Pendigitalan Norma Baharu (Pasca-Pandemik)
Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG)
Latar Belakang
Pada 2015, semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Malaysia telah menerima pakai Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) yang menetapkan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk dicapai menjelang 2030. Antara lain, matlamat ini bertujuan untuk membasmi semua kategori kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani segera masalah alam sekitar dan memastikan tiada sesiapa pun yang terpinggir daripada arus pembangunan. Agenda 2030 menetapkan sasaran untuk mencapai kesemua matlamat ini melalui pendekatan berintegrasi merentasi pelbagai sektor dan matlamat serta tindakan komprehensif pada semua peringkat. Pada masa ini, perancangan bagi Malaysia mencapai SDG dalam jangka masa sederhana dan panjang telah diselaraskan melalui Rancangan Malaysia Lima Tahun. Namun begitu, keperluan pembiayaan dalam jangka masa pendek untuk pelaksanaan inisiatif, program dan projek bagi mencapai SDG masih belum diselaras dengan baik, bersistematik dan mampan.
Di samping itu, terdapat juga keterbatasan di pihak Kerajaan dalam mengagihkan sumber ke arah usaha untuk menangani isu tertentu yang sensitif seperti isu pelarian, masyarakat rentan dan isu sosial lain. Isu-isu ini mungkin memerlukan kerjasama erat dengan pelbagai rakan pembangunan lain seperti NGO, CSO serta badan-badan antarabangsa seperti United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) dan sebagainya untuk melengkapi usaha Kerajaan dalam mengatasi isu tersebut dengan berkesan. Oleh yang demikian, sepertimana pengumuman dalam Belanjawan 2021, Jemaah Menteri pada 20 Oktober 2021 telah bersetuju untuk menubuhkan Yayasan MySDG dengan kerjasama pihak PBB. Yayasan ini akan mewujudkan mekanisme kewangan yang menyeluruh dan mampan bagi membolehkan pelbagai pihak termasuk Kerajaan, swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), badan-badan korporat, agensi-agensi dari dalam dan luar negara malahan individu untuk turut menyumbang secara sistematik dan berintegrasi ke arah pembiayaan program dan projek bagi mencapai SDG.
Outcome/Impak
Kementerian Kewangan telah mengambil inisiatif untuk membuat pemetaan antara perbelanjaan operasi (OE) dan pembangunan (DE) dengan SDG. Hasil pemetaan ini menunjukkan terdapat jurang pembiayaan bagi beberapa SDG yang mungkin boleh menjejaskan pencapaian Agenda 2030. Yayasan MySDG akan menyediakan sebuah platform untuk menyelaras pembiayaan dari pelbagai sumber dengan lebih terselaras, sistematik dan berterusan di mana pelbagai pihak dapat bersama-sama menyumbang dan terlibat dalam melengkapi usaha Kerajaan memastikan SDG tercapai menjelang 2030.
Pada masa ini, walaupun telah wujud pelbagai yayasan atau tabung yang diuruskan oleh pelbagai pihak termasuk NGO dan CSO, namun ianya bersifat fragmented dan tidak mampan di mana kelangsungan yayasan tersebut banyak bergantung kepada nilai sumbangan yang dapat dikutip serta kedudukan ekonomi dan kewangan korporat. Oleh yang demikian, banyak program atau projek yang dirancang tidak dapat dilaksanakan malahan terdapat yayasan yang terpaksa ditutup atau tidak diteruskan atas pelbagai faktor termasuk tiada kelangsungan dari segi dana yayasan. Oleh itu, penubuhan Yayasan MySDG ini bukan sahaja boleh menerima sumbangan daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara malahan perancangan dan pelaksanaan program dan projek berkaitan SDG akan menjadi lebih mudah dan mempunyai objektif khusus dengan kelangsungan sumber yayasan yang lebih mampan.
Melalui kerjasama dengan pihak PBB dalam menguruskan yayasan, di samping usaha promosi yang berintegrasi antara Kerajaan dan badan antarabangsa tersebut, Yayasan MySDG ini akan diamanahkan untuk menarik lebih banyak sumbangan dan melaksanakan pelbagai program atau projek yang berimpak tinggi serta memenuhi keperluan pelbagai pihak di negara ini. Pengurusan bersama dengan PBB juga dijangka akan meningkatkan kredibiliti Yayasan ini di peringkat antarabangsa dan keyakinan terhadap pengurusan kewangannya.
Kesimpulan
Usaha mencapai SDG 2030 hanya kurang sedekad sahaja lagi untuk dilaksanakan. Justeru, Kerajaan perlu menjadikan usaha mencapai SDG sebagai salah satu dasar utama Kerajaan. Sehubungan dengan itu, penubuhan Yayasan MySDG dipercayai mampu untuk menarik lebih banyak sumbangan bagi melaksanakan pelbagai program dan projek berkaitan SDG dalam melengkapi usaha Kerajaan memastikan SDG negara tercapai menjelang 2030.
Maklumat Lanjut
Nama: Mohamad Ramli bin Mohamad Roslan
Telefon: +03 8882 4633
