×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Rasionalisasi Laman Web

Pengenalan

Pelaksanaan rasionalisasi laman web telah bermula pada tahun 2015 dengan hasrat ke arah sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan dalam talian yang berpaksikan rakyat. Oleh yang demikian, peningkatan kualiti laman web agensi sektor awam dapat memastikan  kedudukan Malaysia dalam penilaian yang dijalankan oleh United Nations e-Government Survey dapat ditingkatkan. Pelaksanaan rasionalisasi laman web sektor awam juga adalah untuk memastikan semua laman web agensi adalah berkualiti dan mematuhi kriteria penilaian laman web.

Apakah Rasionalisasi Laman Web?

Rasionalisasi Laman Web Sektor Awam dilaksanakan berdasarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Aplikasi Perdana Multimedia Super Corridor (MSC) Malaysia (MSC Malaysia Flagship Coordination Committee) ke-38 pada 19 November 2014 telah memutuskan rasionalisasi laman web perlu dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah laman web kerajaan menjelang akhir tahun 2015. Mesyuarat Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK) Bil. 1/2015 yang diadakan pada 6 Mac 2015 telah bersetuju rasionalisasi laman web sektor awam perlu diteruskan ke arah mengurangkan sehingga 50% laman web sektor awam.

Satu Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU telah dikeluarkan pada 26 Mei 2015 bagi menerangkan pelaksanaan rasionalisasi laman web. Sehingga 31 Disember 2016, Malaysia telah berjaya mengurangkan sebanyak 61.2% laman web agensi sektor awam.

(Rumusan Pelaksanaan Konsolidasi Laman Web Sektor Awam sehingga 31 Disember 2016)

 

Mengapa Rasionalisasi Laman Web dilaksanakan?

Objektif pelaksanaan rasionalisasi laman web sektor awam adalah seperti berikut:

  • Mengurangkan jumlah laman web di Agensi Pelaksana yang mempunyai laman web berganda, laman web tidak diperlukan lagi dan laman web yang tidak diselenggara.
  • Mengkonsolidasi laman web agensi sektor awam dengan menyusun semula dan mengintegrasi laman web serta menghapuskan elemen yang tidak berkaitan.
  • Meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan yang berpaksikan rakyat.
  • Menjimatkan kos agensi dari segi penyediaan dan penyenggaraan laman web melalui penggunaan sumber yang optimum. 
  • Merekayasa laman web sedia ada selari dengan amalan baik dan penandaarasan di peringkat antarabangsa.

Apakah manfaat yang diperolehi daripada Rasionalisasi Laman Web?

Manfaat yang diperolehi daripada pelaksanaan rasionalisasi laman web adalah seperti berikut:

  • Menjadi saluran pilihan utama rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan Kerajaan.
  • Meningkatkan penggunaan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan dalam talian.
  • Penggunaan sumber yang optimum.

Rantaian Kehadapan

Pelaksanaan Rasionalisasi Laman Web Sektor Awam berupaya untuk meningkatkan prestasi laman web agensi yang berkonsepkan perkhidmatan, penggunaan sumber yang optimum, keselamatan maklumat terpelihara serta meningkatkan penggunaan perkhidmatan dalam talian untuk menjadi sebuah Kerajaan Digital.