Kesalinghubungan
Inisiatif Perkhidmatan Malaysia Research Education Network (MYREN)
- LATAR BELAKANG
1.1 MALAYSIAN RESEARCH AND EDUCATION NETWORK
Malaysian Research and Education Network (MYREN) merupakan jaringan jalur lebar yang didedikasikan khas untuk aktiviti pembelajaran dan penyelidikan. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Julai 2003 telah bersetuju dengan cadangan daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) akan perkara-perkara berikut:
- Malaysia menawarkan untuk menjadi Pusat Serantau Asia Tenggara bagi jaringan penyelidikan Trans-Eurasia Information Network (TEIN South East Asia Hub - SEA Hub) iaitu sebuah projek di bawah naungan Asia-Europe Meeting (ASEM).
- Membangunkan jaringan penyelidikan tempatan iaitu Malaysia Research and Education Network (MYREN).
- Kerajaan Malaysia membiayai sebahagian kos pelaksanaan bagi kedua-dua projek iaitu TEIN South Asia Hub – SEA Hub dan MYREN.
Susulan daripada itu, MYREN telah dilancarkan pada Mac 2005 dan pada ketika itu adalah di bawah pentadbiran KTAK. Bersesuaian dengan penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi serta sebagai pengguna utama MYREN, Jemaah Menteri pada 19 Disember 2008 mengambil maklum akan nota dari Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi: H774/2008 mengenai penyerahan projek MYREN dari KTAK kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Sehingga kini, pengurusan dan pelaksanaan projek MYREN adalah di bawah KPT.
