×

Sila masukkan kata kunci untuk membuat carian.

Menjalankan Perkahwinan

1. Lokasi akad nikah

Akad nikah dilangsungkan dalam kariah di mana perempuan itu tinggal atau bermastautin. Akad Nikah boleh berlangsung atas kebenaran Pendaftar.

Majlis akad nikah dilangsungkan oleh:

  1. Wali di hadapan Pendaftar.
  2. Wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar.
  3. Pendaftar sendiri sebagai wakil wali.
  4. Pendaftar sebagai Wali Raja ( Hakim ) bagi perempuan yang tidak ada wali nasab atau wali enggan.

 

2. Lokasi akad nikah luar negara

Akad Nikah di luar negara boleh dilaksanakan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul. Akad nikah di Badan-Badan Agama, Majlis Agama Islam atau Pusat Islam hendaklah mengikut Hukum Syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa di negara berkenaan.

 

3. Wali bagi wanita

Peranan wali perempuan dalam pernikahan islam amat penting kerana ia merupakan salah satu daripada rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak. Wali hendaklah terdiri daripada orang yang berkelayakan.

Susunan Wali Perempuan yang sah mengikut Hukum Syara' adalah seperti Berikut :

  1. Bapa kandung.
  2. Datuk (bapa kepada bapa) dan ke atas.
  3. Saudara lelaki seibu sebapa.
  4. Saudara lelaki sebapa.
  5. Anak saudara lelaki seibu sebapa.
  6. Anak saudara lelaki sebapa.
  7. Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu sebapa ke bawah
  8. Anak lelaki kepada anak saudara lelaki sebapa ke bawah
  9. Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.
  10. Bapa saudara sebelah bapa sebapa.
  11. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (sepupu)
  12. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa (sepupu)
  13. Anak lelaki sepupu seibu sebapa ke bawah
  14. Anak lelaki sepupu sebapa ke bawah
  15. Bapa saudara bapa sebelah bapa seibu sebapa (datuk saudara)
  16. Bapa saudara bapa sebelah bapa sebapa (datuk saudara)
  17. Anak lelaki datuk saudara seibu sebapa
  18. Anak lelaki datuk saudara sebapa
  19. Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara seibu sebapa ke bawah 
  20. Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara sebapa ke bawah
  21. Bapa saudara datuk seibu sebapa (moyang saudara)
  22. Bapa saudara datuk sebapa (moyang saudara)
  23. Anak lelaki moyang saudara seibu sebapa
  24. Anak lelaki moyang saudara sebapa
  25. Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara seibu sebapa
  26. Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara sebapa
  27. Wali Hakim/Wali Raja/Wali Sultan

 

4. Berpoligami

Islam mengharuskan poligami atas beberapa sebab:

  1. Suami mempunyai dorongan nafsu syahwat yang luar biasa sehinggakan isteri tidak dapat memenuhi keinginannya.
  2. Keadaan isteri yang sentiasa uzur dan sakit.
  3. Membela kaum wanita yang menjadi balu atau janda setelah suami gugur dalam berjihad menegakkan agama Allah.
  4. Isteri tidak dapat melahirkan zuriat atas sebab kesihatan.


Prosidur Permohonan Poligami adalah mengikut negeri masing-masing merujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri.

 

Rujukan lanjut sila akses portal Jabatan Agama Islam Negeri :

  1. Poligami di Negeri Selangor
  2. Poligami di Wilayah Persekutuan