Kesejahteraan Rakyat
Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan
Pengenalan
Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan atau ringkasnya PADU adalah merupakan pangkalan data berkomputer yang menyimpan dan mengurus maklumat utiliti serta butiran-butiran berkaitan yang disenggara oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Latar Belakang
Masalah gangguan perkhidmatan akibat kerosakan saluran utiliti bawah tanah sering berlaku apabila kontraktor yang dilantik oleh agensi penyedia utiliti atau pemaju menjalankan kerja-kerja pengorekan tanpa maklumat lokasi utiliti yang mencukupi atau dengan menggunakan maklumat yang tidak tepat. Menyedari akan permasalahan ini, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 24 Ogos 1994 dan 14 Januari 1998 telah bersetuju antaranya; supaya JUPEM menyimpan peta-peta yang berkaitan utiliti yang terdapat di bawah tanah, dan pihak penyedia utiliti dikehendaki mengemaskinikan pangkalan data utiliti mereka dan seterusnya membekalkan maklumat dari pangkalan data tersebut kepada JUPEM.
Bagi melaksanakan arahan Kerajaan ini, JUPEM mulai tahun 2006 telah menubuhkan satu bahagian yang bertanggungjawab melaksanakan urusan berkaitan penyimpanan dan penyenggaraan maklumat utiliti bawah tanah.
Inisiatif
Bagi merealisasikan aktiviti pemetaan utiliti bawah tanah di Malaysia, pada tahun 2007 JUPEM telah mengambil inisiatif membangunkan PADU bagi menyimpan data-data utiliti yang dibekalkan oleh Agensi-agensi Penyedia Utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Agensi Pembentungan Negeri, Gas, Petrolium, dan Syarikat Air Negeri. Data-data utiliti yang disimpan adalah seperti kedudukan, kedalaman, jenis, dan saiz pepasangan utiliti yang terdapat/ditanam di bawah tanah dan di atas tanah.
PADU terdiri daripada beberapa lapisan data iaitu; data topografi, data kadaster (lot-lot tanah), imej ortofoto dan data-data utiliti.



