ICT Sebagai Perkhidmatan
Peristiwa Kehidupan (LE)
Pengenalan
Peristiwa kehidupan atau life event (LE) boleh digambarkan sebagai peristiwa yang mempunyai impak yang signifikan terhadap kehidupan rakyat. Konsep peristiwa kehidupan yang dibangunkan di Portal MyGovernment adalah sebagai pencetus bagi penawaran perkhidmatan kerajaan yang disesuaikan mengikut keadaan yang diperlukan oleh rakyat. Pendekatan peristiwa kehidupan ini membolehkan rakyat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan mengikut keperluan / mereka. Sebagai contoh rakyat yang hendak “memulakan perniagaan” akan disediakan dengan informasi untuk mendapatkan penyelesaian kepada keperluannya. Portal yang dibangunkan menggunakan pendekatan ini menentukan set maklumat atau perkhidmatan berkaitan yang diperlukan oleh rakyat/pengguna. Selain itu, konsep ini adalah dengan mengintegrasikan satu set perkhidmatan yang saling berkaitan mengikut peristiwa kehidupan yang diperlukan dan memberikan nilai tambah kepada rakyat.
Latar belakang
Inisiatif Kerajaan Digital adalah untuk menyediakan maklumat dan perkhidmatan dalam talian yang berpaksikan rakyat. Fokus inisiatif ini adalah untuk memenuhi keperluan rakyat disamping meningkatkan kepuasan dalam menggunakan perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan. Untuk merealisasikan hasrat ini, maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan bukan sahaja perlu mengambilkira kehendak rakyat, malah perlu mempunyai nilai tambah dan holistik. Pendekatan peristiwa kehidupan ini dapat memenuhi keperluan rakyat dengan merakyatkan perkhidmatan awam melalui inisiatif pembangunan gerbang tunggal berkonsepkan peristiwa kehidupan dan berpaksikan rakyat.
Penyataan Masalah
Portal konvensional Kerajaan memerlukan rakyat untuk mengetahui sendiri maklumat dan perkhidmatan yang mereka perlukan. Maklumat dan perkhidmatan yang diperlukan terdapat di pelbagai agensi dan tidak berpusat. Terdapat keperluan untuk merekabentuk penawaran perkhidmatan Kerajaan yang memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat. MAMPU telah mengambil langkah mewujudkan inisiatif ini apabila menyedari tuntutan rakyat yang mendesak dan kesukaran mereka untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan yang komprehensif, holistik dan berpusat.
Dengan memperkenalkan pendekatan peristiwa kehidupan, rakyat boleh melayari Portal MyGovernment untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan secara dipandu (guided). Pendekatan ini juga akan mencadangkan keperluan untuk membantu rakyat mencari perkhidmatan yang berkaitan dengan peristiwa kehidupan mereka. Selain itu, dengan menggunakan pendekatan peristiwa kehidupan ini juga, profil pengguna boleh diwujudkan bagi memudahkan penjejakan (tracking) transaksi yang telah dilakukan bagi mengenalpasti minat dan kecenderungan ke atas maklumat dan perkhidmatan mereka. Data dan maklumat profil keluarga pula akan melancarkan urusan rakyat dalam melaksanakan transaksi dengan perkhidmatan digital kerajaan.
Konsep peristiwa kehidupan ini juga merupakan satu anjakan paradigma bagaimana penyampaian perkhidmatan Kerajaan disusun dan ditawarkan kepada rakyat. Maklumat dan perkhidmatan yang telah dikenalpasti berdasarkan peristiwa kehidupan dibangunkan merentasi agensi dimana ianya adalah saling berkaitan.
Objektif
Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk menyediakan penyampaian perkhidmatan digital kerajaan yang lancar (seamless) melalui gerbang tunggal bagi mencapai whole of government dan menjadikannya sebagai medium utama pilihan rakyat berurusan dengan kerajaan. Selain itu, inisiatif ini adalah untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan digital kerajaan end-to-end yang menyeluruh, berkualiti dan selamat, disamping meningkatkan kepuasan rakyat.
Impak
Melalui pendekatan peristiwa kehidupan yang berpaksikan rakyat ini, maklumat dan perkhidmatan yang disediakan adalah merentasi agensi dapat memenuhi kehendak rakyat dan meningkatkan kepuasan mereka.Penawaran perkhidmatan Kerajaan yang komprehensif, holistik dan selamat mempertingkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap transaksi dalam talian menerusi perkhidmatan digital yang telus.
Pendekatan ini juga dilihat bukan sahaja memudahkan rakyat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan yang diperlukan, malah mereka juga disediakan dengan maklumat dan perkhidmatan yang saling berkaitan berdasarkan peristiwa, memberikan nilai tambah kepada rakyat. Komponen personalized user experience pula menjadikan penyampaian perkhidmatan lebih efektif, efisyen dan mesra pengguna.
Menerusi Portal MyGovernment penawaran perkhidmatan Kerajaan dapat dipertingkatkan di persada global dengan lebih telus, berdaya saing dan kompeten.
Pencapaian
Portal MyGovernment telah membangunkan kandungan yang terdiri daripada tujuh (7) kumpulan peristiwa kehidupan seperti Mendapat Pendidikan Formal, Mengurus Institusi Keluarga, Membina Kerjaya dan Persaraan, Mendapat Maklumat Pelancongan, Mengurus Pengenalan Diri, Mengurus Perniagaan dan Mendapat Kemudahan, Kebajikan dan Kesihatan. Perkhidmatan berkaitan yang merentasi agensi juga sedang dan telah dibangunkan yang bermula dengan kumpulan pendidikan.
Rantaian Kehadapan
Inisiatif ini dilihat signifikan dalam merealisasikan sistem penyampaian maklumat dan perkhidmatan digital Kerajaan yang bersepadu dan holistik serta dapat di akses melalui satu gerbang. Bagi memantapkan lagi inisiatif ini, beberapa perantaian kehadapan telahpun dirancang bagi mewujudkan penawaran perkhidmatan yang berteraskan whole of government. Antara perantaian kehadapan yang dirancang adalah seperti;
- Menyediakan penyampaian perkhidmatan digital yang lancar (seamless), bersepadu dan selamat;
- Menyediakan perkhidmatan dalam talian secara end to end dan merentasi agensi bagi mengurangkan interaksi secara bersemuka dalam menawarkan perkhidmatan Kerajaan;
- Menambahbaik pendekatan peristiwa kehidupan sedia ada kepada peristiwa kehidupan mengikut kitar hidup rakyat
- Membangunkan kandungan dan perkhidmatan dalam talian yang berkonsepkan active life event yang lebih fokus kepada user experience
Selain itu, pembangunan Portal MyGovernment bukan sahaja berupaya untuk melaksana kolaborasi antara agensi kerajaan sahaja, bahkan boleh dikembangkan kepada bisnes.
Maklumat Lanjut
Nama: Shamsuddin bin Jamran @Bukiran
Telefon: 03-8872-5104
e-mel: jsham@mampu.gov.my
Media Sosial:
https://www.facebook.com/MalaysiaPortal/
https://twitter.com/GOS_Gateway
Pautan Url :
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia (MyGovernment)