Dasar, Strategi dan Tadbir Urus
Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA)
Latarbelakang
Data merupakan sumber yang amat bernilai dalam menyediakan perkhidmatan awam kepada rakyat, pengurusan pentadbiran negara dan pembangunan negara. Penggunaan data dalam inovasi berasaskan pendigitalan semakin penting selari dengan ekspektasi rakyat bagi mendapatkan perkhidmatan yang lengkap, cepat dan mudah. Selari dengan cabaran pelaksanaan inovasi pendigitalan khususnya pelaksanaan inovasi yang memerlukan perkongsian data merentasi agensi, pembangunan Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dilaksanakan bagi menangani cabaran perkongsian data semasa yang melibatkan tiga aspek utama iaitu (1) manusia, (2) proses dan teknologi serta (3) perundangan.
Pekeliling dan dasar telah disediakan dengan mengambilkira penyelesaian kepada kekangan perkongsian data serta keperluan operasi pelaksanaan. DPDSA menjadi panduan penting kepada Agensi Sektor Awam untuk melaksanakan perkongsian data bagi menyokong inisiatif perkongsian data antara Agensi Sektor Awam dengan Agensi Sektor Awam (G2G), Agensi Sektor Awam dengan Komuniti Perniagaan (G2B), Agensi Sektor Awam dengan Rakyat (G2C) dan Agensi Sektor Awam dengan Penjawat Awam (G2E). Dasar ini memberikan panduan kepada Agensi Sektor Awam dalam melaksanakan perkongsian data yang sahih, selamat dan berkesan dengan menekankan pematuhan kepada prinsip perkongsian data dan penyediaan ekosistem perkongsian data yang cekap dan selamat.
DPDSA menetapkan Agensi Sektor Awam untuk menyediakan keperluan pemudah cara perkongsian data yang merupakan faktor kritikal dalam menentukan kejayaan pelaksanaan perkongsian data iaitu (1) kecekapan tadbir urus, (2) perundangan dan peraturan yang kondusif, (3) standard yang menyokong interoperability, (4) platform perkongsian data yang mapan, mampan dan selamat serta (5) pembudayaan yang berterusan.
Selain itu, DPDSA turut menyediakan panduan pelaksanaan perkongsian data dimana Agensi Sektor Awam hendaklah memastikan permohonan, pertimbangan dan penggunaan data dilaksanakan mengikut peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan perkongsian data. Agensi hendaklah jelas dengan peranan yang dilaksanakan sama ada sebagai Pemilik Data, Pengurus Data, Pembekal Data atau Pengguna Data. Tatacara umum permohonan dan kelulusan perkongsian data serta contoh surat dan dokumen perjanjian juga disediakan untuk rujukan agensi.
DPDSA juga menetapkan ekosistem perkongsian data yang melibatkan tiga (3) pihak iaitu (1) agensi pembekal data, pihak pengguna data dan pihak penyedia platform perkongsian data. Ketiga-tiga pihak ini perlu memahami dan melaksanakan tanggungjawab seperti yang dinyatakan dalam dokumen dasar. Platform perkongsian data perlulah mempunyai ciri-ciri standard seperti keselamatan, ketersediaan, visibility dan ketelusan, auditability, scalability, ketahanan dan kelestarian serta kemudahan untuk pemasangan. Adaptasi terhadap teknologi terkini dan berdaya tahan dalam menangani risiko kegagalan operasi adalah antara penentu kejayaan penggunaan platform perkongsian. Pasukan perkongsian data agensi perlu memahami secara teknikal tentang teknologi perkongsian data yang digunakan.
Pekeliling dan DPDSA telah dibangunkan dan sedang menunggu kelulusan untuk diterbitkan dan diedarkan kepada Agensi Sektor Awam. DPDSA menyokong SDG 11-Sustainable Cities & Communities dan SDG 16 - Peace, Justice and Strong Institution.
Outcome/Impak
Melalui DPDSA, adalah disasarkan objektif perkongsian data seperti berikut akan dapat dicapai:
a. Membolehkan penggunaan semula data merentasi Agensi Sektor Awam bagi mengurangkan pertindihan dalam usaha pengumpulan data yang dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos pembangunan aplikasi perkhidmatan sektor awam;
b. Memastikan data dapat dikongsi merentasi Agensi Sektor Awam dengan selamat, cekap dan berkesan; dan
c. Melonjakkan inovasi berpacukan data bagi memantapkan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan ke arah merealisasikan perkhidmatan digital sektor awam yang bersepadu, inklusif, terangkum dan selamat.
Maklumat Lanjut
Agensi bertanggungjawab : MAMPU (https://www.jdn.gov.my/)
