Dasar, Standard, Pekeliling dan Garis Panduan
Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Pindaan) 2017 (Akta A1524)
Pengenalan
Akta Pendaftaran kelahiran dan kematian (Pindaan) 2017 (Akta A1524) yang diwartakan pada Januari 2017 merupakan usaha kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan yang bertujuan memudahkan rakyat selain memperkukuhkan undang-undang selaras dengan perkembangan teknologi. Bermula tahun 2015, satu perbincangan mengenai pindaan pada Akta Pendaftaran kelahiran dan kematian 1957 (Akta 299) di Semenanjung Malaysia telah dilakukan dan keputusan untuk meminda Akta 299 terlebih dahulu diambil sebagai permulaan serta dijadikan panduan bagi pindaan undang-undang pendaftaran kelahiran dan kematian di Sabah dan Sarawak kelak.
Antara aspek yang diambil kira pada pindaan tersebut seperti tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac 2014 dan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014 mendorong kerajaan untuk menyemak semula dan menambah baik Akta Pendaftaran kelahiran dan kematian 1957 (Akta 299). Pindaan akta tersebut juga merupakan usaha kementerian Dalam Negeri dalam mendukung aspirasi transformasi kerajaan yang antara lain memastikan kebajikan rakyat dijaga dan diberikan kemudahan terbaik demi menjaga kesejahteraan penduduk di negara ini.
Antaranya memperluaskan kawasan atau daerah serta melanjutkan tempoh bagi pendaftaran kelahiran dan kematian sekaligus langkah itu bertepatan dengan polisi kerajaan mengenai tempoh cuti bersalin yang dipanjangkan kepada 90 hari bagi kakitangan kerajaan dan 60 hari bagi kakitangan swasta. Penambahbaikkan ini membolehkan ibu bapa mempunyai masa menguruskan hal berkaitan anak dan berpantang sebelum membuat urusan pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), manakala bagi situasi kematian, tempoh pendaftaran dipanjangkan daripada 24 jam kepada tujuh hari bagi menjaga kebajikan waris dalam mengambil kira ahli keluarga menjalankan urusan pengebumian, kewajipan agama dan adat resam sebelum membuat pendaftaran kematian.
Objektif
Susulan daripada insiden kehilangan dan ditembak jatuh pesawat MH pada tiga tahun lalu, satu peruntukan baharu dimasukkan dalam Akta A1524 mengenai pendaftaran dan pengeluaran sijil Anggapan kematian dan kematian Atas Pesawat atau kapal berdaftar di Malaysia yang membolehkan waris atau keluarga si mati setelah mendapatkan Perintah Mahkamah tinggi mengenai Anggapan kematian boleh mendaftar di mana-mana pejabat JPN.
Pindaan Akta tersebut turut mengambil kira kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dengan meningkatkan dan memperkasakan penguatkuasaan bagi kesalahankesalahan di bawah Akta 299. Langkah itu juga demi memastikan sistem pendaftaran kelahiran dan kematian dalam keadaan terkawal serta menjaga integriti data ke tahap optimum untuk diguna pakai dalam tujuan penggubalan dasar serta perancangan ekonomi dan pembangunan negara yang merupakan urusan rasmi kerajaan. Ini kerana urusan tersebut melibatkan pengeluaran dokumendokumen keselamatan seperti sijil kelahiran, sijil kematian dan lain-lain. Dalam pada itu, kuasa diberikan kepada pendaftar untuk menyiasat, menahan, me nyita dan menggeledah tanpa waran bagi mana-mana kesalahan di bawah akta ini.
Selain itu, jumlah penalti daripada RM250 dinaikkan sehingga RM20, 000 serta penambahan jumlah tempoh penjara daripada 12 bulan sehingga tiga tahun. Pelaksanaan dan penguatkuasaan pindaan akta ini membolehkan kerajaan mengambil tindakan sewajarnya susulan beberapa insiden, kelompongan dan aspek yang berkaitan pendaftaran kelahiran dan kematian selain bertujuan untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat serta memperkukuhkan undang-undang berkaitan penguatkuasaan pendaftaran kelahiran dan kematian di Semenanjung Malaysia.
Maklumat Lanjut
Pegawai untuk dihubungi: Unit Pengurusan Korporat, Bahagian Kelahiran Kematian dan Anak Angkat, JPN Putrajaya
Telefon: 03-8880 7874
Emel: pro@jpn.gov.my
Media Sosial
Facebook: Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia
Twitter: @jpnm_official
YouTube: jpnmofficial
Instagram: jpn_official
