Pemantauan
Sistem Pemantauan Laman Web Dan Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (SPLaSK)
Pengenalan
Sistem Pemantauan Laman Web dan Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan atau dikenali sebagai SPLaSK merupakan satu platform pemantauan kepada laman web dan perkhidmatan dalam talian agensi Kerajaan terhadap kriteria yang telah ditetapkan oleh MAMPU. Platform ini memantau secara masa nyata (real time) dan berterusan bagi memastikan agensi dapat melaksanakan penambahbaikan dengan segera untuk memastikan laman web dan perkhidmatan dalam talian dapat menyokong dan memacu agenda transformasi kerajaan digital Negara.
Projek ini dicetuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Aplikasi Perdana MSC Malaysia atau Flagship Application Coordination Committee (FCC) ke-43 pada 12 Oktober 2017 yang dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara. Mesyuarat ini juga telah bersetuju supaya pihak Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyerahkan projek Provider-Based Evaluation (ProBE) dan Malaysia User Satisfaction Evaluation (MUSE) kepada pihak MAMPU pada penghujung tahun 2017. Susulan itu, pembangunan projek ini telah bermula pada 1 Januari 2018 secara out-source dengan pembiayaan dan pelantikan kontraktor oleh pihak MDEC melalui peruntukan bajet RMKe-11.
Skop Pemantauan melalui SPLaSK ini adalah menentukan tahap ketersediaan laman web dan perkhidmatan dalam talian agensi supaya mematuhi kriteria yang ditetapkan dan tiada penarafan bintang seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini. SPLaSK menyediakan laporan dalam bentuk dashboard yang memaparkan maklumat mengikut peringkat iaitu pengurusan atasan, Kementerian dan agensi di bawahnya. Sistem ini mensasarkan untuk merekod laman web dan perkhidmatan dalam talian bagi seluruh Agensi Sektor Awam yang merangkumi Perkhidmatan Awam Persekutuan (PAP), Perkhidmatan Awam Negeri (PAN), Badan Berkanun Persekutuan (BBP), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pada tahun 2019, kaji selidik Government Onlline Service Electronic Rating (GOS e-Rating) menjadi sebahagian daripada komponen utama SPLaSK. Platform baharu pemantauan ini membolehkan agensi sektor awam mengukur aspek kepuasan pelanggan disamping pematuhan kriteria-kriteria penting dalam menyediakan perkhidmatan dalam talian.
Objektif
Objektif SPLaSK adalah seperti berikut:
- Menyediakan sistem aplikasi bagi kemudahan pemantauan laman web dan perkhidmatan dalam talian Kerajaan.
- Menyediakan kemudahan bagi mengukur tahap pematuhan kriteria berdasarkan tujuh(7) dimensi yang telah ditetapkan.
- Menyediakan kemudahan bagi mengukur tahap kepuasan pengguna perkhidmatan dalam talian Kerajaan.
- Menyediakan kemudahan saluran elektronik untuk pengemaskinian maklumat profil laman web dan perkhidmatan dalam talian Kerajaan.
Kriteria SPLaSK
Kriteria SPLaSK adalah terdiri daripada 24 kriteria yang dimurnikan daripada 47 kriteria ProBE dan 24 kriteria MUSE. 24 kriteria ini melibatkan 7 dimensi iaitu:
- Quality of content
- Ease of use
- Privacy / security
- Responsiveness
- Reliability
- Accessibility
- Web design
Senarai kriteria SPLaSK mengikut dimensi secara terperinci adalah seperti Rajah 1 berikut:

Rajah 1: Kriteria SPLaSK
Senibina SPLaSK
Infrastruktur SPLaSK terbahagi kepada tiga (3) persekitaran iaitu persekitaran development, staging dan production yang ditempatkan di Pusat Data Sektor Awam (PDSA).

Impak Pelaksanaan SPLaSK
Melalui pelaksanaan SPLaSK adalah:
- Menyokong agenda pendigital Negara melalui penarafan antarabangsa khususnya bagi penilaian United Nation Electronic Governement Development Index (UN-EGDI) bagi Online Service Index (OSI) supaya berada pada kedudukan yang lebih baik;
- Mengoptimakan pencapaian kepuasan pengguna terhadap perkhidmatan dalam talian Kerajaan pada tahap 90%.
- Peningkatan kadar keterlibatan pengguna/rakyat dalam penambahbaikan perkhidmatan dalam talian Kerajaan; dan
- Peningkatan kesedaran rakyat terhadap inisiatif kerajaan digital yang dilaksanakan oleh agensi Kerajaan.
Rantaian Kehadapan
MAMPU telah mengambil inisiatif untuk menambahbaik SPLaSK sedia ada pada tahun 2021 dengan penumpuan kepada pemantauan laman web dengan menambah fungsi, modul baharu serta kriteria pemantauan laman web. SPLaSK V2.0 telah diluncurkan pada 25 Oktober 2022 kepada semua kementerian dan agensi sektor awam.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai SPLaSK boleh dirujuk kepada Seksyen Perkhidmatan Dalam Talian, Bahagian Kerajaan Digital seperti di bawah:
Emel: splask@digital.gov.my
