×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Program Immersion

Pengenalan

Program Immersion ialah satu program yang telah dicadangkan menerusi The 38th Flagship Application Coordination Committee (FCC) pada 19 November 2014.  Program ini merupakan penempatan penjawat awam ke Agensi Swasta bagi pembangunan secara pantas (fast track) kapasiti ICT penjawat awam.  

Objektif

Menerusi Program Immersion, penjawat awam akan melalui proses transformasi dengan cetusan idea-idea baru, penggunaan teknologi terkini serta perubahan cara bekerja ke arah yang lebih kritis dan inovatif selaras dengan pemodenan struktur perkhidmatan awam itu sendiri.  

Kerjasama pintar menerusi penempatan penjawat awam ke Agensi Swasta dapat menyerlahkan imej penjawat awam menerusi pembangunan kendiri, personaliti dan sikap yang lebih positif dalam merealisasikan pengurusan dan pentadbiran perkhidmatan awam yang terbaik. Penjawat awam didedahkan dengan persekitaran luar yang dinamik serta diterapkan dengan ciri-ciri peribadi bersifat multi skilled and adaptable workers. 

Mesyuarat Mingguan Jabatan Perkhidamatan Awam (JPA) dengan Ketua Setiausaha Negara bertarikh 14 Januari 2015 telah bersetuju penempatan pegawai menggunakan Jawatan Penempatan Khas, JPA dan secara pentadbiran di Multimedia Development Corporation (kini dikenali sebagai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)) selama setahun bermula pada April 2015.  Program ini melibatkan seramai 15 orang pegawai daripada Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat yang terdiri daripada:

i.   5 orang PTM Gred F44;

ii.  5 orang PTM Gred F41;

iii. 3 orang PPTM Gred F32; dan

iv. 2 orang PPTM Gred F29

Peserta Program Immersion

 

PENCAPAIAN DAN PERKEMBANGAN POSITIF PESERTA SEPANJANG TEMPOH PROGRAM

1. TEMPAT KEDUA DALAM PERTANDINGAN HACKATON SEKTOR AWAM

Pendedahan peserta kepada penghasilan idea bernas dan kreatif semasa 3 bulan pertama di MDEC telah membantu peserta IP yang menyertai Hackaton Sektor Awam pada awal September 2015 dan menghasilkan satu aplikasi mudah alih yang berkualiti dan berpotensi dengan menggunakan sumber data terbuka Sektor Awam.  Wakil peserta Program Immersion telah berjaya mendapat tempat kedua daripada 43 penyertaan.  

2. KEJAYAAN PEMBANGUNAN APLIKASI MOBIL JEJAK ASNAF (MOJA)

Aplikasi MOJA yang dibangunkan oleh peserta Immersion telah membantu pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuat penjimatan dalaman.  Pihak MAIWP menerusi Mesyuarat Penyerahan Aplikasi MOJA kepada MAIWP pada 7 April 2016 turut memaklumkan bahawa pembangunan MOJA memenuhi hasrat MAIWP untuk membangunkan aplikasi ini yang telah tertangguh selama beberapa tahun. 

3. PEMBANGUNAN SKIL TEKNIKAL PEGAWAI

Kursus pembangunan aplikasi mudah alih menggunakan bahasa pengaturcaraan native telah meningkatkan skil teknikal peserta.  Sesi Jaminan Mutu oleh MAMPU dan beberapa wakil agensi terpilih ke atas penghasilan produk pada 29 Mac 2016 membuktikan bahawa peserta berupaya membangunkan aplikasi mudah alih dan dibuktikan apabila keseluruhan peserta mendapat markah 70% ke atas bagi penilaian teknikal oleh panel penilai. 

4. PEMBANGUNAN DAN PENINGKATAN KEMAHIRAN INSANI 

Sebanyak 21 skil dan kompetensi dari aspek kemahiran insani yang diterapkan sepanjang tempoh program telah berjaya dipupuk kepada peserta.  Perkembangan positif dan keterampilan peserta dapat dilihat menerusi program-program besar yang melibatkan peserta seperti BDA Digital Government Lab Launch, Microsoft's Imagine Cup (MMU), Jom Sembang 1 dan 2 serta NBOS JPA Outreach Programme.

