Pendigitalan Norma Baharu (Pasca-Pandemik)
Aplikasi MySejahtera
Latarbelakang/Overview Inisiatif
Wabak COVID-19 telah melanda Malaysia mulai Februari 2020 dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan usaha pengesanan kontak rapat pesakit COVID-19 secara manual. Usaha yang dijalankan oleh para pegawai kesihatan ini adalah sangat membebankan dan melibatkan kos yang amat tinggi.
Dalam usaha meringankan beban KKM, inisiatif MySejahtera telah dibangunkan oleh KKM dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Aplikasi ini telah dilancarkan pada April 2020 selepas pengujian perintis dilaksanakan dan mengambil masa lapan (8) minggu sahaja untuk dibangunkan. Fungsi utama aplikasi mudah alih ini ialah pengesanan kontak rapat pesakit COVID-19 melalui MySejahtera ‘Check In’. Fungsi ini mudah digunakan, mesra pengguna dan selaras dengan norma baharu yang memerlukan rakyat Malaysia mengimbas kod QR sebelum memasuki sebarang premis dan memberikan butiran peribadi bagi memudahkan usaha pengesanan kontak. Aplikasi ini dibangunkan dengan menggunakan ciri Deep Logic yang mengambil kira semua pemboleh ubah yang disediakan dan diserahkan oleh KKM bagi memudahkan proses pengesanan kontak tersebut.
Aplikasi mudah alih ini juga mempunyai fungsi untuk mengenal pasti status risiko penyakit COVID-19 melalui penilaian kesihatan kendiri dan membolehkan pengguna memantau zon hotspot COVID-19 melalui Hotspot Tracker terutamanya jika terdapat kes positif dalam radius 1 kilometer berhampiran dengan lokasi mereka berpandukan GPS. Selain itu, MySejahtera merupakan satu saluran informasi yang digunakan oleh KKM untuk mewar-warkan sebarang pengumuman dan maklumat baharu tentang COVID-19 dan pusat-pusat kesihatan yang menawarkan ujian saringan COVID-19 berdasarkan lokasi semasa mereka.
Outcome/Impak
Setakat ini, sebanyak 75% penduduk di Malaysia telah mendaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera membuktikan kepercayaan komuniti dan pemegang taruh kepada aplikasi ini dan memacu ke arah membina corak pemikiran digital di kalangan rakyat Malaysia. Sebanyak 15 hingga 35 % kes COVID-19 telah dikesan melalui fungsi Check-In. MySejahtera juga telah memudahkan pengesanan segera kontak rapat pesakit COVID-19 melebihi 90% dan memperkasakan rakyat untuk menilai kesihatan kendiri.
Selain itu, MySejahtera telah memenangi pertandingan World Information Technology & Services Alliance (WITSA) Global ICT Excellence Award 2020 dan Reader's Digest Gold Quality Service Award 2020. MySejahtera menyokong Goal 3 SDG iaitu Good Health and Well-Being.
Maklumat Lanjut:
DR. MAHESHWARA RAO A/L APPANNAN
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Pautan:
MySejahterGamma Malaysia