Policy, Strategy and Governance
Perancangan Kajian Impak Data Terbuka Sektor Awam
Pendahuluan
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri merupakan agensi peneraju inisiatif Data Terbuka yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam melalui perkongsian maklumat Kerajaan. Pelaksanaan inisiatif Data Terbuka ini adalah selaras dengan Pelan Strategik ICT Sektor Awam 2016-2020 di bawah Teras Strategik "Kerajaan Berpacukan Data", dan Bab 9, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), bagi Menstransformasi Perkhidmatan Awam untuk Produktiviti. Pelaksanaan Data Terbuka Sektor Awam (DTSA) dalam kalangan agensi membolehkan data sedia ada digunakan untuk analisis yang lebih berkesan, mendapatkan maklum balas daripada orang awam secara interaktif dan menggalakkan penggunaan data kerajaan secara inovatif.
DTSA juga dilaksanakan dengan hasrat untuk memanfaatkan data bagi meningkatkan outcome dan mengurangkan kos serta mentransformasi produktiviti perkhidmatan awam. MAMPU menerajui dan menyelaras pelaksanaan Program Pemerkasaan Lautan Data melalui Data Terbuka yang bertujuan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan berpacukan data. Projek ini terus diperkasakan selaras dengan Pelan Strategik ICT Sektor Awam 2016-2020, Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025, Dasar 4IR Negara dan Blueprint Ekonomi Digital Malaysia.
Pada tahun 2021, MAMPU akan melaksanakan Kajian Impak Pelaksanaan Data Terbuka Sektor Awam yang telah dilaksanakan sepanjang 5 tahun yang lalu. Kajian impak ini dilaksanakan bagi menilai pelaksanaan DTSA sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 dan mendapatkan input untuk perancangan pelaksanaan seterusnya. Dapatan kajian akan digunakan oleh MAMPU untuk merancang, mengurus dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan pelaksanaan DTSA.
