingkatkan lebih daripada 10 Mbps iaitu untuk membekalkan kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi di kawasan tertentu. 
 
Dalam peringkat untuk meningkatkan daya tarikan terhadap kandungan talian, usaha lebih menumpukan untuk mengukuhkan dan mempromosi e-Kerajaan, e-Pendidikan dan e-Perbankan.
 
 
Usaha juga turut dijalankan untuk menukarkan sumber informasi secara tradisional kepada digital seperti perpustakaan, Arkib dan lain-lain secara dalam talian. 
 
Pelbagai insentif untuk mengurangkan kos capaian jalur lebar  dan meluaskan capaian komuniti sedang dipertingkatkan untuk merapatkan jurang digital.
 
Peluasan Rangkaian Fiber Optik 
 
Untuk menampung permintaan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi, kapasiti rangkaian teras perlu dinaiktaraf bagi membolehkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih berkelajuan tinggi dapat disediakan.
 
Sejak 2014, pihak SKMM telah melaksanakan inisiatif Peluasan Rangkaian Fiber Optik di mana rangkaian teras sedia ada yang berhubung dengan menara komunikasi akan dinaiktaraf kepada fiber optik. Penaiktarafan rangkaian teras ini akan membolehkan perkhidmatan jalur lebar 3G dan 4G dapat disediakan.
 
Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) 
 
Bagi melonjakkan kadar penembusan jalur lebar negara, pihak SKMM telah memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu yang dikenali sebagai RBB. Objektif utama inisiatif ini adalah untuk menyediakan infrastruktur jalur lebar dengan kelajuan sehingga 4Mbps di kawasan yang mempunyai kurang liputan perkhidmatan di luar bandar.
 
Inisiatif ini dilaksanakan dengan menaiktaraf rangkaian teras yang menghubungkan ibusawat ke kabinet sehingga ke kediaman atau premis. Dengan yang demikian, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan sehingga 4Mbps dapat disediakan secara komersil kepada pengguna.
 
Peluasan Liputan Jalur Lebar Mudah Alih – 3G & LTE 
 
Peluasan Liputan Jalur Lebar Mudah Alih 3G & LTE merupakan satu inisiatif yang dirangka untuk menaiktaraf perkhidmatan 2G sedia ada kepada perkhidmatan 3G serta memperluaskan liputan perkhidmatan 3G & LTE ke kawasan yang mempunyai kurang liputan perkhidmatan.
 
Dengan terlaksananya inisiatif ini, pihak SKMM berharap penggunaan perkhidmatan jalur lebar mudah alih akan berkembang sekaligus meningkatkan kadar penembusan jalur lebar negara kepada tahap yang lebih tinggi.
 
 
Suburban Broadband (SUBB) 
 
SUBB merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi mencapai sasaran penyediaan jalur lebar menjelang tahun 2020.
 
Inisiatif SUBB ini melibatkan penaiktarafan ibusawat, rangkaian teras dan kabinet bagi membolehkan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan sehingga 20Mbps dapat disediakan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
 
Komited Capai Sasaran 95 Peratus Liputan Jalur Lebar Menjelang 2020 
 
Buat masa ini, SKMM dan pihak swasta mula melaksanakan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (HSBB2) dan Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar lebih berkualiti di seluruh negara.
 
Objektif / Tujuan
 
Melalui inisiatif NBI pada tahun 2007, Kerajaan menyasarkan sasaran bahawa 50% dari seluruh isi rumah di Malaysia mencapai penggunaan perkhidmatan jalur lebar menjelang tahun 2010.
 
Selaras dengan objektif pelaksanaan NBI, komuniti luar bandar boleh menikmati kebaikan internet seperti yang dirasai oleh komuniti di bandar dan menyumbang ke arah kejayaan insiatif negara untuk merapatkan jurang digital antara komuniti luar bandar dan bandar.
 
Di antara projek Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM - MCMC) dan inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) seperti di bawah:
 
 Sebahagian besar 22% rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu, bagi membuka akses lebuh raya maklumat kepada golongan muda, satu pakej khas diperkenalkan oleh Kerajaan melalui kerjasama antara SKMM serta syarikat telekomunikasi selular. 
 
