Emerging Technology
National Technology & Innovation Sandbox (NTIS)
National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) telah dilancarkan pada tahun 2020 untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan teknologi dan inovasi di Malaysia. Ia menyediakan platform untuk usahawan, penyelidik, inovator dan syarikat menguji, mengesah serta mengubah idea kepada perniagaan berjaya melalui pendekatan "sandbox". NTIS merupakan inisiatif penting yang telah menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi merentasi pelbagai industri.
Sejak penubuhannya pada Julai 2020 hingga Januari 2025, NTIS telah menerima 868 permohonan, dengan 124 projek diluluskan untuk pembiayaan. Sebanyak RM120.4 juta telah diperuntukkan bagi menyokong pembangunan penyelesaian inovatif. Usaha ini telah menghasilkan 70 teknologi yang berjaya dikomersialkan, menjana RM145.8 juta dalam jualan.
Inovasi sandbox bukan sekadar alat peraturan; ia adalah pemangkin pertumbuhan ekonomi, pemacu kemajuan teknologi dan pencetus transformasi masyarakat. Di peringkat global, inisiatif sandbox telah membuka jalan kepada pencapaian baharu dalam industri kritikal seperti teknologi kewangan (fintech), tenaga boleh baharu, penjagaan kesihatan dan kecerdasan buatan (AI).
Ketika Malaysia menghadapi cabaran dan peluang Revolusi Industri Keempat, NTIS berperanan bukan sahaja sebagai pelan hala tuju penyesuaian, tetapi juga sebagai pintu masuk untuk menjadi peneraju inovasi. Dengan mewujudkan persekitaran yang selamat namun dinamik untuk eksperimen, sandbox memberi kuasa kepada penggubal dasar, pemain industri dan inovator untuk bekerjasama dan merealisasikan idea transformasi.
Sehingga kini, NTIS dengan kerjasama rakan strategik telah menubuhkan 15 tapak sandbox nasional merentasi pelbagai sektor termasuk Pertanian, Robotik & Automasi, Pendidikan Berteknologi Tinggi, Bandar Pintar Lestari dan Kecerdasan Buatan (AI). Sandbox ini membuktikan bahawa inovasi dapat berkembang dalam ekosistem yang sesuai, membolehkan idea baharu diuji, diperhalusi dan dibawa ke pasaran.
Maklumat Lanjut
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi:
Encik Rizal Azwir
Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI)
E-mel: a.rizal@mranti.my
Laman Sesawang: https://sandbox.gov.my/
