ICT Sebagai Perkhidmatan
Single Credential Standard bagi Portal MyGovernment
Pengenalan
Single Credential Standard atau dikenali juga dengan Single Sign-On (SSO) adalah merupakan perkhidmatan pengesahan identiti pengguna yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dengan hanya menggunakan akuan tunggal.
Latarbelakang
Projek Portal MyGovernment adalah merupakan inisiatif pengukuhan myGoverment Online Services Portal (MOSP 2.0) di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11). Objektif utama projek ini adalah untuk mewujudkan satu gerbang perkhidmatan dalam talian kerajaan yang berpaksikan rakyat dan ia merupakan gerbang utama kerajaan yang berkonsepkan life event. Ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Flagship Coordination Committee (FCC) Bilangan 37 pada 11 Mac 2014 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara iaitu rasionalisasi aplikasi web kerajaan dijalankan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Portal MyGovernment menggabungkan perkhidmatan dalam talian dari pelbagai agensi kerajaan. Jaminan keselamatan dan privasi pengguna portal perlu dititiberatkan dan dilaksanakan melalui perkhidmatan pengesahan identiti Single Sign-On (SSO). Menjelang tahun 2020, sebanyak 31 perkhidmatan digital dari pelbagai agensi dikenalpasti bagi perlaksanaan integrasi dan migrasi SSO.
Perlaksanaan Single Credential Standard adalah untuk menyokong Pelan Strategik ICT Sektor Awam (PSICTSA) 2016-2020 yang memberi penekanan kepada kecekapan, produktiviti dan inovasi ICT bagi tujuan mengoptimumkan penyampaian perkhidmatan dengan mengutamakan rakyat melalui jajaran penggunaan teknologi.
Ianya selari dengan Teras 3 - Perkhidmatan Guna Sama Yang Optimum Dan Pengukuhan Keselamatan Siber iaitu:
- Meningkatkan perkongsian sumber ICT secara terurus dan berpusat
- Memastikan perkhidmatan digital selamat dan boleh dipercayai
Objektif
Objektif Single Credential Standard dibangunkan adalah seperti berikut:
- Pengukuhan keselamatan pengguna dengan memastikan perkhidmatan digital kerajaan dan agensi mempunyai mekanisme untuk mengendalikan pengesahan identiti dengan mengikut amalan baik berdasarkan standard ISO/IEC 29115 Entity Authentication Assurance Framework; dan
- Penggunaan satu akuan tunggal di mana pengguna hanya perlu mengingati satu akuan pengguna dan dengan sekali pendaftaran sahaja bagi memudahkan capaian pelbagai perkhidmatan digital yang inklusif dan mesra rakyat.
Tools/Features yang digunakan
Single Credential Standard menggunakan protokol Security Assertion Markup Language (SAML) versi 2.0. Penggunaan protokol ini adalah berdasarkan teknologi eXtensible Markup Language (XML) yang merupakan standard terbuka bagi perkongsian keselamatan data identiti pengguna.
Impak
Impak Single Credential Standard adalah:
- Memberi keyakinan penyampaian perkhidmatan kerajaan adalah selamat dan boleh dipercayai.
- Membenarkan pengguna untuk mencapai pelbagai perkhidmatan agensi dengan hanya sekali log masuk dengan mengingati satu akuan pengguna.
- Mengenalpasti dan merekod aktiviti penggunaan pengguna secara berpusat.
- Memudahkan operasi pengurusan akuan pengguna dengan hanya menggunakan satu platform dan polisi pengurusan identiti pengguna.
Pencapaian
Portal MyGovernment melalui pelaksanaan SSO secara tidak langsung telah melonjakkan Malaysia berada di tahap 48 dari 193 negara dalam United Nations E-Government Development Index (UNEGDI).
Pencapaian/Statistik
Jumlah terkini pengguna bagi Portal MyGovernment adalah seramai 20129 pengguna berbanding pada Oktober 2017, iaitu seramai 4815 pengguna yang mendaftar. Peningkatan pendaftaran pengguna melalui Portal MyGovernment sebanyak 23.9% dengan perlaksanaan integrasi SSO dengan perkhidmatan digital.
Rantaian Kehadapan
Peningkatan keselamatan teknologi dan pengguna adalah agenda utama untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah Kerajaan Digital. Oleh itu, bagi meningkatkan keselamatan dan akauntabiliti akuan tunggal pengguna, Pelan Identiti Digital untuk prosedur pengesahan identiti yang mematuhi standard ISO/IEC 29115 Entity Authentication Assurance Framework perlu dibangunkan. Penglibatan kementerian yang mempunyai punca kuasa bagi mengesahkan identiti pengguna dan agensi pelaksana adalah perlu untuk merakyatkan perkhidmatan digital yang selamat dan boleh dipercayai.
Peningkatan dalam kedudukan indeks penarafan global iaitu United Nations E-Government Development Index (UNEGDI) seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) adalah di tangga 15 pada tahun 2020.
Maklumat Lanjut
Puan Aaishah binti Dato' Abu Bakar
Senior Principal Assistant Director
Bahagian Perundingan ICT
No. Tel.: 03-8872 5054
E-mail: aaishah@mampu.gov.my
Pautan Url:
Rujukan:
United Nations E-Government Development Index (UNEGDI)