Rebat RM200 diberi secara ‘one-off' untuk pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui wakil syarikat tersebut. Pakej dilaksanakan pada 1 Januari 2013 dan dijangka dapat memanfaatkan 1.5 juta belia di Malaysia. 
 
Objektif
 
• Mempertingkatkan taraf hidup rakyat terutamanya golongan belia; dan 
• Menyasarkan golongan belia sebagai golongan yang mampu memberi impak yang besar dalam memacu pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam bidang e-perdagangan (e-commerce).
 
 Program Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) untuk menyediakan pusat capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan melalui Program Perkhidmatan Sejagat (USP).
 
 
SKMM, .my Domain Registry, Google dan iTrain memperkenalkan ‘Get Malaysian Business Online' (GMBO) bagi membantu 50,000 usahawan mikro, sektor industri kecil dan sederhana (SME) di Malaysia terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran RM1,000.00. 
 
 
Statistik
 
• Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM - MCMC) merangka pelbagai perancangan dalam usaha mencapai sasaran 95 peratus liputan jalur lebar menjelang 2020.
 
• Pada 2009 kadar penembusan jalur lebar adalah 31.7 peratus dan bagi tahun 2010 ialah 67.1 peratus. Hanya 7.9 peratus lagi untuk sampai 75 peratus sasaran menjelang 2015.
 
• Berdasarkan kepada statistik pada tahun 2008, industri komunikasi dan multimedia menyumbang 6.1 peratus dalam penggal perolehan KDNK Negara.
 
• Program Komunikasi Belia memanfaatkan 1.5 juta belia.
• Bagi tahun 2013 sehingga 2015, 100 Pusat Internet 1Malaysia di tubuhkan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bandar.
• GMBO telah membantu 50,000 usahawan mikro, sektor industri kecil dan sederhana (SME) di Malaysia. 
 
Apakah impak yang diperolehi daripada pelaksanaan Jalur Lebar Negara?
 
• Pelaksanaan jalur lebar mewujudkan kesan yang ketara kepada sumbangan 1% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara;
• Pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar menghasilkan keluaran sampingan di sektor lain seperti kejuruteraan, pembangunan kandungan tempatan dan penyiaran;
• Penggunaan jalur lebar meningkatkan daya saing Negara dan menarik Pelaburan Langsung Asing atau "Federal Direct Investment" (FDI) ke dalam negara;
• Jalur lebar adalah salah satu pemboleh ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan akan mewujudkan 135,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ICT;
• Kadar penembusan jalur lebar negara telah bertambah daripada 25 peratus pada tahun 2006 kepada 66.6 peratus pada suku pertama 2013 manakala kadar liputan selular bagi kawasan berpenduduk ditingkatkan daripada 82 peratus pada 2008 kepada 96.8 peratus pada suku pertama tahun ini;
• Pada Mac 2010, kadar langganan jalur lebar isi rumah ialah 33.2 %. Sehingga tahun 2014, 7.4 juta langganan 3G selular dan 2.78 juta langganan jalur lebar di Malaysia; dan
• Kajian mendapati bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna Yahoo! nombor 1 di Asia, ke-3 bagi rangkaian sosial Friendster, ke-4 terbesar dari segi peserta blog dan ke-19 bagi Facebook;
 
Rantaian Kehadapan
 
Pelaksanaan Jalur Lebar Negara dijangka dapat memberi kemudahan kepada semua peringkat seperti ahli perniagaan, pelanggan, ekonomi tempatan, pengguna dan secara tidak langsung kepada seluruh negara. Ianya termasuklah memperluaskan perniagaan di dalam dan luar negara kerana hampir 75% dari populasi dunia adalah pengguna internet. 
 
Banyak maklumat boleh didapati di internet hanya dengan satu klik. Perniagaan tidak tertumpu hanya pada pengguna tempatan, malah ianya dapat menarik minat pengguna dari serata dunia dengan hanya menggunakan kos yang minimum. Tambahan pula penggunaan internet adalah mudah, cepat dan tidak rumit dan boleh dilayari pada bila masa dan di mana sahaja. SKMM percaya ianya akan memudahkan urusan perniagaan dengan menyediakan maklumat berguna dan mudah didapati.
 
Pautan kepada halaman Spesifik
 
Rujukan pelaksanaan inisiatif NBI: http://nbi.skmm.gov.my/