Pendigitalan Norma Baharu (Pasca-Pandemik)
Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec Maya (Aelm) 2020: Perjalanan Tidak Diduga Yang Ditempuh Oleh Malaysia
Tahun yang tidak diduga oleh semua orang. Ya, tahun 2020 penuh dengan kejutan. Tahun ini merupakan tahun bersejarah bagi Malaysia yang berbangga menjadi tuan rumah mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) buat kali kedua, selepas 22 tahun. Malaysia telah menetapkan tema “Mengoptimumkan Potensi Manusia Ke Arah Masa Depan Berdaya Tahan dengan Kemakmuran Bersama – Pangsi. Utamakan. Kemajuan.” Tema ini boleh dihuraikan mengikut 3 bidang keutamaan, iaitu “Memperbaik Nukilan Perdagangan dan Pelaburan”; “Penyertaan Ekonomi Menyeluruh Menerusi Ekonomi dan Teknologi Digital”; dan “Memacu Kemampanan Inovatif”.
Jangan Cemas! Atur semula
Pada 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai pandemik global. Pengumuman ini mengubah jadual perancangan Malaysia sebagai tuan rumah untuk mengadakan mesyuarat APEC secara fizikal. Pandemik ini telah memaksa Malaysia mengubah rancangan mengacarakan APEC 2020. Daripada kanta mata tuan rumah, proses memastikan acara bersejarah ini berjalan lancar perlu dibayar dengan harga yang mahal. Perancangan teliti Malaysia untuk agenda penuh APEC 2020 terpaksa dirombak semula. Pada mulanya, beberapa sesi mesyuarat telah dirancang untuk diadakan secara fizikal di beberapa buah bandar terpilih di Malaysia. Malah, sehingga pertengahan Februari 2020, Malaysia berjaya menganjurkan 2 mesyuarat fizikal; Mesyuarat Tidak Rasmi Pegawai Kanan (ISOM) di Langkawi, Kedah dan Mesyuarat Pegawai Kanan Pertama (SOM1) di Putrajaya.
Manfaat mengadakan mesyuarat secara fizikal hilang sepenuhnya disebabkan oleh pandemik yang berlarutan. Kerajaan Malaysia telah mengambil satu tindakan yang tidak pernah diambil sebelum ini iaitu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama berikutan jumlah kes aktif yang semakin meningkat, dengan purata sebanyak 1,000 kes setiap hari. Malaysia tabah mengharungi cabaran ini dengan menyesuaikan diri dengan norma baharu dan telah mengumumkan bahawa ia akan menjadi tuan rumah mesyuarat APEC dalam format maya sepenuhnya. Keputusan berani ini mencipta landskap baharu dalam mencoret satu peristiwa bersejarah, iaitu mesyuarat maya APEC buat kali pertama.
Cabaran terbesar yang dihadapi oleh Sekretariat Kebangsaan APEC 2020 ialah perubahan format daripada mesyuarat secara fizikal kepada mesyuarat maya. Kejayaan usaha mengatur mesyuarat maya memerlukan persediaan teliti dan satu set etika yang baharu. Beberapa elemen seperti zon waktu yang berbeza dalam kalangan anggota Ekonomi APEC, platform mesyuarat, dan sambungan Internet adalah antara faktor-faktor utama yang perlu dipertimbangkan oleh Sekretariat Kebangsaan APEC 2020 ketika merumuskan dan menjadualkan senarai semak mesyuarat, manual, dan garis panduan. Malah, APEC menerima pakai model Malaysia bagi Prosedur Operasi Standard untuk menganjurkan mesyuarat maya pada masa hadapan, termasuk Garis Panduan untuk Mengatur dan Mengacarakan Acara Projek APEC Maya/Hibrid.
Pecutan Digital Penuh
Malaysia memulakan perjalanan digital bersejarahnya yang pertama bersama APEC apabila ia menjadi tuan rumah Mesyuarat Pegawai Kanan Luar Biasa Maya (VESOM) berkenaan COVID-19 yang telah diadakan pada 27 Mei 2020. Sepanjang tempoh menjelang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC MAYA (AELM) yang telah diadakan dalam bulan November 2020, Malaysia berjaya menganjurkan 65 mesyuarat maya, termasuk 7 mesyuarat peringkat Kementerian.
Sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia turut memikul tanggungjawab mengetuai penggubalan dokumen dasar utama yang akan melakar masa depan rantau ini susulan Matlamat Bogor, selain mengusahakan penghasilan persetujuan Deklarasi Pemimpin yang malangnya sukar dicapai sejak dua tahun lepas. Bagi memastikan kejayaan sebagai tuan rumah, Sekretariat Kebangsaan APEC 2020 ditubuhkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Februari 2018 untuk menyusun perancangan dan pelaksanaan APEC 2020.

