Dasar, Standard, Pekeliling dan Garis Panduan
Pelan Induk MyGovEA
Pengenalan
Pelan Induk Enterprise Architecture (EA) Sektor Awam (MyGovEA) merangkumi tiga (3) komponen utama. Pertama, rangka kerja MyGovEA yang menjelaskan elemen teras dalam membina dan melaksanakan amalan EA; kedua, metodologi MyGovEA menyediakan panduan langkah-langkah pembangunan dan pelaksanaan EA bagi setiap peringkat; dan ketiga, pelan pelaksanaan yang menggariskan strategi pelaksanaan EA di peringkat pusat dan agensi pelaksana.
Latar Belakang
Pelan Induk MyGovEA telah dilancarkan pada Ogos 2015. Pelaksanaan Pelan Induk MyGovEA telah mendapat sokongan Pengurusan Tertinggi Negara dalam Mesyuarat Panel CIO Sektor Awam pada 10 April 2013 dan Mesyuarat Jawatankuasa IT dan Internet Kerajaan (JITIK) pada 7 November 2014. MyGovEA merupakan satu inisiatif kerajaan untuk menyokong pelaksanaan Kerajaan Digital dan matlamat paperless government di bawah program Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur E-Kerajaan.
Pernyataan Masalah
Transformasi perkhidmatan kerajaan semasa kepada perkhidmatan digital telah dinyatakan dalam Pelan Strategik ICT Sektor Awam 2016 hingga 2020. EA merupakan salah satu pemboleh daya dalam persekitaran perubahan teknologi ICT. Kerajaan bertindak secara responsif untuk menambah baik pendekatan strategi, pengurusan organisasi dan arkitektur perkhidmatan awam supaya lebih cenderung kepada inovasi dan transformasi ICT dalam membangunkan perkhidmatan digital. EA merupakan satu pendekatan rekabentuk ekosistem organisasi perkhidmatan awam yang menggambarkan sistem kerja organisasi melibatkan interaksi antara elemen organisasi merangkumi struktur, proses, perkhidmatan, sumber, aplikasi dan teknologi yang diatur untuk mencapai matlamat organisasi.
Objektif
Objektif utama Pelan Induk MyGovEA adalah untuk menyediakan pendekatan yang seragam, kaedah pelaksanaan serta template untuk memastikan pembangunan EA yang konsisten di sektor awam.
Tool dan Inovasi
Model Rujukan MyGovEA adalah satu inovasi pembangunan standard bagi menyeragamkan klasifikasi perkhidmatan kerajaan, data yang diguna dan dijana oleh kerajaan, klasifikasi fungsi aplikasi dan perkhidmatan teknologi yang menyokong kepada perkhidmatan kerajaan. Model Rujukan MyGovEA merupakan radas pengurusan (management tool) untuk memastikan saling kendali antara reka bentuk perkhidmatan yang dipopulasikan dalam Repositori MyGovEA. Repositori MyGovEA merupakan pusat rujukan artifak architecture yang menyediakan kandungan dokumen dan gambar rajah architecture business, data, aplikasi dan teknologi semasa (as-is) dan masa hadapan (to-be).

OUTCOME / IMPAK
Pelaksanaan MyGovEA berteraskan Pelan Induk MyGovEA telah membina keupayaan pelaksanaan EA kerajaan yang direalisasikan menerusi pembangunan repositori EA, projek rintis, promosi dan program kesedaran, program latihan dan program pemindahan pengetahuan kepada 617 pegawai agensi sektor awam. Terkini, seramai 49 pegawai telah mendapat pensijilan sebagai arkitek EA.
Program pembangunan keupayaan EA mebolehdayakan kerajaan dalam merancang pelaksanaan transformasi dan mereka bentuk perkhidmatan secara holistik melibatkan peranan, proses kerja, perkhidmatan, aplikasi dan teknologi merentas agensi bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan sektor awam. Pelaksanaan EA telah dapat membantu organisasi mengenalpasti jurang seperti pertindihan inisiatif dan peluang integrasi serta konsolidasi aplikasi dan teknologi dalam membangunkan perkhidmatan digital supaya pengoptimuman nilai kos pelaburan diperoleh.
RANTAIAN KEHADAPAN
Perkhidmatan awam Malaysia perlu mengambil peluang mengintegrasi perkhidmatan digital secara end-to-end serta menuil potensi inovasi perkhidmatan awam baharu dengan memanfaatkan teknologi disruptif. Gambaran holistik reka bentuk perkhidmatan yang seamless menggalakkan perkongsian data bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Maju ke hadapan melangkaui 2020, repositori MyGovEA akan dijadikan rujukan utama oleh kerajaan untuk merancang pengurangan pertindihan pembangunan aplikasi di samping mengoptimumkan sumber dan aset kerajaan. Analisis dan pengurusan portfolio business, aplikasi dan teknologi akan dapat memberi gambaran impak pelaburan kerajaan serta mengurus peluang perkhidmatan digital.

MAKLUMAT LANJUT
Untuk sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut boleh hubungi :
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU. Aras 6, Blok B2. Kompleks Jabatan Perdana Menteri. Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. 62502 Putrajaya. Malaysia.
Tel: 03-8872 3000 | Faks: 03-8888 3721
Laman Sesawang: www.1govea.mampu.gov.my
