Kepelbagaian Perkhidmatan
Kemudahan
Portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (Portal GREaT)
Latar Belakang
Aspirasi YB Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah untuk mewujudkan gerbang tunggal maklumat berkaitan dengan pembangunan kerjaya serta peluang untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan juga bakal graduan. Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengambil inisiatif untuk membangunkan portal sehenti, iaitu Graduates Reference Hub for Employment and Training atau GREaT. Usaha ini adalah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan terutama dalam mendepani kesan pandemik Covid-19 kepada ekonomi negara yang turut menjejaskan peluang para graduan mendapatkan pekerjaan. Portal ini telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia semasa Majlis Pelancaran Program Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi – Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP) di Dewan Canselor Tunku Abdul Razak (DECTAR), UKM Bangi pada 28 September 2020.
Untuk itu, graduan dan bakal graduan perlu dilengkapkan dengan maklumat berkenaan dengan latihan pembangunan kerjaya dan juga pekerjaan yang sebelum ini diperoleh melalui pelbagai sumber dan ada kalanya menyukarkan carian. Maka dengan adanya Portal GREaT, carian menjadi hanya di hujung jari sahaja melalui gerbang tunggal dan masa carian dapat dikurangkan .
Portal GREaT menyokong kepada United Nations Sustainable Development Goals (SDG) keempat (SDG 4) iaitu Kualiti Pendidikan dan SDG 8 iaitu Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi. Matlamat SDG4 adalah untuk memastikan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua. Di samping itu juga matlamat SDG 8 adalah menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampam, menyeluruh dan dan mampan, guna tenaga penuh dan produktif serta pekerjaan yang baik untuk semua. Pendidikan berkualiti yang ditawarkan oleh IPT di Malaysia serta program meningkatkan kemahiran yang ditawarkan dalam portal ini menunjukkan bahawa portal GREaT menyokong SDG 4 dan juga SDG 8 . Manakala melalui portal GREaT juga terdapat modul-modul yang membantu para graduan dan bakal graduan mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan.
Apa itu Portal GREaT?
Portal GREaT menawarkan pelbagai perkhidmatan bagi membantu graduan dan bakal graduan. Terdapat perkhidmatan dari pelbagai penyedia perkhidmatan yang berkaitan dengan kebolehpasaran. Ini termasuklah maklumat berkenaan dengan tawaran pekerjaan; peluang untuk menyambung pengajian; permohonan kemudahan penajaan pengajian; program keusahawanan yang dilaksanakan; serta latihan peningkatan kemahiran yang dianjurkan. Sebagai contoh, para graduan boleh mendapatkan maklumat dan memohon PENJANA KPT-CAP menerusi Portal GREaT. Manakala dalam masa terdekat Program PENJANA KPT-PACE (Professional Certificate) akan ditawarkan kepada pelajar tahun akhir Universiti Awam, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti. Inisiatif-inisiattif ini menawarkan peluang kepada para graduan dan pelajar tahun akhir untuk mengikuti program peningkatan kemahiran yang bermatlamat untuk melahirkan graduan yang berketrampilan serta memenuhi pasaran kerja.
Di samping itu juga, fungsi portal GReaT ini telah diperluaskan dengan berupaya menemupadankan graduan dengan pihak syarikat dan industri untuk tawaran pekerjaan melalui modul Pemadanan Pekerjaan (JobMatching@GREaT) di portal GREaT. Modul ini dibangunkan bagi membantu graduan tidak bekerja mendapat pekerjaan mengikut kelayakan dan kompetensi mereka dan seterusnya meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan dalam negara.
Keistimewaan Portal GREaT
Portal GREaT mempunyai tiga keistimewaan iaitu GREaT sebagai platform informasi pelbagai hala (multi-lateral information platform); GREaT sebagai wadah kolaborasi secara quadruple helix; dan GREaT sebagai pemangkin e-Penyertaan.
Sebagai platform informasi pelbagai hala (multi-lateral information platform), kandungan Portal GREaT tidak hanya disediakan oleh pihak KPT sahaja. Malah, pihak IPT, industri dan graduan turut berpeluang berkongsi maklumat bagi tujuan penyediaan kandungan portal. Ini dilaksanakan secara berfasa di mana pada fasa permulaan, kandungan disediakan oleh KPT, manakala kandungan dari agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang lain adalah melalui modul sedia ada serta pautan pada portal-portal yang berkaitan. Pada fasa kedua yang dilaksanakan tahun ini, IPT dan industri boleh memuat naik kandungan dalam pelbagai bentuk ke dalam modul yang dibangunkan.
Di samping itu, GREaT merupakan wadah kolaborasi secara quadruple helix yang menyaksikan pembangunan portal ini yang menggunakan pendekatan kolaborasi strategik antara kerajaan, IPT, industri dan komuniti untuk sama-sama membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan. GREaT juga merupakan pemangkin e-Penyertaan yang mana portal ini amat mengalu-alukan para pelajar, bakal graduan dan juga graduan mengemukakan cadangan atau idea kepada kerajaan tentang cara, kaedah dan juga amalan baik yang boleh ditanda aras bagi memperkukuh kebolehpasaran para graduan.
Portal ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Sehingga 19 Julai 2021, iaitu sejumlah 203,090 bilangan pengunjung direkodkan Antara perkhidmatan yang menjadi tarikan ialah permohonan untuk menyertai program-program di bawah PENJANA KPT-CAP. Para graduan amatlah digalakkan untuk terus melayari Portal GREaT kerana banyak program baharu di bawah PENJANA KPT-CAP yang akan ditawarkan dari semasa ke semasa.
Sesungguhnya pembangunan Portal GREaT ini merupakan satu lagi tanda aras baharu kepada ikhtiar KPT dalam menyantuni keperluan peningkatan kebolehpasaran para pelajar, bakal graduan dan graduan IPT tempatan. Makanya, keberhasilan penyediaan portal ini diharapkan dapat melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan, seterusnya secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Maklumat Lanjut
Nama : Puan Salwati Binti Badroddin
Telefon : 03-8870 5320
e-mel : salwati.bad@mohe.gov.my
Nama : Puan Dinesh Kaur a/p Karpal Singh
Telefon : 03-8870 5074
e-mel : dinakaur@mohe.gov.my
#KPTPrihatin
Agensi Bertanggungjawab : Kementerian Pengajian Tinggi
