Dasar, Standard, Pekeliling dan Garis Panduan
Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam
Pengenalan
Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam mengandungi arahan, peraturan dan panduan yang mesti dibaca dan dipatuhi oleh agensi Kerajaan dalam melaksanakan pembangunan perkhidmatan ICT Kerajaan.
Tujuan
Tujuan Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam digubal adalah bagi menyatakan peranan dan tanggungjawab pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan melaksanakan pembangunan perkhidmatan ICT Kerajaan. Agensi Kerajaan bertanggungjawab mematuhi akta, dasar dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kerahsiaan, integriti dan kebolehsediaan urusan maklumat Kerajaan melalui penggunaan teknologi digital.
Takrifan
Takrifan yang diguna pakai dalam Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam adalah seperti berikut:
Dasar
Dasar ialah satu kenyataan rasmi, ringkas, dan peringkat tinggi atau pelan yang merangkumi kepercayaan umum sesuatu organisasi, tujuan, objektif, dan prosedur mengikut bidang yang ditetapkan. Dasar menyatakan tindakan yang perlu dilaksanakan dan wajib dipatuhi. Ia memberi tumpuan kepada keputusan dan bukan cara pelaksanaan.
Standard
Standard ialah aktiviti, tindakan, undang-undang atau peraturan mandatori yang direka untuk menyediakan struktur sokongan dan hala tuju spesifik yang diperlukan oleh dasar untuk menjadikannya bermakna dan efektif.
Garis Panduan
Garis panduan ialah pernyataan umum yang direka untuk mencapai objektif dasar dengan menyediakan rangka kerja bagi pelaksanaan prosedur. Garis panduan merupakan suatu cadangan pelaksanaan.
Prosedur
Prosedur memperincikan arahan yang telah ditetapkan dalam dasar serta standard dan garis panduan yang menyokong dasar tersebut dilaksanakan dalam persekitaran yang dikendalikan.
Kategori dan Bidang Dasar ICT
Dasar dan garis panduan ICT dikeluarkan dalam tiga kategori utama seperti yang berikut:
- Pekeliling, iaitu suatu arahan rasmi mengenai sesuatu dasar kerajaan;
- Surat Pekeliling, iaitu suatu penjelasan tentang pelaksanaan sesuatu dasar yang dinyatakan dalam pekeliling; dan
- Surat Arahan, iaitu suatu arahan untuk melaksanakan sesuatu perkara secara spesifik tetapi tidak semestinya berdasarkan perkara yang dinyatakan dalam pekeliling atau surat pekeliling.
Mesyuarat Panel MPA bil. 1 tahun 2016 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 30 Mac 2016 telah memutuskan penjenamaan istilah daripada Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) kepada istilah baharu, iaitu Pekeliling Transformasi Pentadbiran Awam (PTPA) dan ini sekali gus terpakai kepada pekeliling dan surat pekeliling.
Dari tahun 1977 hingga 31 Jun 2017, sejumlah 49 pekeliling ICT telah diterbitkan oleh MAMPU mengikut bidang seperti berikut:
i.Pengurusan maklumat

ii.Perancangan dan Strategi ICT

iii. Rangkaian dan Komukasi

iv. Keselamatan ICT

Pautan Kepada Dasar dan Garis Panduan ICT
Dasar dan Garis Panduan ICTAkta, Dasar dan Garis Panduan ICT Yang Dikeluarkan oleh Agensi Kerajaan
Agensi Kerajaan juga hendaklah merujuk kepada Akta, Dasar dan Garis Panduan ICT yang dikeluarkan oleh lain-lain agensi Kerajaan seperti berikut :

Pematuhan Dasar
Setiap agensi Kerajaan dianggap mengetahui, membaca, memahami dan mematuhi akta, peraturan, pekeliling dan dasar-dasar yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.
Pemakaian
Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam adalah terpakai kepada semua agensi Kerajaan.
Pindaan dan Kemas Kini
Dasar dan Garis Panduan ICT Sektor Awam adalah tertakluk pada semakan dan pindaan dari semasa ke semasa selaras dengan perubahan teknologi, aplikasi, prosedur, perundangan dan kepentingan sosial.
Maklumat Lanjut
Sebarang pertanyaan mengenai Dasar dan Garis Panduan ICT atau permohonan untuk keterangan lanjut, boleh ditujukan kepada:
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
Jabatan Perdana Menteri
Aras 6, Blok B2, Kompleks Jabatan Perdana Menteri
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA
