ICT Sebagai Perkhidmatan
Sistem eMunakahat dan Permohonan Sijil Nikah
Sistem eMunakahat merupakan sistem pengurusan dan operasi bagi perkhidmatan nikah, cerai dan ruju' di Negeri Pulau Pinang. Sistem ini telah dibangunkan pada tahun 2010 dan sehingga kini mengandungi lapan (8) modul iaitu Kursus Pra Perkahwinan, Kebenaran Perkahwinan, Pendaftaran Perkahwinan, Pendaftaran Ruju', Pendaftaran Kad Nikah, Pendaftaran Perceraian, Pendaftaran Khidmat Nasihat dan Laporan. Pemilik penuh bagi sistem ini adalah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
Pengguna-pengguna Sistem eMunakahat adalah:
- Orang Islam yang ingin berkahwin di Negeri Pulau Pinang.
- Kakitangan Bahagian Undang-undang Keluarga Islam dan Pejabat Agama Daerah (bagi memproses setiap permohonan daripada orang awam). Pengguna sistem boleh dikategorikan kepada lima (5) kategori iaitu Pentadbir Sistem, Ketua Pendaftar, Pendaftar Kanan, Pendaftar, Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam serta Staf Operasi.
Proses permohonan sijil nikah di Negeri Pulau Pinang juga telah berubah sejak wujudnya sistem ini. Permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui sistem dimulai dengan permohonan kebenaran berkahwin. Permohonan juga hanya akan diproses apabila pemohon telah memenuhi prosedur yang telah ditetapkan selaras dengan peruntukan dalam perundangan dan hukum syarak.
Seterusnya, sijil nikah akan dicetak setelah proses pendaftaran nikah selesai direkodkan melalui sistem untuk diserahkan kepada pasangan pengantin. Keseluruhan proses ini dilaksanakan melalui Modul Kebenaran Nikah dan Modul Pendaftaran Nikah termasuk Modul Cetakan Kad Nikah bagi pengeluaran Kad Nikah. Selain itu, salinan Sijil Perakuan Nikah juga boleh dipohon untuk carian dan semakan serta cetakan melalui Modul Pendaftaran Nikah, begitu juga bagi urusan lain seperti cetakan sijil cerai dan ruju’ melalui modul berkaitan.
Outcome/Impak
Sistem ini bukan sahaja mempercepatkan proses kerja dan permohonan berkahwin sehingga pengeluaran sijil nikah tetapi juga membolehkan data bank kekeluargaan di Negeri Pulau Pinang dibina bagi rekod berkaitan:
- Perkahwinan, perceraian dan ruju’ orang Islam
- Pendaftaran dan pengesahan menghadiri Kursus Pra Perkahwinan
- Permohonan janji temu dan rekod menghadiri khidmat nasihat perkahwinan/kekeluargaan.
Sistem ini juga dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dan ketetapan kepada kehendak dan keperluan pengguna dalam menyokong peranan dan bisnes semasa Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam. Proses permohonan yang dilakukan secara digital dapat mengurangkan masa dan tenaga, sekali gus dapat mengurangkan kos dan kadar kekerapan hadir ke pejabat bagi urusan berkaitan.
Selain itu, data dan rekod Nikah, Cerai dan Ruju’ Negeri Pulau Pinang yang telah dikunci masuk ke dalam sistem ini dapat dipelihara. Perkhidmatan Kerajaan yang cekap dapat diwujudkan melalui penerapan teknologi semasa, di samping dapat mentransformasikan penyampaian perkhidmatan sektor awam supaya sentiasa cemerlang melalui inisiatif untuk menyokong dan memperkasakan rakyat.
Pencapaian
Pada tahun 2019, Jabatan ini melalui Bahagian Undang-undang Keluarga Islam telah menyertai Pertandingan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Negeri Pulau Pinang serta telah berjaya memenangi tempat ketiga. Penang Information NCR System (ePINS) dibangunkan melalui sistem sedia ada bagi memudahkan urusan agensi yang memerlukan semakan dan pengesahan status nikah, cerai dan ruju’ secara dalam talian tanpa menunggu tempoh yang lama. Agensi yang memohon melalui Pentadbir Sistem boleh mengakses maklumat dengan hanya memasukkan no kad pengenalan pasangan sahaja untuk terus mendapat maklumat sekiranya rekod tersebut berdaftar dalam sistem.
Statistik Transaksi Perkhidmatan Dalam Talian (jika berkaitan)
STATISTIK PENDAFTARAN NIKAH ORANG ISLAM PULAU PINANG
TAHUN 2022-2024

Maklumat Lanjut
Nama,Telefon dan e-mel Pegawai untuk dihubungi:
Nama : Muhammad Shahrin @ Sharin Bin Zulkiply
Emel : shahrin@penang.gov.my
Telefon : 04- 04-6847720
Media Sosial (Facebook/Twitter/Instagram) jika ada: https://www.facebook.com/jheaipp
Agensi bertanggungjawab: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang
Pautan Kepada Halaman Yang Spesifik Beserta FAQ
FAQ emunakahat