Dasar, Standard, Pekeliling dan Garis Panduan
Garis Panduan Pemetaan Utiliti Bawah Tanah
Pengenalan
Pemetaan utiliti bawah tanah adalah merupakan satu proses kerja-kerja pengukuran dan pengesanan untuk memperoleh data-data pepasangan utiliti dari aspek kedudukan, kedalaman, jenis, dan saiz pepasangan utiliti yang terdapat/ditanam di bawah tanah.
Latar belakang
Masalah gangguan perkhidmatan akibat kerosakan saluran utiliti bawah tanah sering berlaku apabila kontraktor yang dilantik oleh agensi penyedia utiliti atau pemaju menjalankan kerja-kerja pengorekan tanpa maklumat lokasi utiliti yang mencukupi atau dengan menggunakan maklumat yang tidak tepat. Menyedari akan permasalahan ini, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 24 Ogos 1994 dan 14 Januari 1998 telah bersetuju supaya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menyimpan peta-peta yang berkaitan utiliti yang terdapat di bawah tanah, pihak penyedia utiliti dikehendaki mengemaskinikan pangkalan data utiliti mereka dan membekalkan maklumat dari pangkalan data tersebut kepada JUPEM.
Bagi melaksanakan arahan Kerajaan ini, JUPEM mulai tahun 2006 telah menubuhkan satu bahagian yang bertanggungjawab melaksanakan urusan berkaitan penyimpanan dan penyenggaraan maklumat utiliti bawah tanah. dan membangunkan Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) sebagai repositori data-data utiliti yang dibekalkan oleh Agensi-agensi Penyedia Utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Agensi Pembentungan Negeri, Gas, Petrolium, dan Syarikat Air Negeri.
Inisiatif
Bagi merealisasikan aktiviti pemetaan utiliti bawah tanah di Malaysia, JUPEM telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan standard dan spesifikasi pemetaan utiliti untuk dipraktikkan oleh semua penyedia utiliti dan Juruukur Tanah Berlesen (JB) yang dilesenkan di bawah Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958. Senarai garis panduan yang dikeluarkan oleh JUPEM melalui pekeliling adalah seperti berikut:
1. Pekeliling Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan (PKPUP) Bil 1 Tahun 2006 mengenai Garis Panduan Pemetaan Utiliti Bawah Tanah. Garis Panduan ini memperuntukkan ketetapan-ketetapan yang telah dibuat mengenai pemetaan utiliti bawah tanah bagi maksud menyelaras serta menyeragamkan amalan- amalan yang berhubung kait dengan aktiviti tersebut di negara ini. Intipati garis panduan adalah:
- ketetapan yang telah dibuat mengenai pemetaan utiliti bawah tanah bagi maksud menyelaras serta menyeragamkan amalan-amalan yang berhubung kait dengan aktivitinya;
- peranan-peranan pihak-pihak pemegang taruh (stakeholders)
- penetapan tahap-tahap kualiti dan ujian peralatan
- spesifikasi umum peta utiliti
- pembentukan dan penyediaan pangkalan data utiliti yang meliputi aspek sistem koordinat dan unjuran, sistem sokongan, spesifikasi data kadaster, data topografi, dan data utiliti
2. PKPUP Bil 1 Tahun 2007 mengenai Garis Panduan Ukuran Pepasangan Utiliti. Garis Panduan ini adalah menerangkan mengenai panduan melaksankan kerja-kerja pengukuran pepasangan utiliti. Intipati garis panduan adalah:
- Jenis-jenis peralatan pengesanan
- Cara ukur pengesanan pepasangan utiliti bawah tanah
- Cara ukuran pepasangan utiliti yang terdedah
- Maklumat butiran pepasangan utiliti dan butiran topografi yang perlu dikesan dan diukur
- Sistem rujukan ukuran
- Dokumen serahan kepada JUPEM
3. PKPUP Bil 1 Tahun 20013 mengenai Garis Panduan Pengukuran Jajaran Laluan Utiliti Baru. Garis Panduan bertujuan untuk Penetapan peraturan dan prosedur pengukuran bagi semua jajaran utiliti bawah tanah yang baru oleh Juruukur Tanah Bertauliah ke arah menyediakan pelan utiliti as-built. Intipati garis panduan adalah:
- Jenis-jenis pepasangan utiliti
- Penyedia-penyedia utiliti
- Peralatan ukur
- Ukuran kawalan
- Ukuran pepasangan utiliti dan butiran topografi
- Ukuran pepasangan utiliti yang dipasang melalui kaedah Penggerudian Berarah (Horizontal Directional Drilling)
- Tahap kualiti
- Sistem rujukan ukuran
- Kalibari alat
- Dokumen Serahan kepada JUPEM
4. PKPUP Bil 1 Tahun 2016 mengenai Garis Panduan Kod Warna dan Penandaan Bagi Pemetaan Utiliti Bawah Tanah. Garis Panduan ini adalah untuk menyelaras dan menyeragamkan kod warna dan penandaan bagi kedudukan semua jajaran utiliti bawah tanah sedia ada yang diperoleh melalui teknik pengesanan di lapangan. Intipati garis panduan adalah:
- Kod warna untuk Elektrik, paip air, Gas ( termasuk Minyak dan Petrolium), Telekomunikasi, Pembentungan dan utiliti yang tidak diketahui
- Tatacara penandaan di atas permukaan yang berturap, bersimen, berkonkrit atau atas bahu jalan pavement pada kedudukan utiliti bawah tanah dikesan.
