Tadbir Urus
Jalinan Digital Negara (JENDELA)
Latar Belakang
Pada 29 Ogos 2020 Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelan tindakan JENDELA yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia KE-12(2021 – 2025). Pelan bernilai RM21 billion ini dirangka untuk memacu Malaysia ke arah kesalinghubungan digital yang lebih baik dengan meningkatkan kecekapan infrastruktur negara dan mengoptimumkan penggunaan spectrum. Daripada 21 billion yang diperuntukan untuk JENDELA, 40% adalah daripada dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat(USP) SKMM dengan baki 60% adalah akan dibiayai oleh peserta industri.
Pelan ini akan menjadi landasan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap. JENDELA juga akan terlibat dalam penyingkiran rangkaian 3G yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir 2021 bagi meningkatkan kemampuan rangkaian 4G. Pelaksanaan JENDELA ini akan dilakukan dalam 2 fasa, di mana Fasa 1 bermula 2020 – 2022 dan Fasa 2 bermula dari 2022 – 2025.
Penyediaan infrastruktur ini adalah memfokuskan kepada peningkatan kesalinghubungan dan perkhidmatan komunikasi berkualiti kepada pengguna secara keseluruhan. Ianya juga menjurus kepada meningkatkan kualiti hidup rakyat, kesinambungan ekonomi ke arah ekonomi digital dan mempersiapkan negara ke arah 5G.
Situasi pandemic covid 19 juga menjadi pemacu kepada Malaysia dalam memastikan normal baru yang terpaksa dialami oleh rakyat Malaysia dapat dijalani dengan baik.
Impak Projek
Secara keseluruhan pelaksanaan JENDELA ini akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat Global, mantap, berdaya tahan dan masyarakat berasaskan digital. Di antara beberapa perkara yang menjadi fokus utama adalah pendidikan dan produktiviti, perniagaan, kerajaan dan perkhidmatan berasakan industri dan komuniti dan masyarakat. Bagi pendidikan dan produktiviti penyediaan rangkaian perkhidmatan jalur lebar ini akan memudahkan para pelajar sekolah dan universiti termasuk tenaga pendidik melaksakan pembelajaran online.
Penyediaan infrastruktur jalur lebar ini juga akan memberi impak yang besar kepada pernigaan, Kerajaan dan perkhidmatan industri berasaskan perkhidmatan. Bekerja dari rumah, perniagaan online dan kepelbagaian perniagaan juga telah menjadi satu norma baharu yang dihadapi oleh rakyat. Infrastuktur jalur lebar ini menjadi pemudahcara dan faedah yang banyak kepada pelbagai pihak. Akibat daripada isu pandemic covid 19 ini, banyak keluarga terpisah berbulan-bulan lamanya. Dengan adanya perkhidmatan internet ahli keluarga dan rakan taulan dapat berhubung menerusi persidangan video.
Inisiatif JENDELA akan menyediakan perkhidmatan jalur lebar talian tetap dengan kelajuan gigabit dan memastikan 100% kawasan berpopulasi mendapat perkhidmatan 4G. Menerusi JENDELA perkhidmatan jalur lebar ini akan tersedia dan boleh dilanggan pada bila-bila masa oleh pengguna.
PeMaklumat Lanjut
Program JENDELA ini adalah dikawalselia oleh SKMM di bawah Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri dan Pejabat Pengurusan Program.
Nama Pegawai : Ketua Bahagian
Bahagian Transformasi dan Koordinasi Negeri dan Pejabat Pengurusan Program
Agensi Bertanggungjawab : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Pautan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) : https://www.skmm.gov.my
Kementerian Komunikasi : https://www.komunikasi.gov.my/
