Pendigitalan Norma Baharu (Pasca-Pandemik)
Sistem Maklumat Pergerakan Pulang Pelajar Pendidikan Tinggi ( IPTPulang)
Institusi Bertanggungjawab:
IPTPulang dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan MIMOS Berhad (Pusat Penyelidikan dan Pembangunan).
Keterangan:
IPTPulang adalah aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia melalui portal MyGovernment (malaysia.gov.my) yang membolehkan pelajar tempatan yang terkandas di kampus Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara untuk memohon penghantaran pulang ke rumah (kampung) mereka disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 akibat pandemik Covid-19 di seluruh dunia. Pelajar IPT diminta membuat permohonan dengan mengisi borang permohonan melalui sistem. Selain memberikan maklumat peribadi, mereka juga diminta untuk menyatakan lokasi dan alamat rumah terkini. Walau bagaimanapun, pelajar hanya dibenarkan kembali ke kawasan yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa sebagai zon hijau. Mereka yang rumahnya terletak di zon merah hanya akan diberi kebenaran untuk pulang setelah lokasi dinyatakan mencapai zon hijau. Maklumat tersebut akan digunakan oleh KPT untuk mengatur pergerakan pelajar seterusnya membantu dalam mematuhi prosedur operasi standard kesihatan (SOP) oleh PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
IPTPulang adalah aplikasi berasaskan web yang dibangunkan menggunakan kombinasi Phyton 3 Web Framework, C #, html dan Javascript. Infrastruktur Sistem mempunyai High Availability dan Fault Tolerance yang disokong oleh Pusat Data Sektor Awam (PDSA) untuk memenuhi bilangan capaian yang tinggi oleh pelajar.
IPTPulang dilancarkan secara langsung pada 27 April hingga 29 April 2020 dan dimanfaatkan oleh:
- KPT
- IPT
- Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (IPT)
Sehingga 29 April 2020, jumlah permohonan IPTPulang oleh pelajar adalah 76,820.
