Dasar, Standard, Pekeliling dan Garis Panduan
Dasar Pengambilan Dan Pertukaran Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dan Kelas Aliran Agama Kementerian Pendidikan Malaysia
Pengenalan
Sejarah penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bermula dengan pengambilalihan 11 buah Sekolah Agama Negeri dan Rakyat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1977. Dari 11 buah sekolah SMKA telah berkembang kepada 60 buah SMKA pada tahun 2019.
Pada tahun 1970-an sekolah-sekolah menengah agama rakyat kurang mendapat sambutan kerana sistem pentadbirannya yang tidak teratur dan kurang prasarana. Pada masa yang sama, kesedaran masyarakat terhadap pendidikan semakin meningkat. Oleh itu Kementerian Pelajaran pada masa itu telah berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia agar sistem pentadbiran dan kurikulum di sekolah-sekolah agama diselaraskan dengan sekolah menengah harian.
Kebanyakkan sekolah agama sebelum ini menitikberatkan Pengajian Islam dan Bahasa Arab sahaja tanpa memberi perhatian kepada matapelajaran yang lain seperti yang wujud di Sekolah Menengah Kebangsaan misalnya matapelajaran Sains, Matematik, Geografi dan lain-lain. Fenomena ini berlaku kerana sekolah-sekolah agama tidak berkemampuan untuk menyediakan bilik-bilik makmal yang mahal harganya. Implikasinya lulusan sekolah agama kurang mampu bersaing dalam pasaran sumber tenaga manusia dan cabaran masyrakat semasa
Latar Belakang
- SMKA ialah sekolah kawalan asrama harian yang melaksanakan dwikurikulum, iaitu kurikulum akademik dan kurikulum agama secara bersepadu. Kini, bilangan SMKA seluruh negara adalah sebanyak 60 buah. Selain SMKA, KPM telah melaksanakan KAA di Sekolah Menengah Kebangsaan terpilih untuk memenuhi permintaan ibu bapa terhadap pendidikan agama dan bahasa Arab. Untuk sesi persekolahan tahun 2018, sebanyak 620 buah sekolah telah melaksanakan KAA yang melibatkan sebanyak 20,728 kelas dan 62,520 orang murid dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

