Tindak balas serta Pemulihan Bencana
PENGAPLIKASIAN SISTEM DEFENCE GEOSPATIAL INFORMATION MANAGEMENT (DGIM) DALAM PENGURUSAN BENCANA
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku agensi peneraju pengurusan bencana sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan agar risiko kejadian bencana dapat dikurangkan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana dapat ditingkatkan. Sehubungan dengan itu, NADMA telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk menggunakan sistem Defence Geospatial Information Manangement (DGIM) dalam pengurusan bencana. DGIM dibangunkan oleh pihak JUPEM dan merupakan sistem yang berteraskan perkongsian data spatial dalam aplikasi Geographic Information System (GIS) pelbagai agensi seperti di Rajah 1 dan Rajah 2. Initiatif ini selari dengan Sustainable Development Goals (SDG), iaitu SDG 11 Sustainable Cities and Communities bagi mewujudkan persekitaran hidup yang berkualiti untuk bandar dan komuniti setempat. Kebanyakan kawasan bandar yang berpenduduk padat juga terdedah kepada risiko bencana.
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 2 Tahun 2022 pada 12 September 2022 telah bersetuju dengan cadangan untuk mengaplikasikan keupayaan sistem DGIM dalam pengurusan bencana negara. Data-data geospatial dari pelbagai agensi boleh dimanfaatkan bagi tujuan pengurusan bencana. Walau bagaimanapun, data-data tersebut berada di pelbagai platform dan tidak diintegrasikan secara sistematik. Melalui DGIM, semua data tersebut akan diintegrasikan menerusi satu platform sahaja dan boleh diakses dengan cepat dan mudah.
Sistem DGIM memberi penjimatan dari aspek kewangan kerana pihak NADMA selaku pengguna tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk melantik perunding luar bagi membangunkan sistem ini. Sistem DGIM yang dibangunkan oleh pihak JUPEM pada tahun 2015 ini telah tersedia untuk digunakan dalam konteks pengurusan bencana negara.