5. SAINTIS DATA 

Sepuluh (10) peserta Program Immersion telah berjaya bergelar Saintis Data.  Walaupun dibebani oleh jadual program yang padat, peserta tetap komited menyelesaikan tugasan kursus Coursera Data Scientist dan memasuki peperiksaan sehingga selesai

 

Rantaian kehadapan

Program Immersion telah tamat pada 15 April 2016 dan pegawai telah kembali berkhidmat di perkhidmatan awam iaitu di MAMPU, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unit Government Online Services (GOS), JPM.  Inisiatif yang sama seterusnya diteruskan dengan Program Sangkutan Industri Secara Kerjasama MAMPU-CISCO yang bermula 1 November 2016 hingga 31 Januari 2017.

 

PROGRAM SANGKUTAN INDUSTRI 

SECARA KERJASAMA MAMPU-CISCO

Pengenalan

Program Sangkutan Industri Secara Kerjasama MAMPU-CISCO: Inkubator Pembangunan Prototaip Berasaskan IoT (Inkubator IoT) adalah program baharu yang dilaksana bagi tujuan meningkatkan kompetensi personel ICT MAMPU, menerusi kolaborasi di antara Kerajaan dan swasta. Program Inkubator IoT ini adalah  sebahagian daripada program sangkutan industri yang dirangka dalam Jaringan Kolaboratif Strategik Sektor Awam (JKSSA). 

Objektif

Program dilaksanakan bersama-sama syarikat CISCO Systems (M) Sdn. Bhd. (CISCO Malaysia) yang merupakan rakan strategik MAMPU dengan objektif yang berikut :

i. Merapatkan jurang pengetahuan dan kemahiran di antara Kerajaan dan industri ICT, khususnya berkaitan teknologi IoT;

ii. Meningkatkan kerjasama dan hubungan yang lebih erat di antara Sektor Awam dan swasta melalui pendekatan yang bukan berasaskan projek semata-mata;

iii. Meningkatkan keupayaan personel ICT MAMPU dan Sektor Awam dalam bidang teknologi berasaskan kepada IoT, serta memberi pendedahan terhadap pengalaman bekerja dalam persekitaran industri ICT yang mencabar; dan

iv. Membantu pihak Kerajaan melaksanakan transformasi, dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dan relevan kepada rakyat, dengan memanfaatkan penggunaan teknologi yang terkini. 

Inkubator IoT telah dijalankan selama tiga (3) bulan, bermula 1 November 2016 hingga 31 Januari 2017. Program ini melibatkan tiga (3) orang peserta iaitu dua (2) orang Pegawai MAMPU daripada Sektor ICT dan seorang personel GITN Sdn. Bhd. yang menjadi wakil bagi industri ICT. Program Inkubator IoT menempatkan peserta di CISCO Malaysia di Kuala Lumpur dan CISCO Global Center of Excellence Songdo, Incheon, Korea Selatan (GCoE Songdo). Ini membolehkan peserta untuk menggunakan kemudahan makmal termasuklah perkakasan dan perisian yang dimiliki oleh CISCO, bagi tujuan menjalankan kajian dan membangunkan serta menguji prototaip.

 

Peserta bersama wakil CISCO di Seoul Transport Operation And Information Service (Topis), Seoul , South Korea (20 Dec)

 

Selain daripada bantuan teknikal, perkongsian pengetahuan dan kemahiran juga dilaksana sepanjang program berlangsung dengan fokus kepada bidang IoT dan rangkaian produk CISCO.

Pembangunan Prototaip

Sistem Pemantauan Saluran Air Hujan atau Gutter Surveillance System (GSS) merupakan prototaip yang dibangunkan oleh peserta setelah beberapa siri brainstorming yang dijalankan. 

 

 

 Proses Pembangunan Prototaip oleh peserta Inkubator

 

Sistem Pemantauan Saluran Air Hujan atau GSS ini, telah dibangunkan melalui penggunaan sensor, yang menjadi komponen utama untuk mengesan keadaan air (paras dan aliran). Bacaan yang diperolehi, akan diterjemahkan kepada data yang kemudiannya diproses secara analitik oleh sistem aplikasi, bagi mendapatkan status saluran air hujan. 

 

 

Rantai Kehadapan

Pelaksanaan Inkubator IoT telah berjaya meningkatkan keupayaan personel ICT MAMPU dan Sektor Awam amnya, dalam bidang teknologi berasaskan IoT, serta memberi pendedahan terhadap pengalaman bekerja dalam industri ICT. MAMPU dan CISCO kini dalam proses untuk melibatkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi meningkatkan lagi kematangan fungsi prototaip GSS ini yang berpotensi untuk digunakan sebagai usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes.