×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK)

Pengenalan

KIK merupakan mekanisme pengurusan yang berkesan untuk membina modal insan dalam Perkhidmatan Awam yang berketerampilan tinggi bagi merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan agensi-agensi Kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Di samping itu, KIK juga mempunyai prinsip asas yang mengiktiraf pekerja sebagai sumber paling bernilai dalam organisasi dan menyediakan forum kepada mereka untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan dan seterusnya melaksanakan tindakan yang diputuskan secara berpasukan.


Latar belakang

Sesuai dengan keperluan semasa dan perubahan di dalam dan luar negara, Kerajaan telah mengkaji semula peranan dan kaedah yang digunakan oleh Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) dalam penyelesaian masalah organisasi. Ia bertujuan untuk menggalakkan budaya inovatif dan kreatif serta memberi peluang kepada anggota Perkhidmatan Awam untuk menggilap kebolehan dan meningkatkan kompetensi diri. Ikutan daripada itu, KMK telah ditukar nama kepada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).


Mengapa KIK dilaksanakan?

KIK dilaksanakan untuk menambahbaik dan meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja khususnya dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan melalui:

1.Keupayaan mencipta cara bekerja baru atau menghasilkan inovasi

2.Kebolehan menyelesaikan masalah atau membuat penambahbaikan kerja

3.Semangat bekerja secara berpasukan

4.Penyemaian dan penerapan nilai serta etika kerja positif

5.Penglibatan dan peningkatan komitmen terhadap kerja

6.Dorongan kerja yang tinggi

7.Kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap diri sendiri, kumpulan, organisasi dan negara

8.Penggalakan penghasilan idea-idea yang inovatif dan kreatif

9.Pewujudan hubungan yang harmorni di antara pihak pengurusan dan pekerja.

Panduan mengenai KIK ditambah baik bagi meneruskan momentum pembudayaan inovasi dan kreativiti sektor awam dan seterusnya memberi peluang kepada segenap lapisan anggota sektor awam untuk menggilap kebolehan dan meningkatkan kompetensi diri dalam menghasilkan projek-projek inovatif yang berimpak tinggi. Oleh itu, Panduan Pembudayaan dan Pemerkasaan Inovasi dalam Sektor Awam Melalui Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif ini diterbitkan.

Panduan Pembudayaan dan Pemerkasaan Inovasi dalam Sektor Awam Melalui Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) memberi penekanan kepada keberhasilan (outcome) dan potensi pengembangan projek. Panduan ini meliputi tiga (3) fasa seperti pada Rajah 1.

Rajah 1 : Fasa Pelaksanaan Pembudayaan dan Pemerkasaan Inovasi dalam Sektor Awam Melalui Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK)


Fasa pengembangan projek merupakan keluk terakhir yang menterjemahkan kejayaan pelaksanaan Fasa Pertama (Penghasilan Projek) dan Fasa Kedua (Pengiktirafan). Fasa ini merangkumi pengkomersialan, replikasi dan pertandingan inovasi.

Replikasi secara umumnya boleh ditafsirkan sebagai proses menghasilkan salinan yang sama. Dalam konteks KIK, replikasi ialah satu kaedah yang membolehkan agensi menggunakan atau mengadaptasikan projek-projek KIK yang memberi manfaat mengikut kesesuaian dan keperluan agensi masing-masing.

Kebolehgunaan projek KIK dapat dimanfaatkan melalui perkongsian hasil projek KIK antara agensi. Kaedah ini dapat menjimatkan kos serta masa pembangunan projek baharu dan memberi faedah kepada sektor awam.


Konvensyen KIK

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif mula dilaksanakan pada Tahun 2010 berdasarkan kepada Panduan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang telah dikeluarkan oleh MAMPU pada 1 November 2009. Pertandingan ini adalah merupakan penambahbaikan dan penjenamaan semula terhadap Pertandingan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan sejak tahun 1991.

Konvensyen KIK telah dilaksanakan sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan penyertaan warga dalam memperkenalkan inovasi dan membuat penambahbaikan terhadap perkhidmatan yang kepada pelanggan.


Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam (MPIPA)

Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam (MPIPA) merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang diadakan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada penjawat awam yang bergiat aktif menghasilkan projek inovasi khususnya melalui Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di peringkat negeri dan juga kementerian


OUTCOME/IMPAK/STATISTIK

Jumlah Penyertaan Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) Dalam Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan 2014 Hingga 2016

2014

 

2015


2016

 

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan boleh terus kepada Bahagian Penyelidikan Pengurusan, MAMPU di talian 03 – 8000 8000 atau emel kepada webmaster@mampu.gov.my 


PAUTAN KEPADA HALAMAN YANG SPESIFIK

http://www.mampu.gov.my/ms/pekeliling/category/160-2016?download=261:pekeliling-transformasi-pentadbiran-awam-bil-1-2016