5. PKPUP Bil 2 Tahun 2016 mengenai Garis Panduan Penerimaan Data Digital dan Pelan Utiliti Dari Juruukur Tanah Bertauliah oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. Garis Panduan ini memperuntukkan ketetapan-ketetapan yang telah dibuat mengenai prosedur penerimaan data digital dan pelan utiliti dari Juruukur Tanah Bertauliah (JTB) bagi maksud penyelarasan serta penyeragaman.
6. Surat PKPUP Bil 1 Tahun 2020 mengenai Penyeragaman penggunaan Penggunaan Istilah Juruukur, Juruukur Tanah Dan Juruukur Tanah Bertauliah (JTB) Dalam Pekeliling-Pekeliling Yang Berkaitan Dengan Pemetaan Utiliti Dan Pengiktirafan Sijil Kompetensi Dalam Kerja-Kerja Ukur Pengesanan Pepasangan Utiliti Bawah Tanah.
Selain itu, JUPEM dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 24 Disember 2014 telah mengeluarkan Pekeliling Bilangan 7 Tahun 2014 iaitu mengenai ‘Garis Panduan Pelaksanaan Pengukuran Ke Atas Jajaran Utiliti Bawah Tanah Semasa Pemasangan’ kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan dan Pihak Berkuasa Negeri. Pekeliling ini menghendaki supaya:
(i) Semua utiliti bawah tanah baharu yang dipasang melalui pengorekan terbuka atau penggerudian berarah (horizontal directional drilling; HDD) hendaklah diukur oleh JTB semasa pemasangan; dan
(ii) keperluan di para (i) di atas dijadikan salah satu syarat kelulusan dalam permohonan kebenaran merancang.
Bagi memastikan kerja pengukuran dan pengesanan pepasangan utiliti bawah tanah yang dilaksanakan adalah berkualiti tinggi selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan, JUPEM dengan kerjasama Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah (PEJUTA) dan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT) telah menganjurkan satu kursus kompetensi khas untuk JB bagi tujuan kecekapan melaksanakan ukur pengesanan pepasangan utiliti bawah tanah yang dikenali sebagai Competency Certification of Underground Utility Detection Survey (CUUDS). Senarai JTB yang berkenaan boleh dirujuk di portal LJT:
Faedah kepada negara
Dengan garis panduan yang disediakan ini akan dapat membantu JB dan Agensi-agensi Penyedia Utiliti mengenai standard dan spesifikasi pemetaan utiliti untuk dipraktikkan bagi menghasilkan data-data utiliti bawah tanah yang tepat dan berkualiti tinggi.
Data-data utiliti yang berkualiti tinggi boleh digunakan untuk tujuan perancangan dan pembangunan, mitigasi bencana alam, keselamatan, dan pertahanan negara. Data-data ini boleh dijadikan asas rujukan bagi memastikan kelancaran semua kerja-kerja penyelenggaraan utiliti, perancangan dan pembangunan yang melibatkan tanah bawah tanah. Data-data utiliti yang berkualiti tinggi yang diintegrasi dengan data geospatial yang lain dalam persekitaran GIS membolehkan Kerajaan membuat keputusan yang lebih berkesan dan tepat yang akan menjurus kepada penjimatan kos dalam jangka masa panjang dan dapat mengelakkan bencana dan masalah gangguan perkhidmatan akibat kerosakan saluran utiliti bawah tanah yang berpunca daripada kerja pengorekan yang dilaksanakan tanpa maklumat lokasi utiliti yang lengkap dan tepat.
Halatuju
Dalam RMKe-11, JUPEM telah melaksanakan satu kajian polisi pemetaan utiliti bawah tanah dengan fokusnya kepada penetapan hala tuju pemetaan utiliti bawah tanah di peringkat nasional, mentadbir urus dan mengawal selia pemetaan utiliti agar pematuhan terhadap perkongsaian data utiliti, arahan, peraturan dan spesifikasi yang ditetapkan dapat dikuatkuasakan. Kajian ini telah siap pada 26 Mac 2021.
Secara ringkasnya, hasil kajian ini adalah merupakan satu draf dokumen Dasar Pemetaan Utiliti Bawah yang akan diangkat untuk kelulusan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan seterusnya Jemaah Menteri. Dalam pada itu, bagi melengkapi dasar ini, JUPEM dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bercadang untuk membuat kajian keperluan perundangan dalam aktiviti pemetaan utiliti bawah tanah di Malaysia.
Maklumat Lanjut
Pengarah Ukur Bahagian (Pemetaan Utiliti)
Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia
Tingkat 4, Bangunan Ukur
Jalan Sultan Yahya Petra
505078 Kuala Lumpur
Tel : 03-2617 0800
