×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA)

Pengenalan
e-Pembelajaran Sektor Awam atau EPSA adalah latihan secara atas talian bagi memberi kemudahan kepada penjawat awam mengikuti kursus pada bila-bila masa di mana sahaja. Pembelajaran atas talian adalah pilihan yang lebih efisien dari segi masa dan kos.  Tuntutan pembelajaran sepanjang hayat yang secara tidak langsung menambah tuntutan terhadap individu supaya sentiasa mendapatkan akses kepada pengetahuan secara berterusan. 
 
Latar belakang
Sistem e-Pembelajaran Sektor Awam atau EPSA adalah inisiatif Kerajaan Malaysia dimana INTAN telah diberikan mandat untuk menggalakkan penggunaan ICT kepada kakitangan awam untuk tujuan pembelajaran berterusan dan sepanjang hayat. Setiap penjawat awam sama ada pra, di dalam atau selepas perkhidmatan layak menjadi ahli EPSA.  Keahlian EPSA bagaimanapun tertakluk kepada dasar privasi. EPSA merupakan penyelesaian pembelajaran inovatif (innovative learning solution) untuk kegunaan semua penjawat awam.  Sistem EPSA membolehkan penjawat awam mengikuti kursus secara atas talian tanpa perlu hadir secara fizikal di mana-mana institusi latihan. Sistem ini telah beroperasi secara rasmi pada 9 Julai 2007.  Lokasi pelaksanaan ialah di INTAN, Bukit Kiara dan boleh dicapai oleh semua personel sektor awam, sama ada di dalam atau di luar negara. Pembangunan Sistem EPSA merupakan satu idea kreatif dan inovatif untuk membudayakan pembelajaran berterusan di kalangan penjawat awam. Ia merupakan sistem e-pembelajaran sektor awam yang pertama di Malaysia. Kaedah pembelajaran ini adalah pelengkap kepada kaedah latihan sedia ada.  Sistem EPSA mampu melatih lebih ramai penjawat awam pada sesuatu masa berbanding dengan latihan dalam bilik kuliah. Sistem EPSA boleh dicapai tanpa batasan masa dan tempat sebagaimana tagline EPSA "Pembelajaran Bila-bila Masa, Di Mana Jua".
 
Apakah Objektif Pembangunan EPSA?  
 
1.Menyediakan lebih peluang latihan dan pembelajaran kepada lebih ramai penjawat awam;
2.Memberi kuasa kepada penjawat awam (empowerment) dalam menentukan dan merancang program pembelajaran masing-masing;
3.Menggalakkan perkongsian sumber latihan termasuk infrastruktur dan bahan kursus;
4.Merancang dan mengikuti pembelajaran mengikut kesesuaian masa dan tempat; 
5.Membudayakan pembelajaran berterusan (continuous learning); dan
6.Menyediakan kaedah pembelajaran yang memberi tumpuan pada pembelajaran secara teragih (decentralised) bagi menjimatkan kos dan masa.
 
Apakah impak pelaksanaan EPSA?
Antara impak pelaksanaan EPSA adalah seperti berikut:
1.Menyokong Aspirasi RMK9 dalam Pembangunan Modal Insan
EPSA menyokong dasar latihan Sumber Manusia Sektor Awam melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 2005 yang mewajibkan penjawat awam mengikuti sekurang-kurangnya tujuh hari kursus dalam setahun bagi mempertingkatkan minda dan seterusnya membangunkan modal insan ke arah knowledge-worker.  
 
2.Pemantapan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Pembelajaran (Learning System Delivery Service).
Sistem EPSA dapat memantapkan serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan pembelajaran di sektor awam secara langsung dan signifikan melalui cara berikut:
a.Menambah kapasiti latihan supaya lebih ramai personel boleh dilatih dalam tempoh yang lebih singkat.
b.Menjimatkan kos latihan melalui Sistem EPSA.
c.Menambah bilangan dan jam kursus yang boleh ditawarkan.
 
3.Peluang Pembelajaran Berterusan
Melalui EPSA penjawat awam dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di samping membina sikap yang positif dalam usaha beralih ke ekonomi berasaskan pengetahuan dan membangunkan masyarakat berpengetahuan (Knowledge-Society) serta perkhidmatan awam yang berpengetahuan (Knowledge Based Civil Service).
 
4.Pelaksanaan Blended Learning
EPSA menyokong pelaksanaan blended learning yang memperkayakan sistem pembelajaran di INTAN. Blended learning bertujuan melahirkan kakitangan awam yang berfikir dan berbakat di samping meningkatkan kecekapan dan keberkesanan di agensi latihan sektor awam yang lain.
 
PAUTAN KEPADA HALAMAN YANG SPESIFIK