Perundangan
Sistem E-Kehakiman Bagi Mahkamah Di Seluruh Negara
Latar belakang
Sistem e-Kehakiman merupakan inovasi Badan Kehakiman Malaysia dalam mendigitalkan proses kerja dan pengendalian prosiding Mahkamah ke arah memperkasakan sistem kehakiman. Inisiatif ini adalah selaras dengan pelaksanaan Kerajaan Elektronik (e-Government) yang merupakan satu daripada aplikasi perdana dalam Koridor Raya Multimedia (MSC).
Sistem e-Kehakiman terbahagi kepada sistem aplikasi utama dan sistem teknologi Mahkamah bagi kegunaan warga Mahkamah dan pengguna Mahkamah. Sistem aplikasi utama mengandungi perkhidmatan bagi sistem e-Filing (EFS), Case Management System (CMS) dan Queue Management System (QMS). Manakala sistem teknologi Mahkamah merupakan sistem yang membolehkan prosiding Mahkamah direkodkan secara audio-visual melalui sistem Court Recording System (CRT).
Pembangunan sistem e-Kehakiman dilaksanakan secara berperingkat bermula dari tahun 2010 dan dimulakan dengan prosiding sivil dengan fokus utama kepada penyediaan infrastruktur, rangkaian dan pembekalan peralatan di bilik-bilik bicara Mahkamah serta pembangunan sistem aplikasi utama untuk pendigitalan proses kerja Mahkamah.
Mulai tahun 2017, sistem e-Kehakiman telah diperluaskan kepada prosiding sivil dan jenayah di semua peringkat Mahkamah dan proses kerja serta operasi Mahkamah telah beralih sepenuhnya daripada manual kepada sistem e-Kehakiman. Di samping itu, sistem e-Kehakiman turut diintegrasikan dengan sistem teras di agensi pemegang taruh seperti sistem COPS (PDRM), MySikap (JPJ), INSIST (Jabatan Insolvensi), MyIdentity (Jabatan Pendaftaran Negara), SMPP (Jabatan Penjara), iAGC (Jabatan Peguam Negara) dan MyeTaPP (JKPTG).
Pada tahun 2018, sistem e-Kehakiman telah melaksanakan modul yang membolehkan beberapa prosiding Mahkamah dijalankan secara maya meliputi modul e-Review (pengurusan kes secara dalam talian), e-Appellate (prosiding perbicaraan kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dijalankan secara sidang video), e-Lelong (bagi membolehkan bidaan untuk lelongan awam secara dalam talian) dan e-Jamin (membolehkan penjamin mendepositkan wang jaminan secara dalam talian).
Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah memacu ke arah penggunaan e-Review dan e-Appellate secara optimum serta pengendalian prosiding menggunakan teknologi komunikasi jarak jauh tanpa kehadiran fizikal pihak-pihak ke Mahkamah. Parlimen turut meluluskan pindaan undang-undang terhadap Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91] dan Akta Mahkamah Rendah 1948 [Akta 92] bagi mengadakan peruntukan nyata berkaitan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam prosiding Mahkamah.
Bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kehakiman dan keadilan adalah seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan meningkatkan tahap kecekapan dan kualiti perkhidmatan kehakiman, mulai tahun 2021 sistem e-Kehakiman di seluruh Malaysia akan ditambah baik dengan pelaksanaan gudang data (data storage), big data dan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence). Malahan, pada masa ini projek rintis bagi Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (Sistem e-PG) telah dimulakan di Mahkamah Majistret Shah Alam dan akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang Jun 2021.
