Pemantauan
SISTEM PEMANTAUAN LAMAN WEB DAN SERVIS KERAJAAN (SPLASK) VERSI 2.0
Sistem Pemantauan Laman Web dan Servis Kerajaan atau dikenali sebagai SPLaSK merupakan satu platform pemantauan kepada laman web rasmi agensi Kerajaan terhadap kriteria yang telah ditetapkan oleh Jabatan Digital Negara (JDN). Platform ini memantau secara masa nyata (real time) dan berterusan bagi memastikan agensi dapat melaksanakan penambahbaikan dengan segera untuk memastikan laman web rasmi dapat menyokong dan memacu agenda transformasi kerajaan digital Negara.
Projek ini dicetuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Aplikasi Perdana MSC Malaysia atau Flagship Application Coordination Committee (FCC) ke-43 pada 12 Oktober 2017 yang dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara. Mesyuarat ini juga telah bersetuju supaya pihak Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyerahkan projek Provider-Based Evaluation (ProBE) dan Malaysia User Satisfaction Evaluation (MUSE) kepada pihak MAMPU (kini dikenali sebagai JDN) pada penghujung tahun 2017. Susulan itu, pembangunan projek ini telah bermula pada 1 Januari 2018 secara out-source dengan pembiayaan dan pelantikan kontraktor oleh pihak MDEC melalui peruntukan bajet RMKe-11.
Skop pemantauan melalui SPLaSK ini adalah menentukan tahap ketersediaan laman web rasmi agensi supaya mematuhi kriteria yang ditetapkan dan tiada penarafan bintang seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini. SPLaSK menyediakan laporan dalam bentuk dashboard yang memaparkan maklumat mengikut peringkat iaitu pengurusan atasan, Kementerian dan agensi di bawahnya.
Walau bagaimanapun, MAMPU (kini dikenali sebagai JDN) telah mengambil inisiatif untuk menambahbaik SPLaSK sedia ada pada tahun 2021 dengan penumpuan kepada pemantauan laman web rasmi dengan menambah fungsi, modul baharu serta kriteria pemantauan laman web rasmi. Projek ini telah mengambil masa selama dua (2) tahun untuk pembangunan dan warranti. Projek ini telah diluncurkan pada 25 Oktober 2022 kepada semua kementerian dan agensi sektor awam.
Objektif
Objektif SPLaSK 2.0 adalah seperti berikut:
- Menyediakan sistem aplikasi bagi kemudahan pemantauan laman web rasmi.
- Memberi kemudahan pemantauan kendiri laman web
- Mengukur tahap pematuhan kriteria berdasarkan enam (6) dimensi yang ditetapkan
- Menyediakan kemudahan secara elektronik untuk kemaskini maklumat profil laman web rasmi kerajaan
Kriteria SPLaSK 2.0
Kriteria SPLaSK 2.0 adalah terdiri daripada 25 kriteria yang melibatkan 6 dimensi iaitu:
- Accessibility
- Ease of use
- Quality of content
- Privacy / security
- Responsiveness
- Reliability
Senarai kriteria SPLaSK mengikut dimensi secara terperinci adalah seperti Rajah 1 berikut:

Impak Pelaksanaan SPLaSK 2.0
Antara impak pelaksanaan SPLaSK 2.0 adalah seperti berikut:
- Menyokong agenda pendigital Negara melalui penarafan antarabangsa khususnya bagi penilaian United Nation Electronic Government Development Index (UN-EGDI) bagi Online Service Index (OSI) supaya berada pada kedudukan yang lebih baik;
- Peningkatan kesedaran rakyat terhadap inisiatif kerajaan digital yang dilaksanakan oleh agensi Kerajaan,
- Sistem SPLaSK 2.0 ini akan menjadi sistem rujukan pemarkahan bagi pemantauan laman web sektor awam melalui penilaian Malaysian Government Performance Index (MyGPI) yang menggantikan sistem penarafan Indeks SSR bagi tahun 2020 dan tahun-tahun berikutnya.
Rantaian Kehadapan
Agensi kerajaan dikehendaki menggunapakai sistem ini bagi melihat keberkesanan pemantauan secara real-time dan boleh direalisasikan bagi memastikan Kerajaan sentiasa bersedia untuk mendepani perubahan lanskap digital dunia.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai SPLaSK 2.0 boleh dirujuk kepada Urusetia SPLaSK 2.0 JDN seperti di bawah:
Emel: splask@jdn.gov.my
Pautan URL: https://splask.jdn.gov.my
