Dasar, Standard, Pekeliling dan Garis Panduan
Malaysian Government Enterprise Architecture, MyGovEA
MyGovEA yang dahulunya dikenali sebagai 1GovEA adalah merupakan satu inisiatif kerajaan yang telah diperkenalkan pada tahun 2015 bagi menyokong pelaksanaan Kerajaan Digital dan matlamat paperless government di bawah program Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur E-Kerajaan.
Pelan Induk MyGovEA telah dilancarkan pada Ogos 2015. Pelaksanaan Pelan Induk MyGovEA telah mendapat sokongan Pengurusan Tertinggi Negara dalam Mesyuarat Panel CIO Sektor Awam pada 10 April 2013 dan Mesyuarat Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK) pada 7 November 2014.
Pelan induk berkenaan merangkumi tiga (3) komponen utama yang disediakan dalam tiga (3) jilid dokumen yang berbeza. Pertama, rangka kerja MyGovEA yang menjelaskan elemen teras dalam membina dan melaksanakan amalan EA; kedua, metodologi MyGovEA menyediakan panduan langkah-langkah pembangunan dan pelaksanaan EA bagi setiap peringkat; dan ketiga, pelan pelaksanaan yang menggariskan strategi pelaksanaan EA di peringkat pusat dan agensi pelaksana.
Apakah Enterprise Architecture (EA)?
EA merupakan satu pendekatan rekabentuk ekosistem organisasi perkhidmatan awam yang menggambarkan sistem kerja organisasi melibatkan interaksi antara elemen organisasi merangkumi struktur, proses, perkhidmatan, sumber, aplikasi dan teknologi yang diatur untuk mencapai matlamat organisasi.
Pelaksanaan EA dapat merealisasikan strategi organisasi merentasi domain business, data, aplikasi dan teknologi (BDAT) untuk mendapat faedah convergent dan penjajaran strategi business dan ICT serta pengukuhan kolaboratif merentas agensi melalui perkongsian maklumat, perkhidmatan, data dan infrastruktur. EA Sektor Awam dilaksanakan dengan mengadaptasikan rangka kerja MyGovEA.
MyGovEA merupakan pemudah cara untuk melaksanakan penjajaran strategi dan teras perkhidmatan kerajaan berlandaskan prinsip saling kendali (interoperability) dan Whole of Government (WoG).
Rangka Kerja MyGovEA
Rangka Kerja MyGovEA terdiri daripada enam (6) komponen iaitu Visi, Domain Arkitektur, Prinsip, Metodologi, Tools & Repositori dan Tadbir Urus seperti di bawah:

Rajah 1: Rangka Kerja MyGovEA
Objektif utama rangka kerja MyGovEA adalah untuk menyediakan pendekatan yang seragam, kaedah pelaksanaan serta templat untuk memastikan pembangunan EA yang konsisten di sektor awam.
Pembangunan EA Sektor Awam
Projek rintis MyGovEA telah dilaksanakan bermula 2015 sehingga tahun 2017 yang melibatkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Projek perintis ini merupakan salah satu projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Skop pelaksanaan projek rintis MyGovEA ini melibatkan pembangunan EA di MAMPU dan juga KPKT yang merangkumi:
- Pembangunan EA MAMPU dan KPKT
- Pembangunan keupayaan arkitek EA dan pasukan
- Pembangunan sistem repositori berpusat
- Pembangunan Model Rujukan EA Sektor Awam
- Aktiviti pengurusan perubahan EA Sektor Awam
Pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi dalam pembangunan rintis MyGovEA telah dijadikan panduan kepada agensi kerajaan melalui pekeliling yang telah dikeluarkan pada tahun 2020. Pekeliling ini menjadi panduan dan rujukan utama kepada agensi sektor awam dalam membangun dan melaksanakan EA di sektor awam.
Pada masa ini pembangunan EA Sektor Awam diteruskan mengikut pelbagai peringkat iaitu strategik, segmentation dan capability. Pelaksanaan EA telah dapat membantu organisasi mengenalpasti jurang seperti pertindihan inisiatif dan peluang integrasi serta konsolidasi aplikasi dan teknologi dalam membangunkan perkhidmatan digital supaya pengoptimuman nilai kos pelaburan diperoleh.
Manfaat Amalan EA
Amalan EA dapat memberikan manfaat seperti berikut:
- Menyediakan penyampaian perkhidmatan yang konsisten, tepat dan kos efektif bagi memenuhi kehendak rakyat;
- Meningkatkan keupayaan perkhidmatan dalam sektor awam melalui konsolidasi keupayaan ICT secara strategik dan holistik;
- Mewujudkan kolaborasi perkongsian data merentasi agensi; dan
- Memudahkan usaha konsolidasi perkhidmatan yang bertindih, menggalakkan penggunaan semula dan perkongsian perkhidmatan antara agensi.
Pekeliling MyGovEA
Maklumat Lanjut
Untuk sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut boleh hubungi:
Jabatan Digital Negara
Bangunan MKN Embassy Techzone
Blok B, No. 3200 Jalan Teknokrat 2
63000 Cyberjaya, Sepang
Selangor Darul Ehsan
Tel : 603-8000 8000
Fax : 603-88723163
E-mel: bsa_ea@digital.gov.my
