Kesejahteraan Rakyat
Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan
Pengenalan
Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan atau ringkasnya PADU adalah merupakan pangkalan data berkomputer yang menyimpan dan mengurus maklumat utiliti serta butiran-butiran berkaitan yang disenggara oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Latar Belakang
Masalah gangguan perkhidmatan akibat kerosakan saluran utiliti bawah tanah sering berlaku apabila kontraktor yang dilantik oleh agensi penyedia utiliti atau pemaju menjalankan kerja-kerja pengorekan tanpa maklumat lokasi utiliti yang mencukupi atau dengan menggunakan maklumat yang tidak tepat. Menyedari akan permasalahan ini, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 24 Ogos 1994 dan 14 Januari 1998 telah bersetuju antaranya; supaya JUPEM menyimpan peta-peta yang berkaitan utiliti yang terdapat di bawah tanah, dan pihak penyedia utiliti dikehendaki mengemaskinikan pangkalan data utiliti mereka dan seterusnya membekalkan maklumat dari pangkalan data tersebut kepada JUPEM.
Bagi melaksanakan arahan Kerajaan ini, JUPEM mulai tahun 2006 telah menubuhkan satu bahagian yang bertanggungjawab melaksanakan urusan berkaitan penyimpanan dan penyenggaraan maklumat utiliti bawah tanah.
Inisiatif
Bagi merealisasikan aktiviti pemetaan utiliti bawah tanah di Malaysia, pada tahun 2007 JUPEM telah mengambil inisiatif membangunkan PADU bagi menyimpan data-data utiliti yang dibekalkan oleh Agensi-agensi Penyedia Utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Agensi Pembentungan Negeri, Gas, Petrolium, dan Syarikat Air Negeri. Data-data utiliti yang disimpan adalah seperti kedudukan, kedalaman, jenis, dan saiz pepasangan utiliti yang terdapat/ditanam di bawah tanah dan di atas tanah.
PADU terdiri daripada beberapa lapisan data iaitu; data topografi, data kadaster (lot-lot tanah), imej ortofoto dan data-data utiliti.

Struktur Model Data PADU mengandungi 12 kategori butiran seperti rajah di bawah. 7 kategori butiran merupakan Butiran Data Peta Asas dan 5 Kategori Butiran Data Utiliti.

Data-data PADU disimpan mengikuti kaedah pengkodan dan geospatial yang berasaskan kepada Malaysia Standard 1759:2015 - Geographic Information / Geomatics - Feature and Attribute Codes. Penggunakan kod yang seragam ini memudahkan perkongsian data di kalangan agensi-agensi yang berkepentingan. Contoh data utiliti dalam PADU adalah seperti rajah di bawah.

Pada awal tahun 2020, JUPEM telah membangunkan PADU di seluruh JUPEM Negeri bagi menerima data-data utiliti daripada Agensi Penyedia Utiliti dan Juruukur Tanah Berlesen.
Faedah Kepada Negara
Data-data utiliti yang didepositkan dalam PADU boleh digunakan oleh Kerajaan untuk pelbagai tujuan strategik seperti perancangan dan pembangunan, mitigasi bencana alam, keselamatan, dan pertahanan negara. Data-data ini boleh dijadikan asas rujukan bagi memastikan kelancaran semua kerja-kerja penyelenggaraan utiliti, perancangan dan pembangunan yang melibatkan tanah bawah tanah. Data ini boleh diintegrasi dan dianalisis bersama dengan pelbagai maklumat geospatial lain dalam persekitaran GIS. Ini membolehkan Kerajaan membuat keputusan yang lebih berkesan dan tepat yang akan menjurus kepada penjimatan kos dalam jangka masa panjang dan dapat mengelakkan bencana dan masalah gangguan perkhidmatan akibat kerosakan saluran utiliti bawah tanah yang berpunca daripada kerja pengorekan yang dilaksanakan tanpa maklumat lokasi utiliti yang lengkap dan tepat.
Halatuju
Dalam RMKe-11, JUPEM telah melaksanakan satu kajian polisi berkaitan pemetaan utiliti bawah tanah dengan fokusnya kepada penetapan hala tuju pemetaan utiliti bawah tanah di peringkat nasional, mentadbir urus dan mengawal selia pemetaan utiliti agar pematuhan terhadap perkongsaian data utiliti, arahan, peraturan dan spesifikasi yang ditetapkan dapat dikuatkuasakan. Kajian ini telah siap pada 26 Mac 2021. Kajian ini juga telah membuktikan akan kepentingan PADU dan keutamaanya menjadi satu pusat repositori data-data utiliti bagi seluruh negara.
Secara ringkasnya, hasil kajian ini adalah merupakan satu draf dokumen Dasar Pemetaan Utiliti Bawah yang akan diangkat untuk kelulusan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan seterusnya Jemaah Menteri.
Maklumat Lanjut
Pengarah Ukur Bahagian (Pemetaan Utiliti)
Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia
Tingkat 4, Bangunan Ukur
Jalan Sultan Yahya Petra
505078 Kuala Lumpur
Tel : 03-2617 0800