Gambar 1: Pengerusi SOM 2020, Encik Hairil Yahri Yaacob mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) secara maya
Melakar Detik Bersejarah
Jumaat, 20 November 2020 ialah satu tarikh bersejarah yang akan dikenang dengan penuh rasa bangga oleh seluruh rakyat Malaysia dan keluarga besar APEC. Buat kali pertama dalam sejarah 31 tahun penubuhan APEC, 21 Pemimpin APEC mengambil bahagian dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC secara maya buat kali pertama. Sepanjang acara bersejarah ini, para Pemimpin telah mengeluarkan Deklarasi Kuala Lumpur 2020 dan berjaya melancarkan Wawasan Putrajaya 2040 APEC. Kepimpinan Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila persetujuan dalam kalangan anggota Ekonomi berjaya dicapai ke arah mewujudkan masyarakat Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040, demi kemakmuran seluruh rakyat dan generasi akan datang. Wawasan Putrajaya 2040 dilancarkan sebagai menggantikan “Matlamat Bogor” yang telah mencapai kematangan pada akhir tahun 2020. “Matlamat Bogor” yang diterima pakai pada AELM 1994 di Bogor, Indonesia menyaksikan semua anggota Ekonomi APEC bersetuju untuk mencapai tahap perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka menjelang tahun 2020.
Bagi memperingati tahun ia menjadi tuan rumah APEC 2020, Malaysia telah memberikan ‘Kotak Balau’, sebuah kotak hadiah seni tangan, kepada semua Pemimpin APEC. ‘Kotak Balau’ ini mengandungi barangan yang dihasilkan oleh perusahaan dan organisasi bukan berasaskan keuntungan di Malaysia. Memandangkan tiada mesyuarat fizikal, ‘Kotak Balau’ dihantar melalui perkhidmatan kiriman cepat kepada setiap Pemimpin. Antara barangan yang terkandung dalam ‘Kotak Balau’ ialah Tali Leher Sutera dan Sapu Tangan APEC 2020, Selendang Bermotifkan Bunga Raya, Pin Lapel APEC 2020 dan Penanda Nama Meja APEC 2020 diperbuat daripada Piuter yang telah digunakan dan dipaparkan oleh Para Pemimpin semasa mesyuarat berlangsung.

Gambar 4: Kotak ‘Balau’
Satu lagi detik bersejarah yang dicatatkan semasa AELM secara maya adalah upacara penyerahan jawatan Pengerusi kepada New Zealand. Upacara penyerahan ini diadakan secara maya buat julung kalinya melalui penyerahan logo APEC 2020 kepada Perdana Menteri New Zealand. Upacara ini menandakan permulaan tempoh tugas New Zealand sebagai Pengerusi APEC untuk 2021.

Gambar 5: Upacara penyerahan jawatan Pengerusi kepada New Zealand
Perjalanan yang tidak diduga oleh Malaysia sepanjang mengacarakan APEC 2020 akan diingati sebagai tahun apabila negara ini telah menjadi tuan rumah mesyuarat APEC secara digital buat julung-julung kali. Kejayaan AELM maya telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) melalui penerimaan sijil yang dianugerahkan kepada Menteri Kanan dan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB. Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 10 Mac 2021. Biar apa pun yang cabaran yang datang, Malaysia Boleh!

Gambar 6: Malaysia Book of Records untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) maya yang pertama
Nota Latar Belakang
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ialah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan kesalingbergantungan yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik. APEC beroperasi berdasarkan tiga prinsip iaitu komitmen tidak terikat, keputusan yang dicapai secara persetujuan, dan secara sukarela.
Hak untuk menjadi tuan rumah APEC digilirkan setiap tahun dalam kalangan 21 anggota APEC. Tahun 2020 menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah buat kali kedua, namun dalam norma yang berbeza. Malaysia telah diamanahkan untuk mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi tahunan dan sebarang mesyuarat yang berkaitan untuk memenuhi peranannya sebagai Pengerusi.
Seramai 21 anggota Ekonomi APEC merangkumi Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Republik Rakyat China, Hong Kong, China, Indonesia, Jepun, Republik Korea, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Cina Taipei, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
