Industry4wrd: Dasar Negara Mengenai Industri 4.0
MyDigital dan 4iR
MyDIGITAL & RANGKA TINDAKAN (BLUEPRINT) EKONOMI DIGITAL MALAYSIA
Apakah itu MyDIGITAL?
MyDIGITAL adalah satu inisiatif yang melambangkan aspirasi Kerajaan mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital. Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia menggariskan usaha dan inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL. Rangka tindakan ini menetapkan trajektori sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia dan membina asas untuk memacu pendigitalan di seluruh negara, termasuk dalam merapatkan jurang digital.
Mengapa MyDIGITAL?
MyDIGITAL dirangka sebagai pelengkap kepada dasar pembangunan negara antaranya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030). Inisiatif MyDIGITAL juga turut diselaras dengen inspirasi dalam Sustainable Developent Goals di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ekonomi digital telah dikenal pasti sebagai aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) bagi merealisasikan WKB 2030. Ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil serta pertumbuhan yang inklusif dan saksama.
Apakah itu ekonomi digital?
Ekonomi digital didefinisikan sebagai aktiviti ekonomi dan sosial yang melibatkan pengeluaran dan penggunaan teknologi digital oleh individu, perniagaan dan kerajaan.
Definisi ekonomi digital adalah berbeza pada peringkat global. Sejak akhir tahun 1990-an, pelbagai entiti termasuk institusi akademik dan organisasi antarabangsa telah memperkenalkan konsep ekonomi digital. Meskipun tiada definisi yang universal, teknologi digital kekal sebagai ciri asas bagi mendefinisikan ekonomi digital.
