Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini telah melancarkan inisiatif Adoption of Local R&D Products and Services (MySTI) in Government Procurement bagi merancakkan pertumbuhan industri tempatan berasaskan teknologi dan inovasi.
MySTI menyediakan sebuah platform yang merangkumi program pensijilan logo serta inventori produk dan perkhidmatan yang telah dibangunkan melalui aktiviti R&D tempatan. Maklumat lanjut mengenai inisiatif ini boleh didapati di www.mysti.gov.my. Produk dan perkhidmatan layak yang menerima pensijilan logo MySTI akan diberikan keutamaan dalam perolehan kerajaan. Program ini dilaksanakan secara perintis selama 2 tahun bermula 26 Jun 2023, melibatkan 10 kementerian.
Teknopreneur dan penyelidik tempatan sering menyuarakan cabaran untuk menyertai dan bersaing dalam perolehan kerajaan. Mereka terpaksa memilih “strategi bumerang,” iaitu memasarkan produk mereka di luar negara terlebih dahulu untuk membuktikan keberkesanannya sebelum diterima di pasaran tempatan.
Melalui inisiatif MySTI, teknopreneur tempatan akan diberi keutamaan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan R&D mereka dalam perolehan kerajaan. Program ini dirangka bagi:
- Meningkatkan daya saing, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan keupayaan syarikat teknologi tempatan melalui akses kepada perolehan kerajaan;
- Merangsang inovasi dan mengiktiraf bakat tempatan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI);
- Menggalakkan penggunaan inovasi tempatan terutamanya dalam perolehan kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap produk import;
- Membantu teknopreneur tempatan menarik pelabur melalui prestasi dan rekod pencapaian dalam kontrak kerajaan; dan
- Menyokong pemulihan serta pertumbuhan ekonomi negara.
Perolehan kerajaan merupakan pasaran yang besar dan stabil, berupaya meningkatkan kesejahteraan rakyat. Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan am (% kepada KDNK) di Malaysia dilaporkan pada kadar 11.59% pada tahun 2022. Sokongan kerajaan melalui dasar perolehan awam MySTI dapat menyumbang kepada agenda pembangunan negara untuk menjadi negara yang lestari serta berasaskan teknologi dan inovasi. Kerajaan Madani yang mengutamakan kreativiti (“Daya Cipta”) komited untuk menjadi pengguna awal inovasi tempatan, selaras dengan amalan terbaik negara maju.
Syarikat teknologi tempatan wajar diberi peluang untuk membuktikan keberkesanan dan kecekapan produk serta perkhidmatan mereka melalui perolehan kerajaan, sekali gus membina rekod kukuh dalam negara. Ini akan meningkatkan keyakinan pelabur dan pembeli di peringkat antarabangsa. Dengan dasar ini, kerajaan boleh menyelaraskan keperluan dengan pembangunan teknologi dan inovasi tempatan melalui penambahbaikan berterusan, penyesuaian dan pengoptimuman (kaizen).
Inisiatif MySTI turut melengkapi keputusan kerajaan Malaysia untuk mengesahkan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) bersama 10 negara iaitu Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. CPTPP memberikan akses perolehan kerajaan kepada negara anggota, tertakluk kepada pengecualian yang dipersetujui. MySTI bertindak sebagai “pedang bermata dua” yang mengukuhkan daya saing industri teknologi tempatan di pasaran domestik sambil mempersiapkan mereka untuk merebut peluang pasaran di negara anggota CPTPP lain.
Sehingga 18 Oktober 2023, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) selaku agensi pelaksana telah menerima lebih 500 permohonan pensijilan logo MySTI. Daripada jumlah tersebut, 50 produk dan perkhidmatan telah diluluskan untuk menggunakan logo tersebut dan sedang giat dipromosi untuk perolehan dalam 10 kementerian perintis.
Pelbagai produk dan perkhidmatan teknologi tempatan tersedia untuk digunakan dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam dan industri, termasuk kategori seperti Teknologi & Sistem Pintar, Perubatan & Penjagaan Kesihatan, serta Bandar Pintar & Pengangkutan. Maklumat lanjut tersedia dalam Rajah 1.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi:
Maklumat Lanjut mengenai Penandaan Logo MySTI:Sekretariat MySTI, MRANTIMalaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI)Tel: +603-8998 2020E-mel: info@mysti.gov.myLaman Sesawang: www.mysti.gov.my
Maklumat Lanjut mengenai Dana MySTI:Sekretariat Dana MySTI, MTDCMalaysian Technology Development Corporation (MTDC)Tel: +603-2172 6000E-mel: mysti@mtdc.com.myLaman Sesawang: www.mtdc.com.my/mysti/