Penawaran Perkhidmatan Secara Elektronik
G2G
Sistem i-AGC
Sistem i-AGC atau Integrated Legal Information Management System merupakan antara inisiatif pendigitalan Jabatan Peguam Negara (AGC) ke arah meningkatkan kecekapan operasi harian jabatan dan produktiviti pengguna dalam mengendalikan proses undang-undang Kerajaan.
i-AGC merupakan sistem teras jabatan berasaskan web yang boleh diakses dari mana-mana tempat dan pada bila-bila masa dengan menggunakan sebarang jenis peranti. Pengguna bagi sistem ini adalah terdiri daripada semua warga Jabatan Peguam Negara seluruh Malaysia.
Sistem yang menyokong United Nations Sustainable Development Goals (SDG) iaitu Goal 8: Decent Work and Economic Growth ini ditempatkan di pusat data hijau AGC dengan menawarkan capaian percuma kepada pengguna secara akses melalui Active Directory dengan ciri-ciri kawalan keselamatan.
Objektif Pembangunan Sistem i-AGC
Sistem ini dibangunkan untuk pengautomasian proses kerja warga AGC. Proses kerja yang selama ini dilaksanakan secara manual, silo dan tidak holistik kini dilaksanakan secara digital melalui 7 modul utama yang disediakan iaitu:
- Modul Sumber Manusia
- Modul Perundangan
- Modul Litigasi
- Modul Penasihat
- Modul Surat
- Modul Pentadbiran
- Modul Pelaporan
Capaian kepada setiap modul adalah berdasarkan penetapan peranan yang diberikan kepada pengguna mengikut skop tugasan masing-masing bagi mengawal integriti data. Keterangan mengenai setiap modul adalah seperti di Rajah 1.
Rajah 1: Modul dan komponen Sistem i-AGC
Paparan halaman log masuk (login page) ke Sistem i-AGC adalah seperti di Rajah 2 manakala paparan halaman utama (main page) Sistem i-AGC adalah seperti di Rajah 3.
Rajah 2: Halaman Log Masuk i-AGC
Rajah 3: Halaman Utama Sistem i-AGC
Perkongsian Data
Perkongsian data membolehkan maklumat dikongsi di antara sistem-sistem dalaman mahupun sistem yang terdapat di agensi lain. Sistem i-AGC berintegrasi bersama sistem di agensi lain bagi membolehkan pengurusan data yang lebih sistematik, efisien dan seamless selain memastikan integriti data adalah konsisten. Kaedah integrasi juga dilaksanakan untuk mengelakkan kemasukan data yang berulang oleh pengguna sistem di mana data yang telah dimasukkan ke dalam mana-mana sistem akan diguna pakai oleh mana-mana modul di Sistem i-AGC.
Agensi yang terlibat bagi integrasi bersama Sistem i-AGC adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mahkamah Persekutuan (POJ).
Impak
Sistem i-AGC mula dilaksanakan pada tahun 2017 (Fasa Pembangunan) dan sehingga tahun 2023 (Fasa Penyelenggaraan), sejumlah 8,701 orang pengguna telah mendaftar melibatkan 655,487 dokumen telah dimuat naik dan 14.9 juta transaksi telah diproses. Jumlah pengguna, dokumen yang dimuat naik dan transaksi yang diproses sehingga kini boleh dirujuk di Carta 1 yang merupakan data langsung (live data) Sistem i-AGC.
Sistem i-AGC memberi impak yang signifikan kepada sistem perundangan di Malaysia, terutamanya kepada pegawai perundangan. Impak Sistem i-AGC yang paling ketara adalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020-2021 di mana proses-proses kerja pegawai perundangan dan kakitangan tetap diteruskan dengan adanya Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR), Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 2020. Sepanjang tempoh PKP, tiada pegawai perundangan yang diberhentikan dan tiada proses perundangan yang terpaksa ditunda kerana kerja-kerja dilaksanakan melalui sistem.
Selain daripada itu, Sistem i-AGC juga telah mengharumkan nama negara di persada dunia kerana berjaya dinobatkan sebagai projek yang dicalonkan (nominated project) dalam pertandingan World Summit On The Information Society Prizes 2023.
Penggunaan Sistem i-AGC di Jabatan Peguam Negara secara amnya juga telah meningkat dari setahun ke setahun di mana penggunaan secara bulanan pada tahun terkini boleh dirujuk di Carta 1.
Proses kerja setiap bahagian di AGC adalah berbeza mengikut prosedur dan SOP bahagian masing-masing dan ini menyumbang kepada transaksi penggunaan Sistem i-AGC yang berbeza. Sebagai contoh, proses kerja di Bahagian Guaman memerlukan pengguna sistem (Pegawai Bahagian Guaman) melakukan transaksi yang banyak dan kerap. Ini adalah kerana kemasukan data ke Sistem i-AGC adalah disumbangkan daripada penggunaan Modul-modul daripada Portal Perkhidmatan Undang-Undang AGC yang diakses oleh pegawai perundangan di mahkamah, pelatih dalam kamar serta orang awam. Ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan proses kerja di Bahagian Penyelidikan atau Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang di mana keperluan sistem hanyalah melibatkan pengurusan pandangan atau instrumen yang dirujuk oleh agensi kerajaan lain kepada pihak AGC. Transaksi terkini penggunaan mengikut bahagian boleh dirujuk di Carta 1.
Berikutan penggunaan Sistem i-AGC yang berbeza mengikut bahagian, terdapat modul yang digunakan secara intensif iaitu Modul Litigasi yang menyumbang peratusan yang paling tinggi daripada keseluruhan transaksi penggunaan terkini seperti di Carta 1.
Maklumat Lanjut
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sistem i-AGC, Jabatan Peguam Negara, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik, Jabatan Peguam Negara
Telefon: 03-8890 5612
E-mel: stratcomm.agc@agc.gov.my
