×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Anugerah Inovasi

Pengenalan
Menelusuri trajektori Malaysia sebagai sebuah negara membangun dan dinamik di ambang negara maju, pemerkasaan inovasi diiktiraf sebagai kunci kejayaan dan pemacu negara ke arah status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Kerajaan mempunyai dua peranan utama dalam memartabatkan agenda inovasi negara; pertamanya, sebagai fasilitator yang menggalakkan inovasi dalam pelbagai bidang pertumbuhan ekonomi, umpamanya melalui pemerkasaan sains dan teknologi. Keduanya, penjawat awam perlu bertindak sebagai inovator dalam pelaksanaan usaha-usaha transformasi penyampaian perkhidmatan awam bagi memenuhi harapan negara dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat. 
 
Program pengiktirafan dalam sektor awam telah dimulakan pada tahun 1990 dengan pengenalan program Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) dan Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam (AKPA). Seiring dengan agenda Gerakan Budaya Kerja Cemerlang yang dilancarkan oleh Kerajaan pada tahun 1989, program ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada agensi-agensi sektor awam yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam pengurusan organisasi secara keseluruhan serta mempamerkan ciri-ciri keunggulan dalam bidang-bidang khusus. 
 
Tahun 2010 telah menyaksikan satu peralihan daripada Gerakan Budaya Kerja Cemerlang (1989-2009) kepada Gerakan Transformasi Sektor Awam (2010-kini) yang bercirikan pembaharuan secara lonjakan mega dan bukan lagi bersifatincremental/berdikit-dikit. Struktur baharu pengiktirafan sektor awam yang diperkenalkan turut mencerminkan konsep ini melalui pemberian ganjaran wang tunai yang lumayan dan setimpal dengan taraf anugerah yang unggul dan berprestij.
 
Struktur pengiktirafan inovasi semenjak tahun 2010 sehingga kini terdiri daripada dua (2) peringkat iaitu Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) di peringkat pertama pengiktirafan (first tier) dan Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) bagi empat (4) bidang pengurusan utama sektor awam di peringkat kedua (second tier).
 
Apakah Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM)?
 
Mulai tahun 2010, Kerajaan telah memperkenalkan Anugerah Inovasi Perdana Menteri atau AIPM bagi mengiktiraf penghasilan inovasi yang signifikan dan berimpak tinggi dalam sektor awam. Pengiktirafan terunggul sektor awam ini yang membawa hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta, trofi dan sijil merupakan cerminan kepada komitmen Kerajaan untuk memperkenalkan pendekatan baharu yang bersifat radikal bagi menyokong Agenda Transformasi Negara.
 
Apakah Anugerah Inovasi Sektor Awam?
 
Anugerah Inovasi Sektor Awam atau AISA merupakan penganugerahan di peringkat kedua tertinggi (second tier) bagi mengiktiraf agensi sektor awam yang berjaya menampilkan pelbagai penyelesaian kreatif dalam empat (4) bidang khusus pengurusan sektor awam yang dikenal pasti sebagai kritikal dalam jentera transformasi Kerajaan iaitu Pengurusan Kewangan, Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan serta Pentadbiran Daerah dan Tanah. 
 
AISA membawa ganjaran wang tunai sebanyak RM300,000.00, trofi dan sijil bagi setiap kategori anugerah yang dipertanggungjawabkan kepada agensi urus setia masing-masing: 
 
(a) Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK) 
 
•Mengiktiraf agensi Kerajaan yang menghasilkan inovasi dalam pengurusan kewangan. 

•Meliputi penambahbaikan sistem yang sedia ada, penjimatan perbelanjaan awam serta peningkatan hasil kerajaan melalui pengurusan kewangan yang cekap dan berkesan. 

•Diurussetiakan oleh Kementerian Kewangan. 

 
(b) Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AIICT)
 
• Mengiktiraf organisasi di atas inisiatif yang berjaya memanfaatkan ICT secara menyeluruh dan secara inovatif dalam penyampaian perkhidmatan. 
• Diurussetiakan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). 
 
(c) Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT) 
 
•Mengiktiraf Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang dan usaha gigih serta berinovatif dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan PBT. 

•Diurussetiakan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

 
(d) Anugerah Inovasi Pentadbiran Daerah dan Tanah (AIPDT)
•Mengiktiraf Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Residen, Pejabat Tanah dan Survei serta Pejabat Tanah dan Galian dengan sistem pengurusan yang cemerlang serta berjaya melaksanakan program-program inovatif dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan. 

•Diurussetiakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri. 

 
Piala 
 
Anugerah Inovasi Piala Perdana Menteri
 
 
Anugerah Inovasi Sektor Awam
 
Rantaian kehadapan
Evolusi peranan sektor awam dan cabaran penyampaian perkhidmatan yang semakin kompleks menuntut kaedah baharu yang menjangkaui konvensi bagi memastikan keberhasilan yang benar-benar memenuhi objektif inovasi. Perkembangan trend baharu inovasi di peringkat global meliputi pendekatan design thinking, inovasi sosial dan makmal inovasi dilihat amat berkait rapat dalam merangka modus operandi baharu pelaksanaan inovasi dalam sektor awam agar selari dengan kehendak semasa dan keperluan pada masa akan datang. Maklumat lanjut berhubung AIPM dan AISA boleh dilayari http://www.mampu.gov.my/ms/agensi-kerajaan/pengiktirafan-sektor-awam